Generasi baru hari ini mungkin tidak tahu apa yang aku maksudkan dengan Tok Perak
Tok Perak sebenarnya adalah sebuah naskhah teater Melayu yang dikatakan antara yang terbaik dan tersohor yang pernah dihasilkan dalam sejarah perkembangan teater tanah air
Ia mengisahkan mengenai seorang lelaki tua yang menghadapi pelbagai ujian, pahit dan gentir sepanjang menjalani kehidupan sebagai penjual ubat
Karya agung yang pertama kali dipentaskan pada tahun 1975 ini adalah hasil nukilan pengarah teater terkemuka yang juga Sasterawan Negara, Datuk Syed Alwi Syed Hassan.
Syed Alwi yang merupakan anak Melayu pertama melanjutkan pengajian teater di Amerika Syarikat, mula bergiat dengan drama Inggeris pada tahun 1950-an. Antara drama beliau dalam bahasa Inggeris yang terkenal ialah Going North, the More We Get Together dan Day of Efil.
Bagaimanapun apabila beliau beralih menghasilkan drama-drama Melayu, drama-dramanya telah mendapat perhatian dan kritikan yang cukup menarik. Antara dramanya yang cukup terkenal ialah Alang Rentak Seribu (1973), Tok Perak (1974) dan Desaria (1978).
Dramanya menyulami gaya realistik dan komedi daripada segi perwatakan, dialog dan aksi. Malah drama Tok Perak dianggap teater multimedia yang pertama di Malaysia.
Skrip drama Alang Rentak Seribu telah memenangi Hadiah Karya Sastera pada 1973 dan Tok Perak pada 1974. Syed Alwi juga telah menghasilkan beberapa buah skrip serta turut menerima anugerah budaya daripada negara United States, Malaysia, Sweden, Australia, France dan Yugoslavia
Ketika aku berlakon teater dengan Khalid Salleh pada tahun 1998, kami pernah menjalani latihan bersama-sama beliau di MATIC, Jalan Ampang
Ketika itu beliau sedang mengadakan latihan berasingan untuk projek teaternya, aku pun dah lupa tajuk teater itu.
Untuk pengetahuan korang, beliau sangat garang ketika mengendalikan latihan sehinggakan aku sendiri ‘gerun’ melihat beliau, bahasa yang digunakan pula jangan cakaplah, @#$%& habis!
Beliau juga sering memakai kain pelikat masa berlatih, mula-mula tu aku hairanlah juga, lama-lama aku dah terbiasa dengan caranya tu. Orang senilah katakan
Namun Tuhan lebih menyayanginya. Malam tadi aku mendapat berita yang Syed Alwi ditemui mati berseorangan di rumahnya di Kuang, Selangor
Polis sedang menyiasat sama ada ia kematian mengejut atau mempunyai unsur-unsur jenayah.
Sesungguhnya kita sekali lagi kehilangan tokoh teater terbaik negara selepas matinya Krishen Jet beberapa tahun lepas.
Aku sebak bila mengenangkan saat-saat kami bersama dulu.
Al-Fatihah buat Datuk Syed Alwi.