Feeds:
Posts
Comments

Archive for July, 2012

di depan pintu masuk Muzium Mekah

sebenarnya nak masuk ke Muzium Mekah ni bukan boleh sebarangan masuk, kena dapat keizinan daripada kerajaan Arab Saudi terlebih dahulu

aku pun hairan, apa yang payah sangat sedangkan muzium lain kat mana-mana pun terbuka untuk dilawati

mungkin sebab keluasannya yang terhad berbanding jumlah jemaah yang beratus ribu malah boleh mencecah jutaan manusia itu

jadi kira nasiblah, kalau pihak travel agency korang boleh uruskannya maka dapatlah masuk, kalau tak pakat tengok dari luar jelah

lepas tu pula tak boleh melawat lama-lama kat dalam tu, sekitar setengah jam saja kemudian kena bagi grup lain pula masuk

dalam erti kata lain kalau pihak muzium kata pukul 9.30 kena ada depan pintu, so 9.30 tepatlah kena ada…kalau lambat, melepaslah jawabnya

so grup kami beruntung kerana dapat keizinan daripada pihak muzium untuk masuk ke dalamnya

bila dapat masuk ke dalam, aku actually agak kecewa kerana ia lebih layak dipanggil ‘pameran’ daripada muzium

artifek tak banyak sangat berbanding sejarah kegemilangan Islam di kota suci Mekah itu sendiri

aku rasa lebih banyak foto daripada artifek, kalau korang ingat kat sini boleh tengok warisan peninggalan Rasulullah seperti pedang baginda ke, serban baginda ke, maaf ini bukan tempatnya

pendek cerita Muzium Mekah ini lebih kepada menceritakan sejarah pembangunan Mekah terutama sekitar Masjidil Haram daripada zaman lampau hinggalah kepada perancangan akan datang

tapi bukanlah tak menarik langsung, ada gak yang menarik cuma aku rasa ia harus diperluaskan dan ditambah lebih banyak barangan dan artifek berbanding yang ada di situ ketika ini

anyway, berikut adalah beberapa barangan yang dipamerkan di dalam muzium tersebut;

bingkai lama yang mengikat Hajar Aswad

pintu Kaabah zaman dulu

alat menenun kelambu Kaabah (Kiswah)

tangga lama nak masuk ke dalam Kaabah

telaga zam-zam

dan inilah Masjil Haram di masa akan datang………

.

.

.

* dan memang betul, baru nak ‘feeling-feeling’ layan benda-benda antik ni, pak Arab yang jaga muzium tu dah suruh kami keluar, bak kata member aku: ” Den nak kontut pun tak sompek! ” 

Read Full Post »

satu pasangan Indonesia bernikah di Masjidil Haram

baru-baru ini masa di Mekah, nak dijadikan cerita aku terserempak dengan satu pasangan dari negara kita

aku difahamkan, kedua-dua mereka baru saja bernikah di sini, lebih spesifik di Masjidil Haram kalau tak silap aku

nampak romantik je heheheh, maklumlah baru lepas akad nikah

yang pasti mereka bukanlah pasangan pertama yang mengambil keputusan untuk bernikah di Masjidil Haram

selebriti kita macam pelakon Ashraff Muslim dan Ummie Aida pun bernikah di masjid agung ni

dan trend itu sebenarnya makin popular di kalangan jemaah, nak ambil berkat mungkin

bahkan aku difahamkan, ada travel agency Indonesia siap menawarkan pakej lagi pada jemaahnya yang nak melangsungkan akad nikah di Masjidil Haram

majlis pernikahan Ashraf Muslim

persoalannya, jeng jeng jeng, apa hukumnya bernikah di sini?

baik dengar sini baik-baik, menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Julai 2002 memutuskan bahawa hukum pernikahan di luar negara adalah sah dengan syarat:

(1) Pernikahan itu mengikut rukun nikah

(2) Pernikahan itu melebihi dua marhalah

(3) Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin atas alasan syarak ditempat dia bermastautin

(4) Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakadnikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim.

OK ada dua permasalahan di sini, pertama, perkahwinan yang berlangsung di luar negara ketika berada di luar negara mungkin ketika belajar, kerja dan sebagainya

satu lagi perkahwinan yang berlangsung di luar negara kerana tidak mahu terikat dengan undang-undang serta peraturan nikah kahwin di Malaysia (senang citer nak tambah ‘cawangan’ ler)

jika perkahwinan di luar negara yang dimaksudkan adalah perkahwinan semasa belajar, maka di sana ada beberapa prosedur yang perlu dipatuhi oleh rakyat Malaysia

dalam hal ni kalau ada yang ‘berminat’, peraturan-peraturan serta prosedur nikah kahwin boleh dirujuk ke pejabat konsul Malaysia di negara berkenaan melainkan negara tersebut tidak ada konsul Malaysia, maka keadaannya berubah

majlis pernikahan Umie Aida

nasihat aku mudah saja, bagi mereka yang ingin melangsungkan perkahwinan di luar negara, terlebih dahulu harus merujuk kepada pejabat konsul untuk mendapatkan nasihat

kebiasaannya, setahu aku pejabat konsul Malaysia di luar negara akan meminta pihak yang mahu berkahwin mendapatkan surat persetujuan nikah di luar negeri daripada jabatan agama masing-masing

contohnya jika si A berasal dari Selangor ingin berkahwin dengan si B dari Pahang, maka langkah pertama yang harus dilakukan oleh A adalah mendapatkan persetujuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi melangsungkan perkahwinan di luar negeri

si B pula perlu mendapatkan persetujuan wali untuk melangsungkan perkahwinan di luar negeri

apabila kedua-dua mereka telah mendapat persetujuan melangsungkan pernikahan di luar negara maka dokumen yang lengkap hendaklah dikemukakan kepada pihak konsul Malaysia di negeri mereka bermastautin

ini untuk mendapatkan surat kebenaran bernikah di negara berkenaan, maka dokumen konsul serta dokumen dari Malaysia digunakan bagi mendapatkan khidmat nikah daripada wali hakim negara berkenaan

selepas selesai dinikahkan maka jabatan agama atau institusi agama negara tersebut akan mengeluarkan dokumen pernikahan, kemudian dokumen pernikahan tersebut dibawa ke konsul Malaysia bagi tujuan pengesahan pernikahan

apabila A dan B pulang ke tanah air, maka perlu didaftarkan di pejabat agama untuk mendapatkan sijil nikah, sekiranya semua prosedur ini dipatuhi maka pasangan ini tidak perlu diijab kabul sekali lagi, kerana perkahwinan mereka telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh jabatan agama negeri masing-masing.

dalam sudut hukum munakahat pula perkahwinan yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak apabila dipenuhi maka pernikahan tersebut sah!

baik bagaimana pula kalau nak kahwin di Mekah, adakah perlu mengikut semua prosedur itu atau ianya terkecuali?

wow, maaf, aku takde jawapan itu…kena rujuk pihak berkuasa agama ye hehehehe

perlu diketahui bahawa tidak semua negara meminta dokumen yang disahkan oleh pihak konsul, ada negara tidak mensyaratkan, maksudnya, sesiapa pun boleh melangsungkan perkahwinan tanpa persetujuan pihak konsul mahupun jabatan agama negara dan kebenaran wali bagi perempuan

tapi bila borak-borak, ada yang kata toksah pening-pening kepala, yang penting cukup syarat, pastu bernikah je macam biasa then bila balik Malaysia gi register, paling kuat pun kena denda je, wah macam simpe la pulak

satu lagi, paling tidak pun kena diijabkabul sekali lagi, ermmmm…..

baiklah apa yang aku nukilkan di atas tu jangan jadi rujukan pulak, ini secara amnya saja, lebih tepat, sekali lagi aku tegaskan – gi rujuk jabatan agama!

yang penting, apa-apa pun, nikah di Siam ke, nikah di Zimbabwe ke, tolonglah pastikan pernikahan korang tu didaftarkan!

jangan amik mudah, sah itu satu hal la tapi konflik perundangan pun kena ambil kira bang

jangan ingat pendaftaran ini kerana nak dapat sijil nikah je (selamat bila kena operasi JAIS hehehe), tetapi ia merupakan satu rekod yang mensahihkan bahawa perkahwinan tersebut bukan sahaja menurut undang-undang negeri tetapi juga telah menepati hukum syarak

perkahwinan yang tidak didaftarkan adalah tidak sah dari segi undang-undang…so yang paling ‘bermasalah’ tentunya kepada si perempuan

kepada perempuan, ia bermaksud bahawa anda tidak akan mempunyai hak sebagai seorang isteri dan tidak boleh membuat apa-apa tuntutan di Mahkamah Syariah kelak

si perempuan juga tidak akan dibenarkan menuntut hak ke atas nafkah, hak penjagaan atau nafkah anak, dan lain-lain tuntutan sehingga perkahwinan didaftarkan

sekiranya anda mempunyai anak kelak tanpa sijil nikah yang sah, ia mungkin akan menyukarkan proses pendaftaran kelahiran dan lain-lain proses yang memerlukan kesahihan bahawa si suami adalah bapa

sebab itulah, proses awal itu sangat penting, proses mendapatkan persetujuan bernikah di luar negara biarpun negara yang ingin dilangsungkan perkahwinan itu tidak ada konsul Malaysia

apapun, yg penting kebahagiaan tu bukan terletak kat mana kita kahwin, mak aku pun nikah kat kampung je tapi kekal sampai akhir hayat Alhamdulillah

kalau ada maklumat tambahan yang ingin dikongsi, dont afraid to do so, nak dengar juga pandangan dari kalian, Wallahualam…

Read Full Post »

sebentar tadi aku tengok siaran langsung solat tarawih dari Masjidil Haram melalui TV Al Hijrah

kemudian ‘diselitkan’ atau bahasa TV kita panggil ‘insert’ visual suasana jemaah sedang melakukan saie

ia terus mengimbau kenangan sewaktu aku melakukan saie baru-baru

memandangkan kaki aku bengkak seperti mana yang aku ceritakan sebelum ini, jadi aku berjalan macam orang ‘bertatih’ istilahnya

sambil berjalan dahi aku berkerut menahan sakit, maklumlah jaraknya pula bukan dekat, hampir 2.4 kilometer keseluruhannya

kerana tak mahu menganggu jemaah lain dalam grup aku, aku mengambil keputusan untuk melakukannya seorang diri…taknak tumpuan mereka terjejas hanya semata-mata nak tunggu aku berjalan

tapi perasaan sedih tu adalah juga, aku lihat ramai yang bersaie dalam kumpulan, ada yang berjalan berpasangan sedangkan aku hanya berseorangan…tapi aku redha, yang penting Allah ada bersama aku

di pertengahan jalan, tiba-tiba aku melihat seorang Pak Arab ini berjalan dengan seorang anak lelakinya…MasyaAllah sangat comel OK!

lebih membuatkan aku tersenyum bila adik ini mengenakan ihram macam jemaah lain, lucu pun ada juga

so dalam diam-diam aku mengeluarkan kamera kecil aku dan merakamkan gelagatnya

dalam hati, aku nak sangat merakamkan wajahnya yang cute itu

oh kembar rupanye…

kebetulan masa berhenti sekejap untuk minum air zam zam, terserempak dengan mereka

last-last dapat juga rakam wajah comel adik ni, dan bila tengok muka bapa dia yang macam ‘hangin’ je aku ambil gambar anak dia,  laju je aku melangkah hehehehehe

apa komen korang, chomel kan?

kiut tak?

Read Full Post »

Tapak ini dikatakan bekas masjid lama yang menjadi lokasi bai’atur ridhwan. Wallahu a’lam.

Hudaibiyah merupakan lokasi para sahabat Rasulullah SAW melakukan bai’ah (janji taat setia) kepada Rasulullah SAW untuk memerangi kafir Quraisy, yang dikenali dengan nama Bai’atur Ridhwan pada bulan Zulkaedah tahun 6 Hijrah (Mac 628M).

Pada tahun itu, Rasulullah SAW dan para sahabat hendak ke Makkah untuk menunaikan umrah. Ketika sampai di Hudaibiyah ini, kaum kafir Quraisy menghalang rombongan Rasulullah SAW untuk masuk ke tanah haram.

Rasulullah SAW mengutus Sayyidina Uthman Affan untuk berunding dengan mereka.

Setelah lama menunggu Sayyidina Uthman yang tidak kembali, terdengar khabar mengatakan bahawa Sayyidina Uthman mati dibunuh sehingga menyebabkan para sahabat marah dan membai’ah Rasulullah untuk memerangi Quraisy.

Saat itu turun wahyu dua ayat iaitu ayat 10 dan 18 daripada surah al-Fath :

“Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad – untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar”.

“Demi sesungguhnya! Allah redha akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya”.

Tidak lama sesudah itu, Sayyidina Uthman kembali dengan selamat. Beliau memperlihatkan butir proposal perjanjian genjatan senjata daripada musyrikin Makkah kepada Rasulullah SAW.

Isi Perjanjian Hudaibiyah

1) Gencatan senjata selama sepuluh tahun.

2) Orang Islam dibenarkan memasuki Makkah pada tahun berikutnya, tinggal di Makkah selama tiga hari sahaja dengan hanya membawa senjata bersarung.

3) Bekerjasama kepada perkara yang membawa kebaikan.

4) Orang Quraisy yang lari ke pihak Islam tanpa kebenaran keluarga dikembalikan semula.

5) Orang Islam yang lari ke pihak Quraisy tidak perlu dikembalikan.

6) Kedua-dua pihak boleh membuat perjanjian dengan mana-mana kabilah Arab tetapi tidak boleh membantu peperangan.

Perjanjian itu kemudiannya dikenali dengan ‘Perjanjian Damai Hudaibiyah’ atau ‘Sulh Hudaibiyah’. Kemudian Rasulullah SAW dan para sahabat kembali ke Madinah.

Di tengah perjalanan itulah melalui perantaraan Malaikat Jibril AS, turun wahyu yang lain pula :

“Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata.

“Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya)”.

“Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepenuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya)”.

“Dialah Allah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

“(Allah melakukan demikian) supaya ia memasukkan orang yang beriman ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dengan keadaan kekal mereka di dalamnya, serta menghapuskan dosa-dosa mereka; dan yang demikian itu pada sisi Allah merupakan kejayaan yang besar (untuk mereka)”. (al-Fath : 1-5) - dipetik dari abunuha.wordpress.com

Masjid Hudaibiyah

Al-Hudaibiyah ini berada di luar batas tanah suci, iaitu jalan antara Mekah dan Jeddah dan sekarang lokasi ini dipanggil Syumaisi

jarak dari Masjidil Haram ke sini adalah sekitar 24km, boleh dikatakan semua travel agency yang menguruskan pakej umrah akan membawa jemaahnya datang melawat ke kawasan ini, kalau takde, gi tarik telinga mutawwif korang hehehe

actually terus terang aku katakan yang aku bersyukur sangat-sangat bila sampai ke sini

maklumlah di saat banyak kawasan peninggalan sejarah Islam di tanah suci telah dimusnahkan atas nama pembangunan dan sebagainya, sekurang-kurangnya kita masih lagi boleh melihat tapak di mana berlangsungnya Perjanjian Hudaibiyah ini

tapi akan datang, aku pun tak tahu sama kita masih berpeluang melawatnya, jangan ia pun dirobohkan sudahlah, apalagi yang tinggal kalau ianya berlaku…entahlah…

 

Read Full Post »

sebenarnya dalam banyak-banyak entry, seperti yang aku cerita sebelum ini, menulis mengenai pengalaman di tanah suci merupakan perkara yang paling PAYAH untuk aku nukilkan

paling takut sekiranya ada pembaca yang menafsirkan tulisan aku tu adalah usaha untuk UP DIRI atau nak bagitahu satu dunia yang aku ni ALIM orangnya

perasaan takut itu juga muncul bila mengenangkan ramai juga kenalan rapat aku yang membaca blog ini, mungkin mereka ingat aku nak tunjuk baik atau yang sewaktu dengannya

Alhamdulillah setakat ini, TIADA RESPOND NEGATIF yang aku terima, tapi manalah tahu hati orang kan…

seperti yang aku beritahu, apa yang aku tulis adalah lahir dari pengalaman dan pemerhatian aku yang cuma hanya sekitar dua minggu di sana

barangkali betul dan barangkali juga salah, maklumlah kita yang duduk kat Malaysia berpuluh tahun pun ada benda yang kita tak tau sebagai contoh, apatah lagi kalau baru sehari dua

so sekali lagi aku minta maaf sekiranya apa yang aku tulis ini salah, tidak tepat atau menyalahi fakta…tetapi apa yg boleh aku katakan, sebelum aku tekan button PUBLISH mengenai entry di tanah suci ini, Alhamdulillah aku ada mengkaji, bertanya dan membaca, basically tak perlu risau kot hehehe

sebab tu kalau korang perhati, aku tak banyak sentuh mengenai bab-bab ibadah tetapi lebih kepada cerita human interest, side story dan sebagainya

kalau nak lebih mendalam soal-soal ibadah ni, aku percaya, banyak lagi blogger-blogger, ustaz-ustaz yang menulis mengenainya dalam blog mereka..rasanya jelas kot?

orait, sambung lagi..

hari ni aku nak cerita mengenai pengalaman solat fardhu depan Kaabah, bagi aku menunaikan solat fardhu berhadapan dengan Kaabah merupakan kenangan yang cukup manis yang tak mungkin dapat digambarkan dengan kata-kata

sejak kecil lagi, sejak kali pertama kenal tikar sembahyang, aku percaya ramai daripada kita bersembahyang di atas sejadah yang mempunyai gambar atau lambang Kaabah, tak terkecuali aku

sebab itu masa di Masjidil Haram, aku seboleh-bolehnya nak solat betul-betul depan Kaabah, kalau boleh bukan dari jarak 200 meter, bukan 100 meter, tapi kalau boleh sejengkal dari Kaabah!

Alhamdulillah, Tuhan makbulkan…masa berjaya memasuki kawasan Hijir Ismail (betul-betul depan Kaabah) yang sangat ramai dan sesak itu, aku sempat beberapa kali menunaikan solat sunat dua rakaat di situ

kalaulah tak memikirkan nak bagi peluang kat orang lain nak berdoa/solat kat kawasan berkenaan, nescaya aku tak nak keluar dari situ

nikmatnya bersolat betul-betul depan Kaabah hanya Allah saja yang tahu!

walaupun berdepan dengan risiko dipijak, dihimpit dan ditolak jemaah lain, namun keindahannya tak dapat digambarkan

begitu juga bila masuk waktu untuk solat fardhu, memang ramai yang nak solat depan Kaabah tapi ia bukan mudah, apatah lagi kalau kita lewat, confirm saf yang berhampiran dengan Kaabah akan penuh dan kita akan diminta masuk semula ke dalam masjid oleh pengawal yang bertugas

bercakap mengenai solat depan Kaabah ini, ada yang tanya, adakah kita perlu tunduk ke bawah atau pandang terus saja ke depan menghadap Kaabah?

logik juga soalan ni, yelah alang-alang dah depan Kaabah, buat apa nak tunduk bawah lagi kan?

seorang jemaah dalam grup aku pernah ‘menegur’ aku sebab aku tunduk ke bawah bila solat depan Kaabah

” Kau dah ada depan Kaabah, tengok sana je dahlah, buat apa tunduk lagi?,” katanya dalam nada yang ‘agak tinggi’

aku actually bab ibadah ni jarang sangat nak ‘argue’ ngan orang, maklumlah ilmu aku takdelah setinggi mana

tetapi ramai ulama berpendapat DISUNATKAN memandang ke tempat sujud ketika solat

antaranya mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali

kerana diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW masuk Kaabah, dan baginda tidak mengalihkan pandangannya dari tempat sujud sehingga keluar daripada Kaabah

namun, tidak ada larangan daripada melihat ke hadapan ketika solat, yang dilarang ialah mendongak ke atas

aku bukan apa bro, maklumlah kat depan Kaabah tu ramai orang lalu lalang, mana tahu kot-kot yang melintas tu Siti Nurhaliza ke, Neelofa ke, risau juga kot-kot ‘kekhusyukkan’ aku tu melayang entah ke mana

sebab tu aku lebih suka ambil pendekatan untuk memandang ke tempat sujud walaupun yang betul-betul berada di depan aku tu Kaabah

ke aku salah atau macam mana…boleh tolong bagi pandangan?

Read Full Post »

terbaru, dah ada tempat ambil wudhu di sekitar perkarangan Masjidil Haram

nak berwudhu, nak pergi toilet bukanlah satu masalah besar di Masjidil Haram…ia sangat banyak, maklumlah nak menampung jumlah jemaah yang datang dari satu dunialah katakan

malah kalau dulu tempat ambil air sembahyang terletak di tingkat bawah, kini pihak berkuasa Saudi dah bina tempat berwudhu di sekitar perkarangan Masjidil Haram…makin mudah buat jemaah, tak payah nak berjalan jauh, tak payah turun naik eskalator

bukan itu saja, tempat mandi pun disediakan!

bercakap pasal tempat mandi ni, selama aku dok pergi Masjidil Haram, aku selalu nampak signboard bilik mandi tu, tapi setiap kali lalu, aku akan cakap dalam hati, ada ke orang yang nak mandi kat Masjidil Haram ni, bukan apa, rasa macam tak sanggup pula mandi di bawah Kaabah (tempat mandi terletak di ground floor)

tapi itulahkan, kat tanah suci ni janganlah sebarang cakap, waima dalam hati sekali pun, silap haribulan dapat CASH!

nak dijadikan satu pagi tu masa kami semua sedang bersiap nak solat Subuh di Masjidil Haram, tiba-tiba hotel yang kami duduk telah putus bekalan air, alamak!

actually aku difahamkan, sejak projek pembesaran kota Mekah dilancarkan, kerap berlaku hotel di sekitar Masjidil Haram putus bekalan air

aku ni pulak jenis spesis yang tak boleh kalau tak mandi, waima sejuk macam mana pun aku mesti nak mandi terutama sebelah pagi

kalau tak aku akan rimas, rasa bergetah / melekit semacam je tubuh…so dipendekkan cerita ramai jemaah kat hotel aku tu terus ke masjid untuk solat dengan harapan bekalan air akan pulih selepas itu

aku dah panik, aduh macam mana ni…last2 aku teringat signboard bilik mandi yang selalu aku tengok masa gi toilet kat Masjidil Haram

aku nekad, aku nak mandi kat situ…so berbekalkan tuala dan kain basahan aku aku pun menuju ke sana

tempat ambil wudhu lengang!

keadaan toilet masa tu agak lengang, maklumlah Subuh, suasana memang agak ‘scary’ sheikh, maklumlah tandas ada berpuluh tapi manusia boleh bilang dengan jari…kat luar pulak cuaca masih lagi gelap

cari punya cari tak jumpa bilik mandi, rupa-rupanya ia terletak di tingkat paling bawah sekali di Masjidil Haram, lagilah ‘scary’!

bayangkan, bila sampai area kawasan bilik mandi tu, adalah kot dua tiga orang manusia…itu pun mereka dah siap untuk naik ke atas, dalam erti kata lain, aku rasa aku sajalah manusia yang berada di tingkat paling bawah Masjidil Haram masa tu, adoyyyyyy

bilik mandi pun lengang!

masa tu entah kenapa bulu roma aku tetiba meremang, yang kedengaran hanyalah bunyi titisan air yang menitik, tik, tik, tik….

bukan apa, faham-faham jelah ‘makhluk’ yang suka menghuni tandas ni…andai kata tiba-tiba dia ‘menjengah’, mau haru jadinya

masa nak mandi ada satu lagi masalah, tempat sangkut barang cuma ada satu je, itu pun halus je saiznya…mana aku nak sangkut seluar, mana nak sangkut baju, mana nak sangkut tuala, mana nak sangkut kamera, mana nak sangkut…adeh, macam-macamlah!

so adjust-punya adjust bolehlah juga…aku pun mandi, ada tempat pancur (shower), bila buka je, airnya mak aiiii punyalah deras, macam mandi air terjun!

shower

tapi aku rasa tak sampai lima minit, aku terus lap tubuh…tak sanggup rasanya mandi lama-lama kat situ

yang nak tergelak tu, sambil mandi, macam-macam bunyi kedengaran, bunyi tapak kasutlah, bunyi orang berjalanlah sedangkan takde sekor habuk pun kat situ

tapi aku rasa ia cuma psikologi aku je…cuma bila diingat balik, memang macam tak percaya aku boleh mandi kat bawah Masjidil Haram

bila balik hotel, semua pakat tertanya-tanya, macam mana aku boleh nampak ‘fresh’ je…aku pun bagitaulah yang aku mandi kat Masjidil Haram

bila dengar statement aku tu, semua terlopong….siap sorang pakcik ni tanya aku;

” APA! KAU MANDI KAT SANAAAAAAA ???? “

Read Full Post »

amboi macam tajuk drama lak entry kali ni

bila melakukan ziarah di Mekah ini, antara tempat yang ditunggu-tunggu dan tak sabar untuk dilawati ialah Jabal Rahmah

‘keterujaan’ itu semakin hebat dirasakan bagi mereka yang sedang mencari jodoh (dan yang nak tambah jodoh, mungkin)

masa aku kat Mekah, dari lobi hotel lagi jemaah dalam rombongan aku dah mula ‘mengusik-usik’ antara sesama mereka

yang jadi sasaran usikan dah tentulah jemaah bujang lelaki dan wanita

” Adik, kang sampai Jabal Rahmah doalah banyak-banyak, mana tahu lepas balik Malaysia nanti dapat jodoh..boleh kami makan nasi kenduri,” usik seorang pak haji ni dekat seorang jemaah wanita dalam grup aku

adik ni yang masih bujang nampak tersipu-sipu malu bila dapat usikan ‘nakal’ daripada pak haji tu

ada sorang makcik ni pulak mulut macam takde ‘insuran’…” Hah, yang dah kahwin tu, masa kat sana jangan dok niat nak ‘tambah’ lagi tau! “

actually usik mengusik sebegini bagus juga, maklumlah, sekurang-kurang perasaan letih kerana tak cukup tidur dan penat berjalan kaki ulang alik dari hotel ke masjid terubat juga dengan situasi sebegini

ia juga secara tak langsung dapat menambahkan lagi kemesraan di antara sesama jemaah

baik, apa yang orang teruja sangat nak pergi Jabal Rahmah ni ye?

sebenarnya ada pendapat yang mengatakan di situlah Adam dan Hawa bertemu setelah beratus tahun terpisah

tapi banyak juga riwayat mengatakan lokasi pertemuan penuh syahdu itu berlaku di kawasan lain, bukannya di Jabal Rahmah, Wallahualam

actually Jabal Rahmah ini hanyalah sebuah bukit batu yang terletak di sebelah selatan Padang Arafah, sekitar 25 kilometer di sebelah tenggara kota Mekah

dulu kat kawasan ni penuh unta, katanya jemaah boleh bergambar dan naik unta-unta tersebut dengan dikenakan sedikit bayaran

tapi masa aku pergi baru-baru ini, mutawif bagi tahu yang pihak berkuasa Arab Saudi dah tak benarkan lagi aktiviti seperti itu, ini kerana katanya najis unta yang bersepah telah membuatkan kawasan sekitar Jabal Rahmah menjadi kotor

sebagai ganti, saper-saper nak ronda kawasan tu boleh sewa motor roda empat, ganti unta, hehehehe

berbalik pada Jabal Rahmah ni, permukaan gunung ini merupakan hamparan yang rata dan luas yang sekelilingnya dibatasi dengan tembok, di tengah-tengah bukit pula terdapat tugu

Jabal Rahmah sering diertikan kebanyakan kaum Muslimin sebagai simbol kekekalan cinta dan jodoh

kerana simbol itulah, kebanyakan jamaah haji dan peziarah yang datang ke bukit ini berdoa untuk dikekalkan jodoh dan perkawinannya

aku difahamkan, di waktu jamaah haji wukuf di Padang Arafah, banyak sekali pasangan haji suami isteri yang mendaki bukit yang terletak di tengah-tengah Padang Arafah tersebut

kebanyakan mereka bertujuan untuk berdoa di sana, di antara doanya adalah untuk dikekalkan jodoh dan rumah tangga mereka, macam Nabi Adam dan Hawalah

aku tanya ustaz, salah ke kalau berdoa seperti itu?

kata ustaz, tak salah tapi janganlah beranggapan Jabal Rahmah pula penentu kebahagiaan atau Jabal Rahmah boleh bagi kita jodoh pulak, itu semua kuasa Allah, bukan terletak kat bukit itu!

aku difahamkan banyak sangat benda-benda bidaah dan tak betul yang jemaah buat atas Jabal Rahmah, paling kerap sekali mereka tulis nama pasangan/kekasihnya kat batu-batu di situ, adakah???

tulis nama siapa tu hajjah…

haji pun nak tulis nama juga ahaks

mengambil kira yang Rasulullah pun tak pernah panjat dan berdoa atas Jabal Rahmah tu, ramai di antara kami memilih untuk tunggu di bawah sajalah

lagipun macam biasalah, bas bukan nak boleh tunggu lama-lama sangat, kang tak pasal-pasal kena tinggal dek semata-mata nak kejar ‘cinta’ di Jabal Rahmah

last-last cinta tak dapat, duit lak melayang nak cari teksi balik hotel!

Read Full Post »

aktiviti mengemis merupakan pemandangan biasa di tanah suci (pix by http://na5wa.blogspot.com)

KITA mungkin ingat di tanah suci tidak mungkin berlaku perkara-perkara yang ditegah agama seperti penipuan, penindasan dan sebagainya

tetapi jangan terkejut, perkara-perkara sebegitu sebenarnya wujud…bukan kerana tanah suci itu ‘tidak suci’, tetapi kerana sifat makhluk itu sendiri yang tamak, mementingkan diri sendiri dan sebagainya hingga kesucian kota itu ternoda dek perbuatan kita yang bernama manusia

aku tak nak perincikan bab ini kerana siapa yang dah pernah datang ke sini, akan maklumlah dengan apa yang aku katakan itu

di tanah suci ini, jangan terkejut kalau kita didatangi orang yang tidak dikenali, yang bersungguh-sungguh merayu agar kita menghulurkan derma kepada mereka, kononnya tak ada duit nak makanlah, kena tipulah dan segala macam alasan yang pening juga kalau kita memikirkannya

ketika di Madinah, aku sendiri dua kali didatangi jemaah dari Afghanistan yang kononnya memerlukan wang untuk balik ke kampung dan sebagainya

menariknya di sini, tumpuan mereka adalah jemaah dari Malaysia…maklumlah kita memang terkenal dengan budaya memberi sedekah dan budaya ‘tak banyak soal’ bila berada di tanah suci

kesempatan ini diambil oleh pihak-pihak tak bertanggungjawab ini untuk ‘mengenakan’ jemaah kita

begitu juga dengan pengemis, di sekitar Masjidil Haram contohnya, kita akan lihat ramai pengemis terutama wanita dan kanak-kanak, mereka ini dari negara Afrika

alang-alang aku menulis mengenai perkara ini, aku nak ingatkan kita semua terutama jemaah wanita agar berhati-hatilah

satu hari, salah seorang daripada ahli rombongan wanita kami dihimpit seorang pengemis wanita berpurdah ketika sedang berjalan menuju ke Masjidil Haram

lalu akak ni pun membuka begnya sebab nak beri satu dua riyal kepada pengemis wanita ini, ketika dia sedang berbuat demikian, datang seorang lagi pengemis wanita dibelakangnya

dia pun minta agar akak ini memberikan sedikit sedekah kepadanya…akak ini sebab nak cepat ke masjid, keluarkan lagi seriyal dua untuk diberikan kepada pengemis yang lagi sorang ni

rupa-rupanya, tanpa disedari (dipukau mungkin), kedua-dua pengemis wanita ini sempat MEREMBAT beberapa barang berharga termasuk wang dan kamera di dalam beg tangan jemaah aku ini, dia hanya menyedari perkara tersebut bila pulang ke hotel! kesian betul aku tengok akak tu

satu lagi jangan terkejut kalau tengok ramai pengemis kanak-kanak Afrika berpurdah yang KUDUNG kedua-dua tangannya

nampak macam ‘real’, tetapi sebenarnya tangannya dilipat ke belakang

mula-mula dulu aku ingat kanak-kanak ini mangsa perang di negara mereka, rupa-rupanya dalam usaha untuk menagih simpati, mereka melipatkan kedua-dua tangan mereka ke belakang dan masukkan dalam tudung masing-masing…akhirnya yang kita nampak hanya siku mereka sahaja

kemudian mereka akan mengangkat-angkat siku mereka ke arah jemaah yang lalu lalang, sekali imbas memang kita akan ingat tangan mereka itu benar-benar kudung, rupanya kita tertipu!

nak dijadikan cerita, satu petang tu ketika aku tengah berjalan ke Masjidil Haram, ada seorang jemaah wanita Iran ini pergi ke salah seorang pengemis kanak-kanak itu dan cuba menarik tangannya keluar daripada tudung yang dipakai

mungkin dia pun sedar taktik pengemis-pengemis kanak-kanak ini

nak tahu apa jadi? pengemis kanak-kanak ini kemudian mengejar sebelum ‘menghadiahkan’ penerajang kat bontot jemaah wanita Iran ini!

kelakar pun ada, kesian pun ada juga melihatkan jemaah wanita Iran ini tercungap-tercungap lari melarikan diri

aku sebenarnya bukan nak nasihatkan korang supaya jangan bersedekah kat Madinah dan Mekah ini, sedekahlah kalau mampu, tapi pada masa yang sama kenalah berhati-hati agar tidak terjadi perkara yang tidak diingini

lagi satu, kalau rasa nak bagi sedekah juga, berilah kepada petugas-petugas kebersihan yang berkerja kat Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi itu

lebih elok sedekah kat petugas masjid spt mana gambar di atas

itu lebih baik kerana gaji mereka pun tidaklah sebesar  mana, lebih kurang 500 riyal je sebulan

apapun terpulanglah, tepuk dada tanya selera…duit anda, hak anda, Wallahualam.

Read Full Post »

Jalan Ibrahim Kholil di Mekah yang sentiasa sibuk

sesuai dengan bulan Ramadan ni, aku nak kongsi cerita mengenai air tebu hehehe

sebenarnya aku tak tahu yang ada air tebu kat Mekah ni, so selama berada di sana memanjang asyik teguk air jus  dan Pepsi (selain air zamzamlah kan)

oh ye, sebelum tu, di Mekah dan Madinah (dan mungkin di Saudi juga), air Coca Cola tidak mendapat sambutan dan tidak dijual secara meluas, pelik gak ni…yang top adalah Pepsi, kat sini mana-mana pun Pepsi, Pepsi dan Pepsi

nk dijadikan cerita, satu malam tu lepas pulang dari Masjidil Haram, perut aku lapar sangat

nak balik hotel dah tentu makanan dah habis, nak pergi Restoran Felda D’saji pula confirm dah tutup

so aku pun merayaulah di kawasan sekitar Masjidil Haram…abis segala lorong dan ceruk aku masuk

salah satu jalan yang aku masuk ialah Jalan Ibrahim Khalil, jalan ni memang terkenal kerana agak berhampiran dekat Masjidil Haram

di sepanjang jalan ini juga terdapat banyak hotel dan kedai-kedai menjadikan ia sebatang jalan yang cukup sibuk dengan kenderaan dan jemaah

entah macam mana aku ternampak sebuah kedai kecil yang menjual air tebu, tapi yang peliknya alat perah batang tebu tu lain benor rupanya daripada yang biasa kita lihat kat Malaysia

lebih tepat lagi ia adalah sebuah mesin

unik tak mesin air tebu kat Mekah ni?

mula-mula tebu itu dimasukkan dari lubang kat depan mesin tu, then bila masuk, mesin tu terus perah batang tebu tersebut dan air tebu tadi  pun keluar dari corong kat bawah

hampas tebu tersimpan kat dalam tong mesin tebu tadi, bila penuh, ada pulak indicator, canggih tak?

yang paling best, air tebu yang keluar dari mesin tadi tak perlu lagi diletakkan ais kerana ia semula jadi bertukar sejuk, wah gitu!

rasanya, MasyaAllah….sedap sungguh

daripada segelas, aku terus tambah jadi tiga gelas sheikkkhhhhh…harga cuma dua riyal je segelas

inilah air tebu paling sedap pernah aku minum!

bila aku perhatikan, tebu-tebu kat sini halus-halus je bentuknya, tak macam kat tempat kita yang besar dan tebal

tapi rupa-rupanya lagi halus, lagi manis tebu ni…kalau ada diabetis yang serius, mau pengsan rasanya

selamat berbuka puasa, hehehehehe

Read Full Post »

Oleh SYAHRIL A. KADIR

“Cuba bayangkan bagaimana saya dan rakan saya, Jamil Ahmad terpaksa menghabiskan lebih separuh daripada usia kami di dalam tembok besi, malah ada wadar dan pegawai penjara yang dah berhenti dan ada juga yang dah pencen tetapi kami berdua masih lagi kat ‘dalam’.

“Hanya kerana salah membuat keputusan dan pertimbangan, kami terpaksa menerima hukuman yang dahsyat ini, namun inilah yang dikatakan takdir dan kami menerimanya dengan pasrah dan reda,’’ kata Mohd. Salleh Talib atau Pak Leh dalam nada tersekat-sekat.

Pak Leh dan Jamil yang mencipta sejarah sebagai tahanan paling lama menjalani hukuman penjara di negara ini, iaitu selama 31 tahun, dibebaskan dengan pengampunan pada 3 Oktober lalu.

Tiada perkataan lain yang dapat diucapkan oleh Pak Leh dan Jamil selain memanjatkan rasa syukur tidak terhingga kepada Allah s.w.t kerana kini mereka dapat menghirup udara bebas selepas lebih separuh usia dihabiskan di dalam penjara.

Kedua-duanya yang bersahabat itu dijatuhkan hukuman sepanjang hayat pada 1976 selepas terbabit dalam cubaan merompak bersenjata api dalam satu kejadian di Alor Star.

Ketika itu, Pak Leh berusia 27 tahun dan Jamil pula 26 tahun. Hari ini semasa dibebaskan, Pak Leh berusia 57 tahun dan Jamil 56 tahun.

Setelah menjalani hukuman penjara selama 30 tahun, 11 bulan dan 9 hari, mereka diberi pengampunan oleh Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Pak Leh dipenjarakan di Penjara Taiping, Perak manakala Jamil dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, Selangor

Penulis dan jurugambar, Mohd. Nazudeen Mahmud yang dapat ‘menghidu’ pembebasan mereka terus berkejar ke Penjara Taiping untuk mengikuti peristiwa bersejarah tersebut.

Sebaik saja tiba di penjara itu tepat pukul 3 petang, kami terus dibawa menemui Pengarah Penjara Taiping, Narander Singh di pejabatnya.

Beliau yang teruja melihat kehadiran kami memaklumkan yang beliau sendiri akan membawa Pak Leh untuk diwawancara secara eksklusif oleh Mingguan Malaysia di bilik mesyuarat penjara berkenaan.

Kelibat Pak Leh kelihatan tidak sampai 10 minit selepas itu. Selesai saja kami menemu bual Pak Leh, Narander dengan ditemani wakil Suhakam, Datuk Siva Subramaniam terus mempelawa kami melihat sendiri proses terakhir yang perlu dilalui tahanan tersebut sebelum dibebaskan.

Tepat pukul 3.50 petang, Narander mengarahkan Salleh menggantikan pakaian penjaranya.

Kira-kira 10 minit kemudian, Pak Leh keluar dari bilik persalinan dengan wajah tersenyum sambil diberi tepukan oleh beberapa wadar penjara yang berada di bilik tersebut.

Dengan berkemeja biru, berseluar panjang hitam, berkopiah dan berselendang ala Herman Tino, Pak Leh terus dibawa berjumpa Narander di bilik dokumentasi.

Di situ, Narander menurunkan tandatangan tidak kurang daripada 10 dokumen sebelum membacakan perintah pembebasan kepada Pak Leh.

Beliau juga sempat memberikan nasihat dan perangsang kepada Pak Leh. Di saat itu kami melihat mata Pak Leh bergenang.

Kemudian Narander meminta seorang pegawainya menyerahkan wang gaji sebanyak RM800 yang dikumpul Pak Leh dan pada masa sama meminta dia mengiranya secara teliti.

Pak Leh yang agak terketar-ketar mengira dengan penuh khusyuk setiap helai wang diterimanya.

Selepas itu terpancar senyuman pada mulut Pak Leh sebelum dia bersalaman dengan setiap pegawai dan wadar yang berada di situ.

Sejurus sebelum dibawa keluar, Pak Leh juga diberikan dua batang tongkat yang diukirnya sendiri.

“Tongkat itu untuk ayah saya yang tercinta,’’ katanya ringkas.

Pak Leh kemudian terus dibawa keluar dari ‘kediaman’ yang lebih 30 tahun dihuninya itu.

Dia sempat mengangkat tangan berdoa sebelum terus meluru ke arah ayahnya yang tercinta.

Sebaik sahaja dibebaskan, kami terus mengikutnya sehingga ke rumah keluarganya yang terletak di Kampung Dusun Madinah, Changkat Jering iaitu kira-kira setengah jam perjalanan daripada penjara berkenaan.

Rumah tersebut hanya didiami adiknya, Abdul Wahab dan bapanya, Talib Arabulah yang kini hanya mampu terbaring akibat lumpuh.

Keadaan rumah tersebut agak daif dan terletak di dalam kawasan semak di pinggir kampung berkenaan.

Lebih malang lagi, Abdul Wahab tidak dapat bekerja tetap kerana terpaksa menjaga ayah mereka yang uzur itu.

“Sebenarnya saya tahu yang saya akan menghadapi lebih banyak cabaran bila bebas nanti, bayangkanlah dulu semua tersedia, makan ada, minum ada, kini semuanya perlu dibeli sehinggakan nak masuk tandas pun kena bayar.

“Itu belum lagi hal penerimaan masyarakat, saya tak mampu memaksa atau menyuruh mereka menerima saya, saya juga takkan hendak menjerit memberitahu orang kampung yang saya dah bertaubat.

“ Namun biarpun cabaran yang akan saya hadapi ini lebih berat dugaannya, saya tak kisah, kerana yang penting saya sudah dapat menghirup udara kebebasan dalam erti kata yang sebenarnya, percayalah, kita hanya dapat menghargai kebebasan setelah kita kehilangannya,’’ kata Pak Leh.

Ketika diminta menceritakan tentang sejarah hitamnya sehingga membuatkan dia ‘disumbat’ ke dalam penjara, Salleh dengan tenang membuka bicara.

Semuanya bermula bila saja mereka berdua mengambil keputusan untuk berhijrah dari kampung mereka di Baling, Kedah ke pekan Kuala Nerang pada tahun 1976.

Keadaan kemiskinan yang teruk di Baling ketika itu memaksa mereka berpindah kerana ingin mendapatkan pekerjaan.

Namun harapan untuk mencari ‘sesuap nasi’ di pekan kecil ini ternyata punah sama sekali, bahkan penghijrahan mereka dari Baling ke Kuala Nerang boleh diibaratkan keluar dari kandang harimau tetapi masuk ke kandang singa.

Ternyata daerah ini tidak jauh bezanya dari kampung asal mereka.

Bahkan keputusan yang diambil untuk mencari pekerjaan di tempat baru ini boleh dikatakan keputusan paling bodoh yang pernah mereka lakukan.

Pak Leh dan Jamil putus asa. Mulut harus disuap tetapi tangan masih `terikat’. Sesuatu harus dilakukan!

Betullah kata pepatah, kemiskinan adalah jalan mudah untuk membuat kemungkaran.

Di saat ini bisikan syaitan mula berkumandang di telinga mereka.

Ketika ini tiada kuasa lain yang mampu menghalang mereka kecuali kuasa jahat yang muncul secara tiba-tiba.

Memandangkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand ketika itu agak longgar, Pak Leh dan Jamil mengambil kesempatan tersebut untuk menyeberang ke negara jiran berkenaan.

Peluang untuk mendapatkan senjata secara mudah di negara itu telah digunakan sebaik-baiknya oleh mereka.

Dengan selaras ‘pump gun’ dan sepucuk pistol, mereka nekad untuk merompak dan sasaran yang paling mudah adalah merompak duit gaji pekerja Felda.

Strategi mereka berjaya, namun belum pun sempat untuk membelanjakan wang rompakan, kedua-duanya ditangkap ketika sedang berehat di dalam sebuah rumah.

Ternyata kelibat dan pergerakan mereka berjaya dihidu terlebih dahulu oleh sekumpulan detektif daripada Jabatan Siasatan Jenayah Kedah.

“Dunia ini gelap rasanya apabila mahkamah mengambil keputusan menjatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat ke atas kami.

“Kami sangat terkejut kerana tidak menyangka mahkamah boleh menjatuhkan hukuman yang berat itu sedangkan ia merupakan kesalahan pertama kami dan ia terpaksa dilakukan kerana keadaan kemiskinan yang terlalu menghimpit namun ia ditolak mentah-mentah oleh mahkamah.

“Saya turut disebat enam kali, dalam tempoh tiga tahun pertama dalam penjara, saya dikenakan sebatan buat kali pertama sehinggalah beberapa tahun kemudian saya menjalani kesemua hukuman sebat tersebut,’’ kata Pak Leh yang terpaksa menderita penyakit buasir selepas itu.

Namun Pak Leh tidak pernah putus asa. Rayuan demi rayuan dibuatnya bagi membolehkan hukuman tersebut diringankan namun ia semua ternyata sia-sia.

Pernah satu ketika dunia Pak Leh hampir ‘gelap’ apabila dia dimaklumkan yang dokumen rayuannya telah hilang dan mungkin menyebabkan impiannya untuk bebas lenyap begitu saja.

Begitu pun Pak Leh bersemangat semula apabila Narander dilantik sebagai Pengarah Penjara Taiping beberapa tahun lalu.

Pegawai penjara yang bersimpati dengan nasib Pak Leh ini kemudian menyusun pelbagai usaha dan strategi bagi membebaskan Pak Leh.

Beliau mendapatkan sokongan pihak majikannya, istana, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) termasuk media dalam usaha merealisasikan impian Pak Leh sehinggalah ia menjadi kenyataan pada 3 Oktober lalu.

“Usaha Narander cukup luar biasa, saya terhutang budi dengannya,’’ kata Pak Leh.

Perbualan dengan Pak Leh kemudiannya tiba-tiba terhenti apabila kami menanyakan tentang perihal keluarganya.

Pak Leh kemudian menanggalkan kaca matanya sebelum mengesat air mata yang meluncur laju di pipinya.

Menurutnya, perkara tersebutlah yang sering mengganggu tidurnya pada setiap malam selama 30 tahun dia berada di dalam penjara.

Katanya, siang dan malam dia berendam air mata terutama bila teringatkan hilai tawa adik-adik dan wajah ayah dan ibunya yang tercinta.

Namun ada satu peristiwa yang tidak mungkin dapat dilupakannya sampai bila-bila.

“Tahun lalu saya dipertemukan dengan ibu setelah sekian lama tidak bersua, kami berdua sangat terharu dengan pertemuan tersebut tetapi empat hari selepas itu saya dimaklumkan ibu telah pergi buat selama-lamanya.

“Bayangkan di saat ahli keluarga lain mengiringi jenazahnya ke pusara, saya hanya mampu ‘meraung’ dan meratap di dalam penjara,’’ katanya dalam nada tersekat-sekat.

Kami membiarkan Pak Leh melayan perasaannya.

Sambil memandang ke luar jendela, Pak Leh turut memberitahu betapa di sebalik ‘kekejaman’ penjara, tempat itu jugalah yang mengajarnya menjadi manusia.

Daripada tidak tahu membaca al-Quran, Pak Leh akhirnya dapat menghafal surah-surah yang panjang dan mengajar pula para penghuni penjara membaca kitab suci itu.

Dia juga dilantik menjadi imam di dalam surau penjara dan sering mengetuai solat tarawih semasa bulan Ramadan.

Di sana juga Pak Leh belajar membuat kasut sehingga mampu menghasilkan ribuan jenis kasut yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan rupa.

“Dengan duit buat kasut itu jugalah saya sempat mengirim kepada keluarga di kampung.

“Kerana jasa dan budi para wadar dan pegawai penjaralah saya menjadi manusia,’’ kata Pak Leh.

Sebelum beredar, Pak Leh sempat meminjam telefon bimbit kami untuk menelefon keluarganya bagi memaklumkan pembebasannya.

Dia ternyata kekok! Dipegang, dibeleknya telefon bimbit itu, kesian Pak Leh.

Kami juga difahamkan dia takut turun dari kereta seorang diri kerana berasa janggal dan kekok, malah Pak Leh pernah terlepas bersahur gara-gara gagal mencari suis lampu di rumahnya itu.

Sebelum kami meninggalkan rumahnya, dia sempat bersalam dan berharap agar kami dapat singgah ke situ bila ada kelapangan.

Pak Leh mungkin 30 tahun terpenjara, tetapi ia cuma tubuh tetapi bukan mindanya. Dia juga tidak pernah meminta dilayan seperti wira tetapi cukuplah dilayan seperti manusia. (UTUSAN MALAYSIA 8 Oktober 2006)

SEBENARNYA aku tak sangka hubungan aku dengan Pak Leh bukan sekadar seorang wartawan yang menemubual subjeknya semata-mata

sejak aku menulis mengenai beliau dalam akhbar (seperti yang tersiar di atas), Pak Leh seolah-olah menganggap aku sebagai anaknya sendiri

acapkali kami bertemu, berbual malah berbalas SMS (sebenarnya aku pun tak tau macam mana Pak Leh boleh tahu cara dan taip SMS, mungkin dia minta tolong anak buahnya barangkali)

bahkan setiap kali aku pulang berhari raya di Pulau Pinang, aku mesti singgah di rumahnya di Changkat Jering

namun ada satu peristiwa yang membuatkan hubungan kami tiba2 jadi renggang

segalanya bermula apabila aku yang ketika itu sudah berhenti dari Utusan, menyertai sebuah syarikat pembekal dokumentari untuk Astro

dalam salah satu program yang aku kendalikan, aku mengambil Pak Leh untuk sebuah program yang berjudul Citra Manusia

bila ia ditayangkan, ramai yang mencadangkan agar Pak Leh dipilih untuk menyertai program Jemputan Umrah yang disiarkan di Astro Oasis

untuk itu kami pun berusaha sungguh2 agar ia dapat direalisasikan

pada satu hari, tiba2 nama Pak Leh ‘naik’, apalagi aku terus memberitahu beliau kat kampung….punyalah gembira Pak Leh bila dengar khabar tersebut

tetapi entah di mana silapnya, berita itu berlalu begitu saja tanpa ada perkembangan seperti mana yang diharapkan, mungkin ada masalah teknikal di mana-mana, yang di luar pengetahuan kami

aku sangat malu dengan Pak Leh, apatah lagi bila beliau selalu menelefon aku bertanyakan hal berkenaan…akhirnya aku terpaksa berterus-terang perkara sebenar

aku tahu dia sangat kecewa dan sedih, tapi dia bagitahu yang dia faham…maklumlah yang nak minta masuk ke program Jemputan Umrah tu ramai

sejak pada itu hubungan kami agak renggang, bukan sebab dia marah, tapi aku sendiri yang ‘segan’ dengan beliau

dan hubungan tersebut terus putus apabila nombor telefonnya sudah tiada dalam perkhidmatan

dan hari ini aku membaca berita yang sangat menyedihkan, seperti mana yang tersiar dalam akhbar Kosmo!;

TAIPING – Bekas banduan paling lama di negara ini, Mohd. Salleh Talib yang mesra dipanggil Pak Leh sudah meninggal dunia kira-kira empat bulan lalu pada usia 63 tahun akibat sakit tua selepas enam tahun menikmati kebebasan daripada tirai besi.

Adik bongsunya, Abdul Wahab, 42, berkata, Pak Leh yang menjalani hukuman penjara selama 31 tahun menghembuskan nafas terakhir kerana sakit tua di rumah adik perempuannya, Fatimah, 45, di Kampung Sungai Lilin, Pokok Assam di sini pada 3 Mac lalu.

“Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Pokok Assam di sini. Sebelum itu, tahap kesihatan arwah abang merosot setelah menjalani pembedahan katarak mata di Hospital Taiping akhir tahun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dusun Madinah, Changkat Jering dekat sini semalam.

Perjalanan hidup hari-hari terakhir Pak Leh agak menyedihkan dengan tahap penglihatannya merosot teruk setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada awal tahun 2009.

Biarpun begitu, dia tetap menggagahkan diri berniaga membaiki kasut dengan menumpang kaki lima sebuah restoran di pekan Changkat Jering demi sesuap nasi.

Nasib malang Pak Leh bermula selepas bapanya, Talib Arabulah meninggal dunia kerana sakit tua beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha pada 2007.

apalagi yang nak aku katakan…andai dapat aku undurkan masa, nak saja aku meminta maaf sekali lagi kerana tidak dapat menyempurnakan hajatnya untuk menunaikan umrah

gambar terakhir aku dengan Pak Leh…ini sajalah satu-satunya kenangan aku dengan arwah

tapi itulah yang dikatakan takdir…kita hanya merancang, Allah juga yang menentukan segalanya

maafkan saya Pak Leh….

Read Full Post »

Older Posts »

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 269 other followers

%d bloggers like this: