
Sekali lagi penonton televisyen di Malaysia akan dihidangkan dengan program investigative reporting yang cukup popular dan mendapat tempat di hati masyarakat sejak kebelakangan ini.
FM Productions dengan kerjasama Astro Entertainment Sdn Bhd berganding bahu mempersembahkan tiga program berbentuk investigative reporting berjudul Expose (cara sebutannya X-Po-Sze), Expose Mistik dan Expose Satu Masa.
Namun dalam pertambahan program yang mempunyai format yang hampir sama, para penonton mungkin akan membuat perbandingan terutamanya dengan kemunculan rancangan seperti Edisi Siasat dan 360.
“Kami tidak mempunyai niat untuk bersaing dengan sesiapa. Semuanya adalah kebetulan sahaja.
“Malah, kami sudah memulakan penggambaran Expose sejak bukan Oktober lagi.” kata penerbit Expose, Syahril A Kadir ketika ditemui di majlis pelancaran Expose di Hotel Hilton Petaling Jaya baru-baru ini.
Selain daripada itu, tenaga kerja di sebalik produksi Expose adalah mereka yang terlibat dalam pembikinan program Edisi Siasat juga.
Mereka adalah Zainal Rashid Ahmad dan Firdaus Mohammad Zainal yang kebetulan merupakan nadi utama Edisi Siasat, rancangan berupa siasatan di ntv7 suatu ketika dahulu.
“Kami menyedari bahawa terdapat banyak program yang serupa dengan Expose yang sudah lama bersiaran di kaca televisyen.
“Walaupun hidangannya sama tetapi cara kami guna untuk meyampaikan maklumat berbeza sama sekali,” ujar Syahril.
“Gaya kami berbeza. Wartawan kami turun padang dan mencari sumber. Mereka mendekati masyarakat yang menghadapi masalah sosial di sekeliling mereka.
“Masyarakat inilah merupakan sumber yang terbaik kerana mereka terbabit dalam masalah sosial yang wujud,” ujarnya lagi mengenai format yang dikatakan berbeza dengan program 360, Bongkar dan Edisi Siasat.
Menurutnya lagi, semakin dekat perhubungan pihak produksi dengan golongan sasaran, informasi yang bakal diterima akan menjadi semakin terperinci dan ini akan memudahkan lagi pemahaman dan penyampaian krew Expose.
Malah, krew produksi Expose turut menggunakan bimbingan pakar serta bantuan pihak berkuasa dalam membongkar mana-mana gejala sosial.
“Ketika membuat liputan, kami tidak bersikap mengadili serta menuduh mana-mana pihak sebagai pesalah.
“Contohnya, menerusi isu remaja hisap gam, kami tidak akan menuding jari terhadap mereka malah kami akan merungkai kisah di sebalik ketagihan mereka.
“Sejurus selepas itu, kami akan mendapat nasihat pakar serta meminta bantuan pihak berkuasa untuk memberi informasi berkenaan bantuan yang dapat diambil oleh penagih-penagih yang terlibat,” jelas Syahril lagi yang tidak mahu mengambil pendekatan ‘touch and go’ di mana ada sesetengah program yang hanya membongkar masalah sosial tetapi tidak memberi sebarang alternatif untuk mengatasi masalah tersebut.
Rancangan ini yang bakal disiarkan setiap hari Isnin sehingga Khamis bermula 16 April ini bakal memaparkan 208 episod yang menarik.
Selain daripada Expose, FM Production turut menerbitkan Expose Mistik yang memaparkan isu-isu berkaitan dengan dunia mistik serta kepercayaan tahyul yang diamalkan oleh masyarakat setempat.
Setiap kepercayaan akan dibidas dan dikaji daripada sudut agama dan sains.
Rancangan yang mengandungi 52 episod ini akan bersiaran pada setiap Jumaat pada jam 8.30 malam.
Manakala Expose Suatu Masa pula bakal menyentuh salasilah tokoh-tokoh, insiden dan tempat-tempat yang bersejarah di Malaysia. Rancangan ini akan disiarkan pada setiap hari Ahad pada jam 8.30 malam.
Ketiga-ketiga program yang bersiaran selama masa 30 minit ini akan disiarkan menerusi rangkaian televisyen berbayar Astro Prima.
Ketika ditanya mengenai relevan di sebalik pengambilan tiga rancangan terbitan FM Productions selain daripada alasan Astro yang menjadi pemegang saham sebanyak 50% dalam syarikat produksi tersebut, Khairul Anwar Salleh selaku Pengurus Saluran Astro Prima berkata, “Ini adalah merupakan salah satu langkah untuk menarik penonton kepada saluran Prima
“Selain daripada itu, ketiga-tiga rancangan ini merupakan salah satu langkah untuk kami melakukan rebranding terhadap saluran ini.”
Muka baru peneraju Expose, Expose Mistik dan Expose Suatu Masa
Malah, FM Produstions tururt memaparkan wajah-wajah baru dunia penyiaran sebagai tunggak utama rancangan tersebut.
Mereka adalah Hairi Shahrizal, Ziffa Zubir, Harliza Ahmad dan Shahkira Ahmad.
Golongan wartawan muda ini pula akan dibantu oleh bekas pembaca berita pengacara, Dang Suria Zainuddin menerusi paparan eksklusif Expose nanti.
“Kami mementingkan isi kandungan rancangan kami berbanding dengan personaliti yang mengacara program kami.
“Bagi kami, ini merupakan satu pendekatan baru kerana program-program lain menggunakan muka-muka yang sudah dikenali sebagi pengacara program mereka,” jelas Syahril mengenai penggunaan empat pengacara baru untuk mengendalikan Expose, Expose Mistik dan Expose Pada Suatu.
“Malah, dengan menggunakan tenga kerja baru, kami mendapat idea-idea baru /fresh jika dibandingkan dengan program yang lain.
Mereka berupaya memberi idea yang baru. Tambahan pula, pengacara-pengacara kami sudahpun membuktikan kemampuan mereka sebagai wartawan disamping bertindak sebagai penolong penerbit untuk ketiga-tiga program tersebut,” ujar Syahril lagi.
Yang lebih membanggakan, kesemua pengacara yang terlibat dalam ketiga-tiga program Expose ini juga turut menjadi penulis, wartawan serta krew produksi selain daripada tugas mengacara.
Like this:
Like Loading...
Read Full Post »