dah beberapa kali aku terlepas menonton dokumentari mengenai P. Ramlee yang disiarkan oleh History Channel saluran 555 di Astro
komen-komen oleh kengkawan dan wartawan membuatkan aku sangat teruja untuk menonton dokumentari ini
semalam Alhamdulilah akhirnya aku sempat menonton kisah seniman agung kita itu
terus-terang, inilah dokumentari arahan rakyat tempatan yang bagi aku antara yang terbaik pernah aku saksikan selama ini
walaupun agak lama kerana durasinya mengambil masa dua jam, namun hasil kerja pengarahnya, Datuk Shuhaimi Baba membuatkan aku tak berganjak daripada sofa
Shuhaimi membawa kita menelusuri kisah sedih Allahyarham yang ramai di antara kita terutama generasi muda tidak tahu selama ini
kita dihidangkan dengan cerita duka dibalik senyuman arwah, kita dibawa kisah sedih dibalik tawa ria arwah dan kita juga dihidangkan kisah bagaimana sengsaranya seniman agung itu diakhir fasa kehidupannya sehinggakan isterinya sendiri, Saloma tidak mempunyai wang untuk mengebumikan jenazah suaminya itu!
kita juga diceritakan bagaimana Norizan, permaisuri Perak yang sanggup meninggalkan istana semata-mata untuk berkahwin dengan P. Ramlee, kisah P. Ramlee ‘diboo’ sewaktu menyanyi di Dewan Bahasa dan Pustaka dan bagaimana arwah tidak disambung kontrak untuk merakamkan lagu kerana dianggap sudah ‘tak laku’ dan sebagainya
tak cukup dengan itu, dokumentari ini juga menceritakan bagaimana diwaktu kejatuhannya, P.Ramlee dilihat hanya makan nasi dengan telur goreng, terpaksa membuka kedai mahjung dan bagaimana semua bank menolak permohonan arwah untuk membuat pinjaman
bahkan pada hari dimana beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, diceritakan P.Ramlee sepatutnya perlu berada di mahkamah kerana urusan hutang!
aku tidak malu untuk mengaku di sini yang airmata aku boleh jatuh berderai ketika menonton dokumentari tersebut
sedih…cukup sedih…inilah rupanya kisah sebenar seniman yang kita agung-agungkan itu
dan sehingga aku nak tidur ni pun, kesedihan aku masih belum benar-benar tamat.
Al-Fatihah Tan Sri P. Ramlee@ Ramlee bin Teuku Nyak Puteh.