
Hari ini dah lebih 3 tahun peristiwa tsunami melanda Banda Aceh, Aceh.
Aku masih ingat bagaimana aku, Zulkifli Bakar dan Halim Khalid telah diarahkan Ketua Pengarang, Datuk Khalid Mohd. untuk membuat liputan bencana alam yang dikategorikan antara yang paling teruk dalam sejarah ketamadunan manusia.
Kami tiba di sana pada 5 Januari 2005
Sukar hendak digambarkan.
Hati kami begitu sayu, aku menitiskan air mata melihat anak-anak kecil, bayi-bayi, wanita, orang tua menjadi mayat yang tidak lagi bergerak _ sudah berbau, hitam, kembung, berulat _ yang sepatutnya dikafan dan dikebumikan dengan sempurna.
Kesemua mereka yang dilanda dengan gelombang maut tsunami yang melanda wilayah ini 26 Disember lalu dipercayai mati secara tiba-tiba. Berdasarkan pengamatan di bandar ini yang menjadi padang jarak padang terkukur, aku boleh bayangkan mereka tidak sempat menyelamatkan diri.
Suasananya umpama gambar-gambar keadaan selepas bom atom yang dijatuhkan di Nagasaki dan Hiroshima _ malah lebih dahsyat lagi _ tiada tara dengan perbuatan bangsa Amerika itu.
Kejadian ini amat menyedarkan diri kami semua, inilah perbuatan Allah kepada hambaNya _ satu bayangan kiamat kecil _ yang disaksikan oleh mata kita semua.
Ombak yang datang bergulung-gulung setinggi bangunan lima tingkat menyapu bersih siapa sahaja. Yang benar-benar bernasib baik sahaja yang selamat.
Di satu kampung berjumlah 30,000 dekat sini, semua generasinya hilang.
Menurut perangkaan kerajaan, kira-kira 400,000 penduduk wilayah Aceh ini mati. Jika benarlah angka itu bererti ia adalah sekitar 10 peratus daripada seluruh empat juta penduduk wilayah jolokan Serambi Mekah ini.
Tinjauan aku dan jurugambar Halim Khalid di sekitar beberapa jalan utama di pusat bandar hari ini mendapati anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) masih lagi menjalankan gerakan mencari mayat dan cebisan daging manusia.
Berdasarkan keadaan itu, orang ramai yang melalui kawasan berkenaan terutamanya di Jalan Tengku Che Pante Kulu terpaksa berhati-hati bagi mengelakkan mereka terpijak mayat atau cebisan itu.
Di jalan berkenaan, selain cebisan daging manusia, mayat-mayat mangsa yang terbunuh ada antaranya dibiarkan di pinggir jalan atau dalam bangunan yang musnah atau rosak.
Pihak tentera meneruskan usaha bagi memungut mayat-mayat di Sungai Pante Perak yang merupakan kawasan paling banyak mayat ditemui sebelum ini.
Rakyat Aceh, yang terkenal dengan semangat juangnya meneruskan kehidupan harian dengan perasaan bercampur-aduk _ kesedihan, kesayuan, sebak, keliru _ satu gangguan psikologi dan jiwa yang amat menekan.
Keadaan itu berlaku memandangkan pusat bandar merupakan kawasan yang teruk dilanda bencana tsunami yang mengorbankan lebih 100,000 orang manakala berpuluh ribu lagi mengalami kecederaan termasuk kehilangan tempat tinggal.
Keadaan yang menyedihkan juga dapat dilihat apabila terdapat ratusan penduduk yang kehilangan tempat tinggal membuat khemah sementara di pinggir jalan yang sama dan di sekitar Jalan Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda.
Malah, ada antara mereka terpaksa tinggal di bangunan-bangunan kerajaan dan sekolah.
Selain itu, sebahagian besar pinggir jalan berkenaan juga turut dijadikan kubur besar bagi mengebumikan mayat-mayat yang tidak dikenali identitinya.
Penduduk juga terpaksa bergantung kepada bantuan bagi mendapatkan air bersih berikutan bekalan berkenaan sehingga hari ini tidak dapat dipulihkan.
Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda sibuk dengan kemasukan pesawat asing termasuk dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa barang makanan dan ubatan serta mangsa yang tercedera.
Aku difahamkan, pasukan penyelamat kini dikatakan berjaya memasuki kawasan-kawasan luar bandar yang sebelum ini sulit untuk dikunjungi berikutan jalan-jalan yang rosak teruk.
Antaranya ialah di daerah Kreung Raya, Long dan Lepong di Aceh Besar serta beberapa kawasan di Pidei yang masih belum menerima bantuan.
Di kawasan Bait dan Khaju yang sebelum ini didiami hampir 30,000 penduduk musnah sama sekali.
A-Fatihah.
Like this:
Like Loading...
Read Full Post »