Pas hari ini membuat keputusan menolak sebarang kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan campuran sama ada di peringkat Pusat atau negeri. Aku ulang, Pas dah tolak UMNO. Ini hakikat. Tetapi nak bagi ‘cantik’ sikit ayat, maka pemimpin Pas tambah..’pun begitu kita boleh berjumpa’
Actually bukan semua orang Pas tolak kerjasama ini, tetapi hakikat yang paling besar adalah majoriti ahlinya termasuk Tok Guru Nik Aziz tidak dapat menerima apa juga bentuk kerjasama dengan UMNO, apatah lagi untuk berkongsi kuasa. Kalau mahu juga, Nik Aziz mahu Pas bubar, UMNO pun bubar. Tubuh parti baru.
Terus terang, kalau aku orang Pas, aku pun akan marah. Ramai orang Melayu undi Pas sebab bencikan perangai pemimpin UMNO, orang bukan Melayu apatah lagi. Jadi bila ada ‘muzakarah’ seperti ini, tentulah mereka yang mengundi Pas akan berasa tertipu. Apatah lagi ‘muzakarah’ tempoh hari dilakukan secara senyap-senyap, tentulah ada ahli Pas yang tidak dapat menerima perbuatan ‘khianat’ pemimpin mereka.
Yang UMNO ni pun satu lagi. Apalagi yang terhegeh-hegeh nak ‘muzakarah’ atau nak ‘muqabalah’ ni. Niat mungkin betul nak satukan orang Melayu yang semakin hilang kuasa politik akhir-akhir ini tetapi bertepuk sebelah tangan saja tidak mungkin akan mendatangkan bunyi.
Apatah lagi ‘kesungguhan’ hendak bekerjasama ini datang selepas UMNO hilang banyak kerusi dalam pilihanraya lepas. Sudah tentu UMNO akan dilihat sebagai parti yang ‘desperado’. Akhirnya ‘niat suci’ telah bertukar menjadi ‘mimpi ngeri’.
Apa yang pasti, pi mai pi mai, orang Melayu juga akhirnya menjadi sasaran kecaman dan hinaan. Orang bukan Melayu akan berterusan hilang kepercayaan kepada orang Melayu seperti mana DAP semakin hilang kepercayaannya pada Pas. Sudah pasti ia bukan satu perkembangan yang sihat khususnya dalam usaha untuk membentuk satu generasi yang terbilang dan dalam mengekalkan keharmonian di antara sesama kaum.
Memang mudah untuk bercakap, demi Melayu dan Islam, semua mesti bersatu. Tetapi hakikatnya perpaduan bukan satu perkara yang mudah, silap haribulan ia perlu dibayar dengan darah dan airmata. 13 Mei telah membuktikannya.
Sekali lagi aku ulang, Pas tolak kerjasama dengan UMNO. Rasanya cukuplah setakat itu. UMNO tak perlulah terhegeh-hegeh lagi. Nanti dikata hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.
Ingat, bukan mudah nak tukar dari kopiah ke songkok walaupun kedua-duanya melindungi kepala.
SAK: Kalau muzakarah dan muqabalah tak boleh, pakat-pakatlah pergi tengok musabaqah, biar lembut sikit hati masing-masing.