Diam tidak diam sudah 21 hari penulis dan rakan jurugambar, Mohd. Noor Amin membuat liputan di bumi bencana, Yogyakarta. Ketibaan kami di sini kira-kira 25 jam selepas bencana gempa bumi sekuat 5.8 Richter menggoncang bandar ini dan sekitar wilayahnya tidak mungkin dapat dilupakan dalam sejarah hidup kami berdua.
Bayangkan kota Yogyakarta yang terkenal dengan jolokan ‘bandar yang tidak pernah tidur’ tiba-tiba sunyi sepi berikutan kejadian tersebut.
Lebih 3,000 ribu penduduknya terbunuh manakala beribu-ribu lagi parah serta kehilangan tempat tinggal dalam peristiwa yang berlaku tidak sampai satu minit itu.
Daripada segi tugasan, aku tidak begitu merasakan sangat perbezaan membuat liputan bencana tsunami di Aceh, gempa bumi di Pulau Nias dan tanah runtuh Guinasagon, Filipina berbanding dengan kejadian di sini.
Namun membuat liputan di Yogyakarta juga menjanjikan cabaran yang tersendiri, apatah lagi kawasan yang terkena kesan gempa bumi tersebut sangat luas dan berselerak.
Lebih menyulitkan lagi, terdapat banyak perkampungan yang parah terletak sangat jauh di kawasan pedalaman hingga jaraknya menjangkau berpuluh-puluh kilometer di antara satu sama lain.
Malah ada suatu ketika pemandu teksi kami ‘angkat tangan’ kerana terlalu letih melayan kerenah kami yang terlalu ‘teruja’ untuk masuk ke semua perkampungan yang terlibat.
“Sudahlah mas, capek bangat saya dibuatnya,” kata Hargono dalam pelat Jawa.
Namun selepas dua minggu menjalankan tugas membuat liputan gempa bumi, kami dikejutkan pula dengan peristiwa letusan awan panas gunung berapi, Gunung Merapi yang juga terletak di wilayah sama.
Berkejar pula kami ke sana untuk membuat liputan terkini gunung tersebut yang sehingga kini telah pun mengorbankan nyawa dua orang sukarelawan.
Sejak gunung itu giat memuntahkan awan panas dan laharnya, boleh dikatakan setiap hari, tidak kira subuh atau lewat malam, kami berkejar ke kaki gunung tersebut.
Orang yang paling sibuk tentulah Mohd. Noor yang sentiasa dahagakan ‘shot’ menarik.
Pernah satu ketika dia tidak tidur semalaman semata-mata hendak mendapatkan sudut terbaik gambar puncak gunung berapi berkenaan.
Kami juga sempat mengalami peristiwa cemas apabila ‘dihambat’ awan panas Gunung Merapi yang tiba-tiba saja meluncur laju ke arah kami.
Apalagi, Hargono terus memecut teksi buruknya hingga membuatkan kami berdua terhantuk-hantuk di kerusi belakang.
Tidak cukup dengan peristiwa gempa bumi dan letusan Gunung Berapi, tidak beberapa lama kemudian semua akhbar dan stesen televisyen melaporkan pula pembebasan tokoh agama paling kontroversi, Abu Bakar Basyir dari Penjara Cipinang, Jakarta.
Pembebasannya juga secara tidak langsung membantutkan hasrat kami yang ketika itu sudah pun bersiap-siap untuk pulang ke tanah air.
Apa tidaknya, Abu Bakar ketika itu mahu pulang ke rumahnya di Solo yang kebetulan terletak hanya dua jam perjalanan dari bandar ini, bagi kami ini merupakan peluang terbaik untuk mewawancara pemimpin itu secara eksklusif.
Apatah lagi Abu Bakar juga adalah salah seorang pemimpin yang menjadi ‘perhatian’ Bukit Aman kerana dipercayai menjadi dalang di sebalik beberapa peristiwa letupan di republik ini.
Kesukaran untuk menemui Abu Bakar terlalu panjang dan sulit untuk diceritakan di sini, cukuplah kami katakan yang kami memerah segala upaya dan kekuatan dalam usaha untuk menemu bual beliau.
Hari ini merupakan hari terakhir kami di sini.
Nampaknya rancangan awal untuk membuat liputan gempa, merebak ke gunung berapi dan kini ke bab Abu Bakar pula, namun kesukaran itu langsung tidak dirasakan demi pembaca setia paper aku.
Akhir kata, sugeng tindak Yogyakarta, moga ketemu malih, matur nuwun.
(Maaf ini bahasa Jawa, faham tak? Kalau tak paham, tanya Mawi!)


wah…
seru banget pengalamannya mas.
saya sangat suka pengalaman macam itu.
sungguh menegangkan, tapi pengalaman tersebut pasti tak akan terlupakan.
macam cerita Dante’s Peak gayanya ..
tapi tak berapa menyentuh emosi sangat. yang ini thrill nya lebih kut ?