Feeds:
Posts
Comments

Archive for March, 2012

Hat Yai macam aku pernah cerita dulu memang tempat favourite rakyat Malaysia kalau pergi ke Thailand

mungkin disebabkan ia tidak begitu jauh (hanya sejam lebih dari border Padang Besar) dan kos pun taklah tinggi berbanding kalau nak pergi macam Indonesia tu

kalau nak naik bas, dari Puduraya pun berlambak, tiket lebih kurang RM60 sajorkkk

cerita pasal Hat Yai ni, ada satu favourite spot orang Malaysia terutama orang Melayu kat sana…iaitu sekitar Hotel Lee Garden

dalam erti kata lain kalau pergi Hat Yai tak lepak Lee Garden kira tak sahler

ini kerana suasananya cukup happening terutama waktu malam kerana ia menjual pelbagai barangan cenderamata dan pakaian yang murah serta menarik…yang kaki disko tu takyah citerlahkan, berlambak-lambak kat area tu

sekitar hotel Lee Garden juga terdapat banyak warung makanan halal yang diusahakan oleh penduduk tempatan beragama Islam

memandangkan rakyat Malaysia melimpah-ruah di situ, so diaorang ni jual makanan kegemaran kita seperti nasi lemak, roti canai dan yang paling laku dah tentulah teh tarik!

menariknya teh tarik di sini, rasanya jauh lebih enak daripada kat Malaysia, lebih ‘kow’ dan sangat wangi baunya…pendek kata aku yang bukan seorang ‘harcore’ teh tarik pun boleh order dua tiga gelas le jugak kalau lepak kat warung tu

pergh! tiga layer lagi...

untuk menarik perhatian ramai, mamat yang buat teh tarik ni pulak akan tunjuk ‘skill’ yang dahsyat abis….macam yang gambar kat bawah ni, gaya kungfu pun ada gak!

amik kau!

tapi berita yang aku dengar tadi cukup mengejutan, Hat Yai yang dianggap kawasan ‘putih dan selamat’ untuk dilawati akhirnya digegarkan dengan letupan kuat hingga menyebabkan ratusan orang cedera

sebanyak 11 rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam kejadian letupan itu yang berlaku di kawasan terkenal berhampiran hotel Lee Garden yang aku cerita tadi

setakat ini pihak kedutaan hanya mengesan 11 rakyat Malaysia yang sedang dirawat di beberapa hospital

difahamkan pihak kedutaan akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi mengesan sekiranya ada lagi rakyat Malaysia yang terbabit dalam kejadian itu

laporan awal media Thailand menyebut tiga orang terbunuh dalam kejadian letupan di Hotel Lee Garden pada kira-kira pukul 1 tengah hari waktu tempatan manakala lebih 300 lagi cedera

letupan itu dikatakan berpunca daripada letupan gas di sebuah restoran makanan segera yang terletak di bangunan hotel itu dan siasatan masih dijalankan pihak berkuasa Thailand

aku ngan teh tarik kat area Lee Garden masa gi Hatyai bebaru ni

nampaknya kalau insiden ini berterusan, no more teh tarik le kat Hat Yai….kalau gian sangat aku gi minum teh tarik kat kedai mamak depan rumah aku dah ler…InsyaAllah selamat dan confirm suci dari noda dan dosa, ops, ada yang terasa ka? lariiiikkkkkkkkkkkkkk…………………..

 

 

Read Full Post »

apabila menyebut kerabat diraja, ramai pihak yang mengaitkan mereka dengan kehidupan sosial yang melampau, maksiat dan sebagainya

tetapi tak ramai yang sedar bahawa ramai juga dikalangan mereka yang mempunyai nilai keperibadian yang tinggi, warak dan baik budi pekerti

antara yang sering menjadi bualan adalah Raja Ashman Shah, iaitu anakanda Tuanku Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbudin Shah

walaupun dilimpahi kemewahan dan berkelulusan dari universiti terkemuka di dunia, Universiti Cambridge, namun Raja Ashman seorang insan yang cukup merendah diri dan gemar melibatkan diri dalam kegiatan dakwah

terkenal dengan imej rambut dan janggut yang panjang, Raja Ashman tidak pernah menjadikan status yang dimilikinya untuk bermegah dan mendabik dada, bahkan semua itu menjadikan beliau bertambah ‘rapat’ dengan Penciptanya

sebab itu boleh dikatakan setiap malam Jumaat, banglonya di Bukit Damansara akan diserikan dengan alunan zikir beramai-ramai

namun Allah lebih menyayanginya…tidak lama selepas selesai majlis berzikir di kediamannya itu malam tadi, Raja Ashman diserang asma dan meninggal dunia dalam usia 54 tahun

Allahyarham meninggalkan isteri Datin Seri Noraini Jane Kamarul Ariffin serta seorang putera Datuk Ahmad Nazim Azlan Shah serta dua puteri Raja Eminah Alliyah dan Raja Bainunisa Safia

pada yang tak tahu, Raja Ashman dikenali sebagai penaung tariqat Naqshabandi yang amat dihormati di seluruh dunia

sebab itu aku tak hairan bilamana berita kemangkatan Raja Ashman menarik perhatian pengikut-pengikut tariqat Naqshabandi seluruh dunia sejurus selepas blog peribadi pemimpin tariqat tersebut, Sheikh Hashim Kabbani menyiarkan berita tersebut

menurut kenyataan di dalam blog berkenaan, Shaikh Hashim Kabbani merakamkan takziah atas pemergian Raja Ashman, dan meminta semua pengikut tariqat tersebut mengadakan bacaan tahlil, yassin dan solat jenazah ghaib buat Allahyarham

selamat jalan buat insan yang sungguh aku kagumi…Almarhum Raja Ashman Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbudin Shah

Al-Fatihah.

 

 

Read Full Post »

aku dengar nama daging lembu wagyu ni dah lama, teringin benor nak memakan daging yang disifatkan antara yang terbaik dan termahal di dunia ni

dikatakan dagingnya lembut umpama mentega, cair ketika di dalam mulut (sambil menaip pun dah kecur air liur aku)

di Malaysia ni dah berlambak restoran yang jual stik daging wagyu terutama di hotel-hotel 5 star, tapi harganya boleh mencecah RM300 hingga RM500 sepinggan beb, pergh!

mengapa ia daging terbaik dan termahal?

gini ceritanya, chewah…

lembu wagyu (wa bermakna Jepun, sementara gyu bererti lembu) yang berasal dari Kobe, Jepun

lembu wagyu digunakan zaman dahulu dan ia membantu dalam penanaman padi

oleh kerana keadaan tanah yang sukar untuk menternak binatang di banyak daerah terpencil di Jepun, penternak zaman itu terpaksa menghasilkan sendiri teknik memelihara dan memberi makan lembu-lembu itu

makanan untuk haiwan ini yang dihasilkan oleh penternaknya, antaranya dicampurkan dengan bir atau sake (sejenis arak Jepun) yang dipercayai boleh membantu penghadaman dan mengurangkan binatang ini dari terasa lapar dalam cuaca lembap

daging lembu wagyu sekarang ini turut diternak di beberapa negara lain seperti New Zealand, Australia dan Amerika Syarikat

dengan pemakanan yang lebih canggih seperti jagung, bijirin, herba alfalfa, barli dan jerami gandum, daging lembu wagyu ini mengandungi lebih tinggi kandungan asid fatty Omega-3 dan Omega-6.

pengeluaran daging wagyu juga bebas dari antibioktik, hormon dan kimia

lembu wagyu disembelih apabila mencapai umur antara 30 dengan 35 bulan. Harga daging ini boleh mencapai setinggi AS$500 (kira-kira $600) untuk 150 gram

paling best, lembu wagyu juga diurut bagi membolehkan dagingnya kekal lembut dan enak ketika dimakan

siap kena massage lagi lembu ni

berbalik kepada ‘keteringinan’ nak makan daging wagyu ni, sahabat aku mencadangkan kami ke sebuah restoran, Las Vacas yang terletak di SS 5, Kelana Jaya (belakang Wisma FAM)

rasionalnya? mungkin tidak semahal di hotel 5 star la kot

dipendekkan cerita, sesampainya di sana, kami terus diberi pilihan untuk menunjukkan mana-mana daging wagyu yang kami berkenaan

lebih kurang 15 minit selepas itu, sampailah steak daging wahyu yang menjadi idaman kalbu itu

sebaik saja masuk ku mulut, segala apa yang dikatakan mengenai daging ini nampaknya memang BETUL!

YUMMMMYYYYYYYY!!!!

tidak keterlaluan aku katakan, dalam sejarah hidup aku, inilah pertama kali aku merasa daging yang betul-betul enak dan lembut, walaupun berat steak yang dihidangkan itu 300 gram, namun tak terasa ianya meluncur laju ke dalam mulut

sedar-sedar, licin berkilat pinggan kami hahahahaha

actually aku nak describe pun payah, baik cuba dulu then baru korang tahu naperlah daging wagyu ni menjadi sebutan di seluruh dunia

Azman (sebelah kiri), owner Las Vacas

menurut owner restoran ini, Freddy Azman, dia membeli daging wagyu dari Australia kerana ianya halal, lembu di negara itu juga tidak diberi minum arak sake seperti mana lembu wagyu di Jepun

dan setelah selesai detik mengujakan, kini tibalah detik mendebarkan….bil

sebaik saja bil diletakkan atas meja, mata aku ngan member aku jadi ‘berpinau’ sekejap…semuanya, untuk dua orang, RM402.30, ambikkk kooo!!!!

terima kasihler pada member aku sorang ni kerana ‘open table’ walaupun aku tahu dia pasti ‘tertelan air liur’ waktu menghulurkan kad plastiknya, larikkkkkkkkk

(pix credit to Vkeong.com))

Read Full Post »

Aida dan Faizal

…baru-baru ini aku menghadiri perkahwinan sepasang kekasih, Faizal dan Aida

sejujurnya aku tidak mengenali mereka berdua, tetapi kerana telah menerima kad jemputan daripada salah seorang anggota keluarganya, aku pun mengambil keputusan untuk hadir sebagai menghormati niat tuan rumah yang bersungguh-sungguh mahu aku datang ke majlis perkahwinan mereka berdua

majlis berlangsung dengan sederhana tetapi meriah, paluang kompang memecah keheningan suasana, istiadat merenjis mewarnai persandingan kedua mempelai, tetamu datang silih berganti

pengantin berdua pula segak dengan busana Melayu tradisional, doa penyeri wajah menaikkan lagi keayuan si perempuan dan menyerlahkan lagi ketampanan si jejaka

namun tak siapa sangka ada ‘cerita’ di sebalik perkahwinan pasangan kekasih itu

takdir telah menentukan apabila Faizal, dalam usia yang masih muda, tiba-tiba disahkan menghidap kanser oleh pakar perubatan di saat persiapan perkahwinan mereka sedang rancak berjalan

bimbang dengan masa depan bakal isterinya, Faizal pernah terfikir untuk membatalkan saja perkahwinan itu namun Aida tidak memperdulikan itu semua

sebaliknya Aida berjaya menyakinkan Faizal yang dia tidak akan sama sekali meninggalkan kekasih kesayangannya itu biar apa pun dugaan dan rintangan yang mungkin terpaksa mereka berdua lalui

lebih mengharukan, keluarga pihak perempuan juga bersungguh-sungguh mahu meneruskan perkahwinan tersebut walaupun sedar risiko yang bakal menimpa bakal menantu mereka di masa depan

pun begitu, demi menyelamatkan nyawanya, Faizal perlu terlebih dahulu terpaksa melalui rawatan kemoterapi, rawatan yang cukup menyakitkan dan berisiko itu

disebabkan rawatan tersebut, rambutnya mula keguguran, tubuhnya semakin susut dan kukunya bertukar kehitaman

namun atas dorongan keluarga dan kekasih kesayangannya, Faizal bersetuju untuk meneruskan perkahwinan tersebut

ketika melihat mereka berdua bersanding di atas pelamin, aku cukup sebak dan puas menahan agar airmataku tidak menitis

sebak mengenangkan betapa agungnya percintaan mereka berdua, bak kata pepatah, hanya cangkul (kematian) saja yang boleh memisahkan di antara keduanya

walaupun Aida sentiasa tersenyum sepanjang majlis berlangsung tetapi Allah saja yang tahu perasaan dan hatinya ketika itu

begitu juga Faizal, walaupun menahan derita kesakitan, tetapi dia cuba juga sedaya upaya untuk tersenyum kepada tetamu yang hadir

betapa berat mata memandang, berat lagilah bahu yang memikul

tetapi aku percaya, akan ada sinar di hujung episod sedih pasangan kekasih ini

aku doakan.

——————————————–

itulah yang aku catatkan dalam entry bertajuk Kisah Ketabahan Cinta Faizal Dan Aida yang bertarikh 3 Julai 2010

malam tadi aku mendapat berita yang Faizal akhirnya meninggal dunia sekaligus mengakhiri perkahwinan yang tak sampai pun dua tahun usianya itu

aku terus teringat kata-kata pujangga terkenal, Kahlil Gibran;

Jangan menangis, Kekasihku. Janganlah menangis dan berbahagialah, karena kita diikat bersama dalam cinta. Hanya dengan cinta yang indah kita dapat bertahan terhadap derita kemiskinan, pahitnya kesedihan, dan duka perpisahan

Al-Fatihah buat Faizal.

Aku tak mampu lagi untuk berkata apa-apa.

Read Full Post »

Cap Ayam

aku ni dulunya bukanlah seorang penggemar t-shirt

pakaian aku adalah kemeja berkotak lengen pendek dan seluar jeans

fesyen itulah masa kat pejabat, fesyen itulah masa gi pasar malam

namun segalanya berubah apabila adanya bundle, tetiba aku dah jadi gila baju bundle especially t-shirt lusuhnya

masa tu, kalau sampai je uptown, downtown atau pasar malam, duit aku akan abis di kedai bundle jer

namun lately ni aku dah jatuh cinta sama satu brand…bukan Polo, bukan Armani, bukan Paul Smith…tetapi CAP AYAM!

entah kenapa, walaupun orang kata kainnya tak berkualiti, buatan China atau apa saja perkataan yang sewaktunya dengannya, tapi aku cukup selesa dengan t-shirt Cap Ayam ni, sejuk je…tak panas kalau dipakai

dan tarikan utama dah tentulah perkataan-perkataan yang tertera atau design pada t-shirt itu sendiri

banyaknya yang kelakar-kelakarlahkan, sesuai dengan jiwa aku yang memang suka benda-benda funny ni

sebab itu, sekarang ni, pantang aku jumpa kedai atau butik Cap Ayam ni, maka berborong sakanlah aku…lagipun harganya masih dalam kategori ‘mampu milik’ lah kata orang…sekitar RM15 ke RM25 je sehelai

Butik Cap Ayam

cuma kekadang tu bila ada design yang kita berkenan, size pula tak de…bila ada size, designnya lak tak boleh blah

apapun aku ingin mengucapkan tahniah dan syabaslah kepada ‘founder’ Cap Ayam ini kerana mereka bagi aku berjaya mencipta revolusi baru dalam dunia fesyen tempatan, silap haribulan, international market pun diaorang boleh tembus kalau kena gaya dan caranya

ini antara koleksi t-shirt Cap Ayam aku;

yang ni pulak antara design yang kelakar, kalau ada size mau aku rembat gak nanti;

okeylah aku nak gi dobi dulu….ada empat helai baju Cap Ayam belum angkat, hehehehehe

.

.

.

HIDUP CAP AYAM!

Read Full Post »

kata orang, mengambil gambar mungkin kerja mudah, tetapi menghasilkan gambar yang mampu berbicara atau memberikan impak sehingga dikagumi ramai bukanlah semudah seperti memetik jari

aku percaya kata-kata itu

dalam karierku sebagai seorang wartawan, aku berani kata, ia tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya tanpa kehadiran mereka yang bergelar jurufoto

aku boleh cerita apa saja, tetapi gambar juga yang dicari orang untuk melihat buktinya

adakalanya, dengan sekeping gambar saja, ia sudah menceritakan segalanya…tanpa perlu lagi untuk aku mengetuk keyboard

bagi aku mereka adalah wira dan seniman dalam dunia mereka

mereka menghidangkan kita pelbagai jenis dan rupa visual tetapi berapa ramai di antara kita yang mengenali mereka

dapatkah kita membayangkan apa yang dimaksudkan tsunami jika tanpa kehadiran insan-insan ini?

dapatkah orang di Jeniang, Kedah mengagak kecantikan Jenifer Lopez sekiranya tanpa petikan kamera insan-insan ini?

dapatkah kita mengagak rupa bentuk Kaabah yang menjadi kiblat kita ketika solat jika tanpa petikan kamera insan-insan ini?

panas dan hujan adalah permainan mereka, peluru dan gas pemedih mata tidak mereka hiraukan

kita hari ini mungkin ketawa atau menangis melihat sesekeping gambar…namun kita mungkin terlupa ketawa dan tangis mereka yang merakamkannya

salut untuk jurufoto seluruh dunia!

(kredit pix utk Djohn, Bazuki, Aswad dll)

Read Full Post »

 

sekarang ni dah macam satu trend rakyat Malaysia untuk memuatnaik video pendek dalam Youtube

video anak belajar berjalan masuk Youtube, video mat rempit kena belasah masuk Youtube, video Hitler cakap Kedah masuk Youtube dan macam-macam lagilah

why not daripada korang merapu tak tentu hala hantar video ke situ, korang masuk satu pertandingan yang dianjurkan oleh Malaysia Airlines (MAS)

MAS baru-baru ini melancarkan pertandingan “Big Flight” menerusi YouTube yang akan menyaksikan pemenang diraikan dalam penerbangan pesawat A380 syarikat penerbangan itu

peserta hanya perlu mengemukakan video pendek menjelang 22 April dengan menyatakan kenapa mereka unik dan boleh dipertimbangkan untuk terbang dalam pesawat A380 MAS itu

peserta mestilah rakyat Malaysia, berumur 18 tahun dan ke atas dan mempunyai pasport yang sah

sebanyak 20 video berdurasi sekitar dua minit setiap satu, yang disenarai pendek, akan dipilih berdasarkan kreativiti, keaslian dan keseluruhan

video yang disenarai pendek kemudiannya akan dimuat naik ke dalam YouTube bagi diundi oleh orang ramai dan lapan yang terbaik akan memenangi tiket penerbangan itu

butiran pertandingan dan video yang dikemukakan boleh didapati di http://www.youtube.com/MalaysiaAirlines

bercakap pasal pesawat Airbus A380 ini, aku rasa ramai daripada kita yang teruja hendak menaikinya, yang juga muncul sebagai pesawat terbesar di dunia setakat ini

dekat nak siap dah A380 MAS ini

pesawat itu akan mempunyai 494 tempat duduk di dalam tiga kelas yang terdiri daripada lapan di Kelas Pertama, 66 di Kelas Perniagaan dan 420 di Kelas Ekonomi, amik ko!

kapal terbang A380 pertama yang diterima akan membuat penerbangan tiga kali seminggu ke London bermula 1 Julai, manakala pesawat kedua yang akan diterima membolehkan MAS membuat penerbangan harian ke ibu kota England itu

pesawat ketiga dan keempat pula, akan digunakan untuk penerbangan ke Sydney, Australia menggunakan formula serupa manakala destinasi untuk pesawat kelima serta keenam masih belum dimuktamadkan

so apa tunggu lagi, MAS siap bagi empat tiket lagi pada setiap pemenang

manalah tahu ada rezeki…kata orang tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahukan?

jommm tryyyyyyyyyyyyyyyyyyy

BUSINESS CLASS

ECONOMY CLASS

First Class

 

kelas ekonomi

Read Full Post »

sepanjang aku bekerja sebagai wartawan jenayah dulu, antara pengalaman yang tak dapat dilupakan adalah apabila menerima satu panggilan daripada seseorang yang tidak dikenali kira-kira tujuh tahun dulu

katanya, Koo Tee Yam mahu berjumpa dengan aku…mau ajak ‘makan-makan’

sebaik saja si pemanggil memberitahu waktu dan lokasi pertemuan itu, tubuh aku terus menggeletar

okaylah, mungkin korang tak pernah dengar namanya

tapi Tee Yam adalah individu yang cukup terkenal dalam dunia ‘underground’ di Kuala Lumpur…rasanya korang pun boleh tangkap kot apa yang aku maksudkan

untuk lebih jelas, dibawah ini aku sertakan berita mengenai Tee Yam yang tersiar di Utusan Malaysia bertarikh 31 Oktober 2005

—————————————————————————–

Jutawan dibebaskan — 48 jam selepas ditahan kerana dianggap mampu ancam negara

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Selepas 48 jam polis menyifatkan jutawan Koo Tee Yam perlu ditahan semula kerana mampu mengancam keselamatan negara, hari ini lelaki itu dibenarkan berjalan bebas.

Dia dibebaskan dari tahanan di Bukit Aman kira-kira pukul 8 malam ini.

Perkembangan ini menimbulkan tanda tanya. Tiada justifikasi jelas diberikan mengapa jutawan yang mempunyai aset bernilai RM1 bilion itu dibebaskan.

Utusan Malaysia difahamkan, alasannya hanyalah: “Polis berpuas hati hasil soal siasat ke atas Tee Yam.”

Alasan ini agak bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan dua hari berturut-turut yang menggambarkan keadaan sebaliknya.

Dalam kenyataan pada hari Tee Yam ditahan semula Sabtu lalu, polis berkata: “Penahanan lelaki itu atas dasar keselamatan negara.” Dan semalam, polis menguatkan hujahnya: “Penahanan dibuat bagi `melindungi’ Tee Yam sendiri dan bagi memberi perlindungan sepenuhnya kepada saksi pendakwa.”

Utusan Malaysia diberitahu, Tee Yam dibebaskan setelah pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan mesyuarat khas pagi ini.

Menghina

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd. Fauzi Saari memberitahu, polis telah menjalankan soal siasat terhadap lelaki itu.

“Siasatan dibuat dan Ketua Polis Negara berpendapat Tee Yam tidak perlu ditahan lagi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam peguam jutawan itu, Datuk Muhammad Shafee Abdullah berkata, beliau akan memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah menghina mahkamah kerana menahan semula anak guamnya itu.

Permohonan itu menamakan Ketua Polis Negara (KPN) sebagai responden.

Tee Yam ditahan semula oleh polis pada 29 Oktober lalu sebaik sahaja dia melangkah keluar selepas dibebaskan dari penjara Simpang Renggam, Kluang, Johor.

Selepas ditahan di bawah Ordinan Darurat 1969, lelaki itu terus dibawa ke Bukit Aman di sini.

Tee Yam dibebaskan dari penjara berkenaan ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan yang membebaskan beliau pada 19 Oktober lalu selepas permohonan habeas corpusnya didengar.

Dia sebelum ini ditahan di sebuah restoran di Bukit Bintang di sini pada 26 Mac 2004 sebelum dipenjarakan di Simpang Renggam, Kluang, Johor.

Tee Yam pernah melalui lima proses perbicaraan dan mengemukakan rayuan melalui Muhammad Shafee di Mahkamah Tinggi Muar pada 24 Mei sehingga 7 Julai lalu.

Dalam rayuan bagi permohonan habeas corpus di Mahkamah Persekutuan, Tee Yam diwakili barisan peguam diketuai Muhammad Shafee, Kaushalya Rajathurai, Frida Krishnan dan Lilian Lee.

Pihak responden diwakili oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Yusof Zainal Abiden, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Kamaluddin Mohd. Said, Mohd. Najib Zakaria, Fazillah Begum Abd. Ghani dan Tengku Amri Zaki Tengku Abdul Rahman.

Muhammad Shafee dalam hujahnya antara lain mengemukakan alasan mala fide (niat jahat) dari mula Tee Yam ditahan oleh polis sehingga 60 hari tempoh penahanan yang dibenarkan, dan tidak mengikut peraturan seperti dinyatakan oleh Lembaga Penasihat.

Keputusan pembebasan Tee Yam dibuat oleh panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Pajan Singh Gill, Datuk Richard Malanjum dan Datuk S. Augustine Paul.

Bagaimanapun, Tee Yam yang sepatutnya dibebaskan Rabu lalu, dilaporkan enggan meninggalkan pusat tahanan di Simpang Renggam itu kerana bimbang ditahan semula oleh polis.

Tee Yam dipercayai terlibat dalam pelbagai kegiatan haram seperti pelacuran, kongsi gelap, perjudian, kelab malam dan Ah Long. Malah beliau juga dikatakan mempunyai sebuah kelab malam ala Las Vegas.

——————————————–

OK habislah cerita tu, berbalik pada kisah pertemuan tadi, bila tiba waktu yang ditetapkan, aku pun pergilah ke sebuah restoran di Bukit Bintang tempat pertemuan itu diatur

sebelum pergi, aku siap inform dulu dengan editor aku agar segera buat ‘apa yang patut’ sekiranya aku tak pulang

aku baca senang saja…mungkin Tee Yam marah dengan berita-berita yang kami pernah tulis pasal dirinya di akhbar

berdebar ni jangan cakaplah, dengan ‘reputasi’ yang dimilikinya, aku tahu apa saja boleh berlaku

namun ‘gabra’ aku reda sketika bila sampai di sana, ini kerana bukan aku saja yang hadir, beberapa wartawan akhbar Cina juga nampaknya telah berada di situ

bahkan mereka lebih awal sampai daripada aku

suasana masa tu senyap sunyi, masing-masing hanya membisu seribu bahasa, mungkin mereka pun ‘kecut’ perut juga

kira-kira 10 minit kemudian, Tee Yam pun sampai

laaaaa……tengok muka dan fizikalnya tak macam gangster langsung, macam pak lawak pun ada juga

rendah saja orangnya

lepas bersalam dengan kami semua, dia pun mempelawa kami untuk makan tengah hari bersamanya

(inilah restoran tempat pertemuan kami)

memandangkan ia sebuah restoran Cina, aku hanya minum Coke jelah

” Lu jangan takut, saya bukan mau marah lu semua, tapi saya cuma nak beritahu yang saya tak salah…dan saya juga sudah menjalani hukuman, jadi tak adil untuk terus mau tahan saya dalam penjara,” katanya

kemudian Tee Yam lebih banyak bercakap dalam bahasa Cina

member Cina aku beritahu, Tee Yam dalam pertemuan itu lebih banyak bercakap mengenai status kesnya di mahkamah

dalam erti kata lain, dia nak media dengar pula daripada pihaknya dan tidak hanya menulis berdasarkan sebelah pihak semata-mata

apa-apa je lahkan, aku masa tu rasa macam nak cabut ajer daripada majlis tu, entah kenapa rasa macam tak selamat je hahahahah

nasib baiklah Tee Yam pun tak boleh lama, lebih kurang setengah jam dia pun blah

aku bila tengok dia blah, aku pun blah sekali

lagi lama aku kat restoran tu, lagi ‘cuak’ aku dibuatnya

inilah Koo Tee Yam

entah di mana dia sekarang, ada maklumat mengatakan dia kini menetap di Hong Kong, ada yang kata itu, ada yang kata ini

apapun bertemu dengan jutawan penuh kontroversi ini tetap akan menjadi kenangan dalam sejarah karierku dalam bidang kewartawanan

Read Full Post »

pertama sekali aku ingin mengucapkan tahniah pada adik-adik kita yang berjaya dalam SPM semalam, kalau result tu macam ‘hampeh’, jgn risau, hidup anda belum tentu hampeh…sejarah membuktikan betapa ramai manusia yang berjaya di muka bumi adalah disebabkan keinginan mereka untuk bangun dari kegagalan, bukannya di kalangan mereka yang meratapi kehancuran

bercakap pasal SPM, sekitar tahun 90-an dulu, masa tengah menunggu keputusan, perkara pertama yang aku buat ialah cari kerja

bukan apa, tak sabor rasanya nak cari duit poket sendiri setelah bertahun mentekedarah duit mak bapak hahahahaha

di saat kebanyakan member lain kerja sambilan di hotel atau jadi promoter di shopping complex, aku lak gatal nak ikut kawan aku ni kerja di sebuah syarikat ‘saham’

mulanya aku hairan juga kenapa masa interview mereka langsung taknak tengok sijil aku, rupa-rupanya kerja aku selak buku panduan telefon dan telefon semua nombor yang ada – suruh mereka beli saham!

memang kerja giler, daripada 10 panggilan yang dibuat, lapan panggilannya daripadanya AKU KENA MAKI

mana taknya, adakah patut, dengan tanpa diberi latihan, kami disuruh memujuk orang beli saham kononnya saham komoditi, kalau murah takpe jugak, ini paling kurang kena labur RM10,000 satu lot, gilo apo!

disebabkan tak tahan kena maki, aku ambil keputusan ikut kawan aku yang sorang ni bekerja di Metrojaya Bukit Bintang

aku dah pernah tulis pasal benda ni, takpelah aku refresh balik

segalanya bermula apabila aku pergi temuduga kerja sebagai sales asistant di situ, memandangkan itulah pertama kali aku pergi interview, maka perasaan gelabah tu tak dapat dipisahkan

di saat remaja lain hanya memakai t-shirt dan jeans, aku pula punyalah tertib apabila bantai pakai kemeja dan seluar slack sambil menggendung fail yang dipenuhi sijil ko-kurikulum.

“Adik, aku ingatkan tadi kau nak minta kerja jadi manager kat sini. Kalau setakat nak kerja sales asistant, tak payahlah susah-susah gosok baju kemeja dan bawa sijil,” kata salah seorang penemuduga di situ.

Muka aku punyalah tebal masa tu. Rasa macam nak balik rumah je naik bas mini (masa tu KL penuh dengan bas mini)

Namun dia ambil jugalah fail aku tu, lepas dia belek-belek, terus dia offer satu jawatan.

“Aku tengok banyak sijil kadet polis dalam fail ko ni, macam ni lah, memandangkan badan ko ni besar, kita orang ambil kau jadi pak guard kat Metrojaya ni, nak tak?,” kata mamat tu.

“Abang biar benar, kalau jadi pak guard saya taknaklah, buat malu je kat kengkawan, mesti mak bapak saya gelak kalau dapat tahu,” kata aku yang punyalah sakit hati dengan offer tu.

“Alah kau ni, bukan pak guard yang pakai cota tu, maksud aku kau jadi House Detective (HD). Kerja dia macam detektifla. Kau tak payah pakai uniform. Kami bagi kau satu walkie talkie, kerja kau ronda je, kalau kau nampak orang mencuri, kau tangkap dan serah kat kami. Gaji lagi mahal pada cashier!,” katanya

Alamak, macam best je. Lepas dua tiga hari fikir, aku pun terima offer tu. Yang bestnya, takde seorang pun member-member aku tahu aku kerja HD. Malulah beb! 

Rupa-rupanya kerja HD ni taklah seindah yang dibayangkan. Kalau kena shift pagi, dua jam sebelum shopping complex dibuka, kami dah kena buat spot check dari tingkat atas sampai tingkat bawah. Kami kena masuk toilet, masuk stor dan masuk tempat-tempat yang terselindung. Tujuannya untuk mengesan barang-barang yang mungkin disembunyikan oleh staf bertugas.

Lepas tu kami jugalah yang bertanggung jawab memasang semua lampu-lampu, membuka pintu-pintu kedai dan membuat pemeriksaan badan terhadap semua staf yang bertugas.

Selepas kedai dibuka, kami kena pula menyamar sebagai customer dan bertugas di zon atau floor yang ditentukan.

Inilah saat yang paling memenatkan. Kalau lapan jam bekerja, lapan jamlah kena ronda macam orang gila. Dapat duduk pun masa waktu makan je.

Yang lawaknya, kalau takde tangkapan pada hari tu, kami dianggap curi tulang atau mengular, ada akal ke?

Takkanlah kami saja-saja nak tangkap orang kalau diaorang tak buat salah, pergh!

Tapi memang betul, percaya atau tidak, dalam sehari tak kurang daripada 10 kes kecurian pasti berlaku. Inilah realitinya.

Korang mungkin terkejut kalau aku bagitahu, antara customer yang kami pernah tangkap kerana mencuri termasuklah manager bank, cikgu sekolah dan inspektor polis, hahahaha

selalunya kalau tertangkap, kami akan serahkan mereka ke balai…tapi terpulang pada budi bicara jugaklah. Kalau suspek tak melawan atau mengaku salah, selalunya kami akan minta mereka bayar balik barang yang mereka curi, tetapi kena bayar doublelah. Mana boleh kasi muka.

Kami juga ada bilik gelap macam bilik C.I.D kat balai-balai tu, tempat di mana suspek dibawa untuk di soal siasat. Jangan salah sangka, kami tak pernah belasah orang, kami yang kena belasah lagi ada.

Tapi yang kuat melawan tu, singgah jugalah penampar dua tiga das kat muka diaorang.

Namun pengalaman yang aku tak boleh lupa adalah bila satu hari tu aku ditugaskan untuk berkawal di bahagian t-shirt2 branded seperti Dunhill, Polo dan  Crocodile. Harganya tak kurang dari RM100 setiap helai.

Tempat tu memang sensitif kerana di situlah berlaku banyak kecurian. Hari itu aku punyalah berjaga-jaga sampai nak pergi kencing pun takut, takut barang hilang.

Alhamdulilah, sepanjang aku berkawal takde langsung promoter yang complaint barang dia orang kena curi

Tetapi alangkah terkejutnya aku, keesokkan harinya bos aku bagitahu lebih 20 pasang baju Crocodile bernilai hampir RM5 ribu lesap dicuri tanpa dapat dikesan, biar pun melalui CCTV

kejadian pula dipercayai berlaku masa aku berkawal, aduh, mati aku. Apalagi, aku kena maki gila-gila dengan bos aku.

“Beginilah, kerja kita memang begini, kalau baik takde sapa puji, kalau salah, berguni-guni dikeji,” kata salah seorang HD senior sebaik saja mengetahui aku ‘digasak’ dek insiden tersebut.

Itu hanya sekelumit kenangan, banyak lagi yang aku lalui sepanjang bergelar HD @ pak guard, sebab itu sehingga hari ini aku sangat respek dengan pak guard, tak kisahlah dia orang tempatan ke, bangla ke mahupun Nepal.

ini kerana aku sendiri telah melalui pengalaman seperti mana yang telah mereka lalui, walau nampak rilex dan macam orang bodoh je, tetapi hanya mereka saja yang tahu sengsaranya bekerja sebagai pak guard.

aku hanya bertugas selama tiga bulan sebelum berhenti kerana mendapat tawaran melanjutkan pelajaran

namun memori pahit manis tersebut akan aku kenang sampai bila-bila

tabik pada pak guard di seluruh dunia,  walau di mana juga, anda berada!

Read Full Post »

 

jika semalam aku menulis mengenai Prof. Datuk Dr. Ungku Omar, saintis Melayu pertama yang makin dilupakan sejarah dan sumbangannya, hari ini aku nak menulis mengenai seorang lagi tokoh anak Melayu yang hanya sering didengar namanya, tetapi tak ramai yang tahu siapakah beliau yang sebenarnya

untuk pengetahuan korang, beliaulah yang digelar Bapa Pendidikan Malaysia…Aminuddin Baki

aku sendiri walaupun pernah menuntut di Sekolah Aminuddin Baki Kuala Lumpur (sekolah yang dinamakan sempena nama beliau), tetapi tak tahu dan langsung tidak kenal tokoh yang dimaksudkan

 

dalam hal ini aku berterima kasih kepada arwah abah yang menghadiahkan sebuah buku biografi mengenai Allahyarham sewaktu hari jadiku yang ke 14 tahun

terus-terang, inilah hadiah hari jadi yang aku anggap paling bermakna yang pernah aku terima!

inilah buku yang aku maksudkan

untuk pengetahuan korang, Aminuddin lah yang memperkenalkan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), menggantikan peperiksaan LCE, MCE dan HSC

mengenai insan istimewa ini, beliau telah ditawarkan jawatan Pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim selepas tamat pengajian di London pada sekitar tahun 50-an

beliau juga yang memperkenalkan subjek Sejarah Islam kepada pelajar

pada bulan September 1955, Aminuddin terlibat dalam menyediakan Laporan Pendidikan Razak dan pada tahun 1960, beliau dipilih sebagai ahli jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Abdul Rahman Talib.

ketika berusia 36 tahun, Aminuddin dilantik menjadi Ketua Pegawai Pendidikan Selangor pada 1962, dan pada tahun yang sama menjadi Ketua Penasihat Pendidikan Malaysia (kini dikenali sebagai Ketua Pengarah Pendidikan)

bayangkan pada usia semuda itu, beliau telah dilantik ke jawatan tersebut

bahkan beliau juga diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai perancang pendidik yang bijaksana dan berpandangan jauh di Asia oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO)

sebenarnya apa yang aku cerita ini hanyalah sekelumit daripada kisah kejayaan dan jasa yang beliau taburkan kepada kita

kerana terlalu menyayangi bangsanya, arwah sering mengingatkan para pelajar Melayu agar belajar bersungguh-sungguh supaya tidak menjadi hamba di bumi sendiri

pepatah yang sering keluar dari mulutnya ialah – JANGAN JADI AYAM DIKEPUK MATI KELAPARAN, ITIK DI AIR MATI KEHAUSAN

namun, seperti mana Ungku Omar, beliau juga meninggal dalam usia muda iaitu 39 tahun kerana diserang penyakit jantung selepas menunaikan sembahyang

lebih menghibakan, ada yang mengatakan punca kematian Allahyarham adalah kerana terlalu memikirkan bagaimana untuk mencari kaedah bagi memajukan anak bangsanya

begitulah hebatnya anak Melayu yang bernama Aminuddin Baki ini

kini namanya hanya boleh dilihat di papan tanda sekolah, nama jalan dan nama sebuah institusi pendidikan di Genting Highlands

sayang, jasa dan pengorbanannya semakin dilupakan dan terus dilupakan….Al-Fatihah buat Allahyarham…

Read Full Post »

Older Posts »

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 269 other followers

%d bloggers like this: