Feeds:
Posts
Comments

Archive for January, 2010

apa khabar teman-temanku?

saya masih di bumi asing ini, InsyaAllah ada beberapa bahan menarik yang saya ingin kongsi bersama korang semua

sehari dua lagi adalah update baru tu, jaga diri hiasi peribadi

salam Satu Malaysia, chewah!

 

” Láew Phóp Kan Mài “

Read Full Post »

Puduraya Oh! Puduraya

barang siapa tak tahu atau tak pernah dengar nama Puduraya maka aku boleh klasifikasikan dia sebagai  bukan orang Malaysialah

aku percaya ramai di kalangan kita mempunyai sejarah tersendiri bila bercakap mengenai Puduraya

dulu kat Puduraya ni dahlah padat dengan manusia, tetapi juga menjadi rumah bagi penagih dadah, pengemis, pencopet, orang tua-tua terbiar dan kutu  rayau

 yang aku nak tulis hari ni adalah mengenai transformasi Puduraya yang bagi aku cukup hebat dan mengkagumkan

semuanya gara-gara keprihatinan PM kita sewaktu membuat lawatan mengejut ke sana beberapa bulan dulu

nak dijadikan cerita, baru-baru ni aku ke Puduraya, selalunya aku lepak kat luar je, entah macam mana hari tu hati aku tetiba tergerak nak masuk ke bahagian dalam

pada mulanya hati aku berkata, alah tak berubah pun, macam tu je sesaknya

tetapi sebaik saja aku terpandang ke tingkat dua, tetiba aku terlihat satu ruang besar yang tertulis RUANG MENUNGGU

mak ooi….dah macam airport beb!

aku pun naik ke tingkat tersebut dan percayalah, aku sungguh tak sangka Puduraya yang aku kenal dulu rupa-rupanya dah berubah wajah dengan begitu drastik sekali

toilet Puduraya dulu yang cukup ‘ngeri’, kini punyalah bersih dan cantik, walaupun kena bayar 50 sen, tapi berbaloi-baloi rasanya kalau korang nak kebersihan dan keselesaan ketika ‘membuang’

toilet lama

toilet baru

pun begitu, masalah ‘ulat’ atau orang tengah aku tengok dok macam dulu juga

tapi nak buat macam mana, bila kata stesen teksi atau stesen bas, kat mana-mana pun begitulah ragamnya

cuma aku percaya, kalau aktiviti ‘ulat’ yang dah ada kat Puduraya sejak berpuluh tahun ini boleh ‘dibersihkan’, confirm Puduraya akan jadi lebih hebat dan memukau

aku dengar perubahan yang ada sekarang baru di peringkat awal, semua kemudahan yang dirancang di Puduraya melibatkan kos RM22 juta dijangka siap sepenuhnya hujung 2010 atau awal tahun 2011, tak sabar aku nak tengok hasilnya

Puduraya oh! Puduraya

Read Full Post »

Di wajahmu ku lihat bulan
bersembunyi di sudut keningan
sadarkah tuan kan ditatap insan
yang haus akan beleian

Di wajahmu ku lihat bulan
menerangi hati gelap rawan
biarlah daku mencari naungan
di wajah damei rupawan

Serasa tiada jauh
dan mudah dicapei tangan
ingin hati menjangkou
kiranya tinggi di awan

Di wajahmu ku lihat bulan
yang mengintei di balik senyuman
jangan biarkan ku tiada berkawan
hamba menantikan tuan

 

buat wanita yang sangat ku sayang, aku bertuah kerana aku dikurniakan cinta dan kasihmu

aku bersyukur kerana aku diberikan kekuatan untuk berteduh dalam pelukan kasih sayangmu

sukar untuk aku gambarkan apa yang aku rasa ketika ini kerana rasa itu terlalu tinggi maharnya

andaikata nyawa ini menjadi galang gantinya, biarlah ia menjemputku seandainya itu dapat membalas apa yang telah kau curahkan

walau aku semakin hilang dari sentuhanmu, namun kasihmu bersemi selalu

di saat kau ku rindukan, di wajahmu itu ku lihat bulan!

SAK: Selamat ulang tahun Hajjah Siti Zaleha Pawanchik…dariku, anakmu.

Read Full Post »

Salam

di saat umat Islam bersolat Subuh pagi tadi, ada pengkhianat menjadikan Masjid Imam At-Tirmizi di Sri Sentosa dan Masjid Jumhuriah di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya sebagai sasaran lemparan objek dipercayai kepala babi hutan

jika dulu pelbagai pihak mengutuk serangan molotov cocktail ke atas gereja, sekarang aku nak tengok, ada tak nada yang sama mengutuk perbuatan biadap ke atas masjid seperti mana yang berlaku pagi tadi

sebab itu aku tidak pernah percaya EMOSI DAN KEGANASAN adalah jawapan kepada semua permasalahan terutama yang membabitkan agama, anutan dan kepercayaan

kita boleh bertindak merusuh, berdemo dan sebagainya namun di penghujungnya apa yang kita dapat?

yang kita akan dapat darah dan airmata serta keyakinan kononnya dengan cara begitu kita akan masuk syurga

dan sementara kita menantikan syurga yang belum tentu kita peroleh itu, kita akan terus menjadi bangsa yang dihina, dipijak dan ditindas

semua agama di dunia mengajar ke arah kebaikan, malangnya ramai di antara penganutnya memilih jalan untuk berseteru dan bersengketa

semoga Allah melindungi aku, engkau dan kita semua, Amin.

Read Full Post »

Avatar 3D

”Ada bukti kukuh yang serangan di World Trade Centre pada 11 September dirancang. Jika mereka mampu menghasilkan ‘Avatar’, maka mereka boleh membuat apa sahaja. Membunuh orang yang tidak berdosa sebagai alasan untuk berperang bukan sesuatu yang baru kepada Amerika,”

itulah kata-kata  Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merujuk kepada filem tersebut bila bercakap mengenai peristiwa 9/11 baru-baru ini

begitulah hebatnya impak filem paling hebat abad ini, Avatar, yang sekarang mencetuskan fenomena di seluruh dunia dengan kutipan berbilion-bilion dollar

walaupun sudah agak lama ditayangkan di sini, aku masih tidak berkesempatan menonton filem pengarah pujaan aku tu, James Cameroon

pertama aku bukanlah kaki wayang, kedua aku takde teman kerana yang kamceng ngan aku rupa-rupanya ramai yang dah pergi tengok dulu dan yang ketiga aku bukanlah penggemar filem sains fiksyen

tetapi pelawaan member baik aku di kolej semalam boleh diibaratkan bagai orang mengantuk di sarungkan bantal, bila dia ajak je aku terus cakap ” Orait, jangan citer banyak, jom kita pergi, make sure kita tengok Avatar versi 3D”

untuk pengetahuan korang, Avatar ditayangkan dalam dua versi iaitu 2D (yang macam filem biasa) dan 3D

mengapa aku nak tengok Avatar 3D?

keistimewaan 3D memberikan pengguna satu pengalaman yang berbeza dengan menjadikan korang seolah-olah sebahagian daripada adegan filem berkenaan, contohnya andaikata ada adegan anjing lalu depan korang, kalau filem biasa korang hanya nampak anjing tu lalu macam biasa je, tapi dalam versi 3D, korang akan nampak seolah-olah anjing tu betul-betul lalu depan biji mata korang, hah! hebat tak?

dipendekkan cerita bila sampai sana, orang punyalah ramai sampai kami dapat seat betul-betul depan skrin, full house. Harga tiket lak melambung jadi RM18 sorang, takpelah, janji best

sebelum nak masuk, diaorang bagi cermin mata khas (nak tengok 3D memang kena pakai cermin mata ni)

basically, cerita Avatar ini mengambil tahun 2154 sebagai latar zamannya, tiga dekad selepas sebuah syarikat korporat multinasional melakukan perlombongan di planet Pandora.

bagaimanapun, untuk menguasai galian unobtainium yang amat berharga yang terletak di bawah pohon raksasa yang menyimpan semangat dan kehidupan masyarakat serta dianggap suci oleh puak Na’vi, kumpulan korporat yang diketuai oleh Kolonel Miles Quaritch (Stephen Lang) perlu menghalau puak Na’vi dari kawasan tersebut

untuk melaksanakan operasi tersebut mereka menghantar Jake Sully (Sam Worthington), bekas askar Amerika yang lumpuh melalui program Avatar yang membolehkan Jake menyerap ke klon tubuh bangsa Navi yang membolehkannya menyelidiki kehidupan puak Na’vi supaya kemudian mudah menguasai puak tersebut

Jake Sully yang membuat hubungan dengan Neytiri (Zoe Saldana) anak kepada ketua kumpulan Na’vi ini kemudian telah jatuh hati bukan sahaja dengan Neytiri tetapi juga dengan kehidupan bangsa Na’vi serta alam sekitarnya

tindakan Jake ini bertentangan dengan misi mereka untuk menguasai kumpulan tersebut.

pendekatan naratif pada bahagian awal ini memperlihatkan ideologi barat pada era penjajahan terhadap puak-puak asli di Amerika dan malah pendekatan kolonial semasa menguasai negara-negara dunia ketiga dahulu.

menyedari hasrat penaklukan kumpulan korporat ini, puak Na’vi bersatu dengan puak-puak lain di planet Pandora menentang penjajahan manusia yang dilengkapi senjata yang canggih

memang hebat siot cerita ni, sepanjang aku hidup, tak pernah aku tengok filem gempak gila babi macam Avatar

korang tau tau, untuk nak buat filem ni, diaorang guna pekerja kreatif lebih 3,000 orang dan 10,000 komputer dengan mengambil masa lebih kurang 4 tahun setengah, itu hanya nak cipta untuk Planet Pandora!

ia termasuk untuk menyiapkan makhluk berwarna biru dengan ketinggian 10 kaki yang dikenali sebagai Na’vi. Pergerakan makhluk ini juga perlu dititikberatkan bagi memastikan ia tidak kelihatan canggung apabila proses pemindahan grafik dilakukan.

bila aku baca sejarah pembuatan filem ini, rupanya karektor makhluk berwarna biru itu sebenarnya diambil daripada mimpi ngeri ibu si James Cameroon sendiri

menerusi cerita ibunya, sekumpulan askar dari bumi berperang dengan makhluk biru berkenaan. Ia kemudiannya mencetuskan idea buatnya untuk menghasilkan jalan cerita berkenaan

”Avatar adalah filem hibrid. Ia mempunyai syot penuh aksi digabung dengan karektor rekaan komputer dan kehidupan sebenar. Itu menyebabkan penonton tidak tahu yang mana satu imej sebenar atau palsu. Ini kerana Avatar mempunyai 60 peratus elemen rekaan komputer manakala 40 peratus lagi untuk imej realistik,” kata Cameron

pendek kata aku puas hati gilerlah tengok filem Avatar versi 3D ni walaupun masa nak keluar tu aku pening lalat sikit sebab pakai cermin mata 3D tu

pada korang yang sanggup teman aku semalam terima kasih banyaklah kerana sudi gak ajak aku keluar tengok wayang, siap belanja makan asam laksa lagi

maklumlah aku ni anak yatim kematu…takde siapa sudi nak ajak tengok wayang huk huk huk (sambil buat muka ala-ala Fahrin Ahmad)

Read Full Post »

malam tadi masa aku tengah makan maggie, aku hampir tersedak bila tengok Fahrin Ahmad menangis teresak-esak dekat TV

aku pun kuatkan volume sikit, nak tahu jugak sebab apa, saham BSKL jatuh merudum ke, atau terharu bila dapat projek juta-juta ke, manalah tahu kan?

rupa-rupanya dia nak saman ex-girlfriend dia si towkey nasi ayam Linda Onn sebab tuduh dia kaki pukul

so dalam dok angin satu badan tu, member kita ni boleh teriak tak hengat dunia!

“Kesan kenyataan itu sangat besar kepada emosi, kerjaya dan keluarga saya. Bayangkan bagaimana perasaan saya bila orang bertanyakan hal ini kepada ibu saya yang terlantar sakit di hospital?.

“Bagaimana jika saya nak berkahwin dan macam mana tanggapan keluarga perempuan terhadap saya? Bagaimana pula tanggapan produk-produk iklan yang ambil saya sebagai duta? Bagaimana dengan rezeki dan masa depan saya nanti?,”

wow! wo! woowwww!!!!

ni yang payah kalau dah jadi artis ni, masa hangat bercinta keluar TV, masa putus cinta keluar TV, masa gaduh pun keluar TV

aku pun tak tahu nak cakap apa pasal kes ni, bagi aku tak perlulah keluar TV berbagai semata-mata nak saman ex-awek dia tu

bukan apa, malu weh bila satu Malaysia tahu kes ni…ala takkan tak leh kowtim kot, Linda Onn tu kalau tak make-up lebih kurang je ngan Ramlah Apam Balik kat rumah aku

Fahrin ni pun kalau tak pakai bedak, serupa gak macam Cikgu Jantan yang ajor aku Kemahiran Hidup dulu

dah, dah jangan nangis ye, nanti abang ajak korang tengok drama Halimah Jongang kat Astro!

SAK: Sesungguhnya putus cinta rasa macam nak tersayat kulit dari daging, perghhh

Read Full Post »

aku tidak dapat menyembunyikan betapa gembira dan bangganya aku hari ini apabila Sekolah Aminuddin Baki (SAB) Kuala Lumpur, sekolah menengah tempat aku belajar dulu terpilih sebagai salah sebuah daripada 20 buah sekolah terbaik di seluruh Malaysia dan diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), sekali gus bagi mengangkat sekolah ini ke arah sekolah bertaraf dunia

lebih membanggakan lagi, SAB mengalahkan 10,000 buah sekolah dari seluruh negara termasuk sekolah berasrama penuh dalam satu pengumuman khas yang dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin di Putrajaya semalam

ini bermakna SAB diberikan kuasa autonomi tambahan untuk mewujudkan inovasi pentadbiran sekolah dan meningkatkan keberhasilan murid

(masa aku Form 5)

malah antara ‘keistimewaan’ lain ialah pelajar dibenar menamatkan persekolahan setahun lebih awal melalui kaedah lompat kelas

untuk dipilih sebagai SBT, sekolah-sekolah berkenaan telah membuktikan mereka yang terbaik daripada segi prestasi dan pencapaian akademik serta kurikulum sekolah, hasil usaha dan kerjasama kepimpinan sekolah, pelajar serta ibu bapa

walaupun SAB tidak mempunyai asrama pelajar sekaligus tidak dianggap sekolah berasrama penuh, tetapi untuk menyambung pelajaran ke sini, setiap pelajarnya perlu memenuhi kriteria SAMA seperti mana mereka yang hendak ke sekolah berasrama penuh dan MRSM

dan kalau korang berpeluang menjejakkan kaki ke dalam sekolah ini, korang pasti terasa suasananya jauh berbeza dengan sekolah-sekolah menengah yang lain

kalau bukan kerana pelajarnya memakai uniform sekolah, korang pasti ingat SAB adalah sebuah kolej swasta

dan sebagai bekas pelajar yang menuntut hampir lima tahun di SAB iaitu dari Tingkatan Dua hingga ke Tingkatan Enam rendah, aku cukup-cukup terharu dengan penghargaan tertinggi yang diberikan oleh kerajaan ini

penghargaan ini sudah tentu paling layak diterima oleh warga pendidiknya yang tak jemu-jemu memastikan anak murid mereka berjaya

tahniah SAB!

Read Full Post »

Older Posts »

WordPress.com

WordPress.com is the best place for your personal blog or business site.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 292 other followers

%d bloggers like this: