
pertama sekali aku ingin mengucapkan tahniah pada adik-adik kita yang berjaya dalam SPM semalam, kalau result tu macam ‘hampeh’, jgn risau, hidup anda belum tentu hampeh…sejarah membuktikan betapa ramai manusia yang berjaya di muka bumi adalah disebabkan keinginan mereka untuk bangun dari kegagalan, bukannya di kalangan mereka yang meratapi kehancuran
bercakap pasal SPM, sekitar tahun 90-an dulu, masa tengah menunggu keputusan, perkara pertama yang aku buat ialah cari kerja
bukan apa, tak sabor rasanya nak cari duit poket sendiri setelah bertahun mentekedarah duit mak bapak hahahahaha
di saat kebanyakan member lain kerja sambilan di hotel atau jadi promoter di shopping complex, aku lak gatal nak ikut kawan aku ni kerja di sebuah syarikat ‘saham’
mulanya aku hairan juga kenapa masa interview mereka langsung taknak tengok sijil aku, rupa-rupanya kerja aku selak buku panduan telefon dan telefon semua nombor yang ada – suruh mereka beli saham!
memang kerja giler, daripada 10 panggilan yang dibuat, lapan panggilannya daripadanya AKU KENA MAKI
mana taknya, adakah patut, dengan tanpa diberi latihan, kami disuruh memujuk orang beli saham kononnya saham komoditi, kalau murah takpe jugak, ini paling kurang kena labur RM10,000 satu lot, gilo apo!
disebabkan tak tahan kena maki, aku ambil keputusan ikut kawan aku yang sorang ni bekerja di Metrojaya Bukit Bintang

aku dah pernah tulis pasal benda ni, takpelah aku refresh balik
segalanya bermula apabila aku pergi temuduga kerja sebagai sales asistant di situ, memandangkan itulah pertama kali aku pergi interview, maka perasaan gelabah tu tak dapat dipisahkan
di saat remaja lain hanya memakai t-shirt dan jeans, aku pula punyalah tertib apabila bantai pakai kemeja dan seluar slack sambil menggendung fail yang dipenuhi sijil ko-kurikulum.
“Adik, aku ingatkan tadi kau nak minta kerja jadi manager kat sini. Kalau setakat nak kerja sales asistant, tak payahlah susah-susah gosok baju kemeja dan bawa sijil,” kata salah seorang penemuduga di situ.
Muka aku punyalah tebal masa tu. Rasa macam nak balik rumah je naik bas mini (masa tu KL penuh dengan bas mini)
Namun dia ambil jugalah fail aku tu, lepas dia belek-belek, terus dia offer satu jawatan.
“Aku tengok banyak sijil kadet polis dalam fail ko ni, macam ni lah, memandangkan badan ko ni besar, kita orang ambil kau jadi pak guard kat Metrojaya ni, nak tak?,” kata mamat tu.
“Abang biar benar, kalau jadi pak guard saya taknaklah, buat malu je kat kengkawan, mesti mak bapak saya gelak kalau dapat tahu,” kata aku yang punyalah sakit hati dengan offer tu.
“Alah kau ni, bukan pak guard yang pakai cota tu, maksud aku kau jadi House Detective (HD). Kerja dia macam detektifla. Kau tak payah pakai uniform. Kami bagi kau satu walkie talkie, kerja kau ronda je, kalau kau nampak orang mencuri, kau tangkap dan serah kat kami. Gaji lagi mahal pada cashier!,” katanya
Alamak, macam best je. Lepas dua tiga hari fikir, aku pun terima offer tu. Yang bestnya, takde seorang pun member-member aku tahu aku kerja HD. Malulah beb!

Rupa-rupanya kerja HD ni taklah seindah yang dibayangkan. Kalau kena shift pagi, dua jam sebelum shopping complex dibuka, kami dah kena buat spot check dari tingkat atas sampai tingkat bawah. Kami kena masuk toilet, masuk stor dan masuk tempat-tempat yang terselindung. Tujuannya untuk mengesan barang-barang yang mungkin disembunyikan oleh staf bertugas.
Lepas tu kami jugalah yang bertanggung jawab memasang semua lampu-lampu, membuka pintu-pintu kedai dan membuat pemeriksaan badan terhadap semua staf yang bertugas.
Selepas kedai dibuka, kami kena pula menyamar sebagai customer dan bertugas di zon atau floor yang ditentukan.
Inilah saat yang paling memenatkan. Kalau lapan jam bekerja, lapan jamlah kena ronda macam orang gila. Dapat duduk pun masa waktu makan je.
Yang lawaknya, kalau takde tangkapan pada hari tu, kami dianggap curi tulang atau mengular, ada akal ke?
Takkanlah kami saja-saja nak tangkap orang kalau diaorang tak buat salah, pergh!
Tapi memang betul, percaya atau tidak, dalam sehari tak kurang daripada 10 kes kecurian pasti berlaku. Inilah realitinya.
Korang mungkin terkejut kalau aku bagitahu, antara customer yang kami pernah tangkap kerana mencuri termasuklah manager bank, cikgu sekolah dan inspektor polis, hahahaha
selalunya kalau tertangkap, kami akan serahkan mereka ke balai…tapi terpulang pada budi bicara jugaklah. Kalau suspek tak melawan atau mengaku salah, selalunya kami akan minta mereka bayar balik barang yang mereka curi, tetapi kena bayar doublelah. Mana boleh kasi muka.
Kami juga ada bilik gelap macam bilik C.I.D kat balai-balai tu, tempat di mana suspek dibawa untuk di soal siasat. Jangan salah sangka, kami tak pernah belasah orang, kami yang kena belasah lagi ada.
Tapi yang kuat melawan tu, singgah jugalah penampar dua tiga das kat muka diaorang.
Namun pengalaman yang aku tak boleh lupa adalah bila satu hari tu aku ditugaskan untuk berkawal di bahagian t-shirt2 branded seperti Dunhill, Polo dan Crocodile. Harganya tak kurang dari RM100 setiap helai.
Tempat tu memang sensitif kerana di situlah berlaku banyak kecurian. Hari itu aku punyalah berjaga-jaga sampai nak pergi kencing pun takut, takut barang hilang.
Alhamdulilah, sepanjang aku berkawal takde langsung promoter yang complaint barang dia orang kena curi
Tetapi alangkah terkejutnya aku, keesokkan harinya bos aku bagitahu lebih 20 pasang baju Crocodile bernilai hampir RM5 ribu lesap dicuri tanpa dapat dikesan, biar pun melalui CCTV
kejadian pula dipercayai berlaku masa aku berkawal, aduh, mati aku. Apalagi, aku kena maki gila-gila dengan bos aku.

“Beginilah, kerja kita memang begini, kalau baik takde sapa puji, kalau salah, berguni-guni dikeji,” kata salah seorang HD senior sebaik saja mengetahui aku ‘digasak’ dek insiden tersebut.
Itu hanya sekelumit kenangan, banyak lagi yang aku lalui sepanjang bergelar HD @ pak guard, sebab itu sehingga hari ini aku sangat respek dengan pak guard, tak kisahlah dia orang tempatan ke, bangla ke mahupun Nepal.
ini kerana aku sendiri telah melalui pengalaman seperti mana yang telah mereka lalui, walau nampak rilex dan macam orang bodoh je, tetapi hanya mereka saja yang tahu sengsaranya bekerja sebagai pak guard.
aku hanya bertugas selama tiga bulan sebelum berhenti kerana mendapat tawaran melanjutkan pelajaran
namun memori pahit manis tersebut akan aku kenang sampai bila-bila
tabik pada pak guard di seluruh dunia, walau di mana juga, anda berada!
Like this:
Like Loading...
Read Full Post »