Waris lelaki
Ribu-ribu batang terpanggung
Akan duduk batang rumbia
Walau berat dugaan ku tanggung
Tetap kupinang idaman dara
Waris perempuan
Sapu tangan jatuh ke laut
Jatuh dengan kalas-kalasnya
Panjang tangan sahaya menyambut
Satu tidak dengan balasnya
Lokasi : Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur
Dalam zaman mengejar kemajuan ini, adakalanya adat resam dikebelakangkan. Ini termasuklah dalam soal adat meminang. Adat meminang boleh dibahagikan kepada dua peringkat iaitu Merisik dan Meminang.
Apabila hati seorang teruna telah berkenan pada seorang dara, biasanya dia akan menghantar wakil dari keluarganya untuk merisik bagi menentukan sama ada si dara telah berpunya atau belum. Kadang kala semasa merisik, wakil teruna akan menyerahkan sebentuk cincin tanya. Jika pihak dara bersetuju, mereka akan menetapkan tarikh untuk masuk meminang dan seterusnya bertunang.
Apabila hari yang ditetapkan tiba, wakil teruna akan masuk meminang secara rasmi. Biasanya pihak teruna akan membawa bersama hadiah beberapa dulang hantaran termasuk sebentuk cincin atau sebagainya. Pada ketika ini, kedua-dua wakil akan menetapkan tarikh ijab kabul dan persandingan mengikut kesesuaian kedua belah pihak.
Namun kini, hanya adat masuk meminang sahaja yang masih diamalkan. Pada zaman teknologi maklumat ini, biasanya kedua-dua teruna dara telah berkenalan terlebih dahulu. Jadi adat merisik khabar dirasakan tidak perlu lagi. Tambahan pula ini dapat menjimatkan kos dan masa. Namun bagi sesetengah pasangan yang inginkan cara yang lebih tertib dan menyeronokkan, mereka lebih gemar mengikut adat.
Sesuatu yang perlu diingat apabila anda ingin mendirikan rumahtangga ialah jangan sesekali membelakangkan ibu bapa. Mintalah pendapat dan nasihat mereka kerana restu orang tua ada hikmatnya.
Inilah yang aku baca dalam internet
Walaupun aku sibuk semenjak dua menjak ni, namun hajat perlu diteruskan…maka tepat pukul 4 petang tadi, rombongan pihak lelaki pun tibalah di rumah si dara
setelah mukadimah dihulur, salam pun disahut
selesai acara, si ibu pun menyarungkanlah cincin pada bakal menantunya
maka termeterailah adat, indahnya budaya Melayu…janji pun diikat, doa pun diangkat
semoga Allah memberkati majlis, semoga semuanya berakhir di jinjang pelamin, tanda kasih mengikat asmara
panjang umur bertemulah kita, di pentas lain yang bernama perkahwinan, Insya Allah.
SAK: Selamat bertunang buat along, Erda Jaslin dan pasangan, Mahathir Datuk Bahrin…nak kahwin jangan lupa jemput saya!