Feeds:
Posts
Comments

Archive for March, 2012

sepanjang aku bekerja sebagai wartawan jenayah dulu, antara pengalaman yang tak dapat dilupakan adalah apabila menerima satu panggilan daripada seseorang yang tidak dikenali kira-kira tujuh tahun dulu

katanya, Koo Tee Yam mahu berjumpa dengan aku…mau ajak ‘makan-makan’

sebaik saja si pemanggil memberitahu waktu dan lokasi pertemuan itu, tubuh aku terus menggeletar

okaylah, mungkin korang tak pernah dengar namanya

tapi Tee Yam adalah individu yang cukup terkenal dalam dunia ‘underground’ di Kuala Lumpur…rasanya korang pun boleh tangkap kot apa yang aku maksudkan

untuk lebih jelas, dibawah ini aku sertakan berita mengenai Tee Yam yang tersiar di Utusan Malaysia bertarikh 31 Oktober 2005

—————————————————————————–

Jutawan dibebaskan — 48 jam selepas ditahan kerana dianggap mampu ancam negara

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Selepas 48 jam polis menyifatkan jutawan Koo Tee Yam perlu ditahan semula kerana mampu mengancam keselamatan negara, hari ini lelaki itu dibenarkan berjalan bebas.

Dia dibebaskan dari tahanan di Bukit Aman kira-kira pukul 8 malam ini.

Perkembangan ini menimbulkan tanda tanya. Tiada justifikasi jelas diberikan mengapa jutawan yang mempunyai aset bernilai RM1 bilion itu dibebaskan.

Utusan Malaysia difahamkan, alasannya hanyalah: “Polis berpuas hati hasil soal siasat ke atas Tee Yam.”

Alasan ini agak bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan dua hari berturut-turut yang menggambarkan keadaan sebaliknya.

Dalam kenyataan pada hari Tee Yam ditahan semula Sabtu lalu, polis berkata: “Penahanan lelaki itu atas dasar keselamatan negara.” Dan semalam, polis menguatkan hujahnya: “Penahanan dibuat bagi `melindungi’ Tee Yam sendiri dan bagi memberi perlindungan sepenuhnya kepada saksi pendakwa.”

Utusan Malaysia diberitahu, Tee Yam dibebaskan setelah pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan mesyuarat khas pagi ini.

Menghina

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd. Fauzi Saari memberitahu, polis telah menjalankan soal siasat terhadap lelaki itu.

“Siasatan dibuat dan Ketua Polis Negara berpendapat Tee Yam tidak perlu ditahan lagi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam peguam jutawan itu, Datuk Muhammad Shafee Abdullah berkata, beliau akan memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah menghina mahkamah kerana menahan semula anak guamnya itu.

Permohonan itu menamakan Ketua Polis Negara (KPN) sebagai responden.

Tee Yam ditahan semula oleh polis pada 29 Oktober lalu sebaik sahaja dia melangkah keluar selepas dibebaskan dari penjara Simpang Renggam, Kluang, Johor.

Selepas ditahan di bawah Ordinan Darurat 1969, lelaki itu terus dibawa ke Bukit Aman di sini.

Tee Yam dibebaskan dari penjara berkenaan ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan yang membebaskan beliau pada 19 Oktober lalu selepas permohonan habeas corpusnya didengar.

Dia sebelum ini ditahan di sebuah restoran di Bukit Bintang di sini pada 26 Mac 2004 sebelum dipenjarakan di Simpang Renggam, Kluang, Johor.

Tee Yam pernah melalui lima proses perbicaraan dan mengemukakan rayuan melalui Muhammad Shafee di Mahkamah Tinggi Muar pada 24 Mei sehingga 7 Julai lalu.

Dalam rayuan bagi permohonan habeas corpus di Mahkamah Persekutuan, Tee Yam diwakili barisan peguam diketuai Muhammad Shafee, Kaushalya Rajathurai, Frida Krishnan dan Lilian Lee.

Pihak responden diwakili oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Yusof Zainal Abiden, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Kamaluddin Mohd. Said, Mohd. Najib Zakaria, Fazillah Begum Abd. Ghani dan Tengku Amri Zaki Tengku Abdul Rahman.

Muhammad Shafee dalam hujahnya antara lain mengemukakan alasan mala fide (niat jahat) dari mula Tee Yam ditahan oleh polis sehingga 60 hari tempoh penahanan yang dibenarkan, dan tidak mengikut peraturan seperti dinyatakan oleh Lembaga Penasihat.

Keputusan pembebasan Tee Yam dibuat oleh panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Pajan Singh Gill, Datuk Richard Malanjum dan Datuk S. Augustine Paul.

Bagaimanapun, Tee Yam yang sepatutnya dibebaskan Rabu lalu, dilaporkan enggan meninggalkan pusat tahanan di Simpang Renggam itu kerana bimbang ditahan semula oleh polis.

Tee Yam dipercayai terlibat dalam pelbagai kegiatan haram seperti pelacuran, kongsi gelap, perjudian, kelab malam dan Ah Long. Malah beliau juga dikatakan mempunyai sebuah kelab malam ala Las Vegas.

——————————————–

OK habislah cerita tu, berbalik pada kisah pertemuan tadi, bila tiba waktu yang ditetapkan, aku pun pergilah ke sebuah restoran di Bukit Bintang tempat pertemuan itu diatur

sebelum pergi, aku siap inform dulu dengan editor aku agar segera buat ‘apa yang patut’ sekiranya aku tak pulang

aku baca senang saja…mungkin Tee Yam marah dengan berita-berita yang kami pernah tulis pasal dirinya di akhbar

berdebar ni jangan cakaplah, dengan ‘reputasi’ yang dimilikinya, aku tahu apa saja boleh berlaku

namun ‘gabra’ aku reda sketika bila sampai di sana, ini kerana bukan aku saja yang hadir, beberapa wartawan akhbar Cina juga nampaknya telah berada di situ

bahkan mereka lebih awal sampai daripada aku

suasana masa tu senyap sunyi, masing-masing hanya membisu seribu bahasa, mungkin mereka pun ‘kecut’ perut juga

kira-kira 10 minit kemudian, Tee Yam pun sampai

laaaaa……tengok muka dan fizikalnya tak macam gangster langsung, macam pak lawak pun ada juga

rendah saja orangnya

lepas bersalam dengan kami semua, dia pun mempelawa kami untuk makan tengah hari bersamanya

(inilah restoran tempat pertemuan kami)

memandangkan ia sebuah restoran Cina, aku hanya minum Coke jelah

” Lu jangan takut, saya bukan mau marah lu semua, tapi saya cuma nak beritahu yang saya tak salah…dan saya juga sudah menjalani hukuman, jadi tak adil untuk terus mau tahan saya dalam penjara,” katanya

kemudian Tee Yam lebih banyak bercakap dalam bahasa Cina

member Cina aku beritahu, Tee Yam dalam pertemuan itu lebih banyak bercakap mengenai status kesnya di mahkamah

dalam erti kata lain, dia nak media dengar pula daripada pihaknya dan tidak hanya menulis berdasarkan sebelah pihak semata-mata

apa-apa je lahkan, aku masa tu rasa macam nak cabut ajer daripada majlis tu, entah kenapa rasa macam tak selamat je hahahahah

nasib baiklah Tee Yam pun tak boleh lama, lebih kurang setengah jam dia pun blah

aku bila tengok dia blah, aku pun blah sekali

lagi lama aku kat restoran tu, lagi ‘cuak’ aku dibuatnya

inilah Koo Tee Yam

entah di mana dia sekarang, ada maklumat mengatakan dia kini menetap di Hong Kong, ada yang kata itu, ada yang kata ini

apapun bertemu dengan jutawan penuh kontroversi ini tetap akan menjadi kenangan dalam sejarah karierku dalam bidang kewartawanan

Advertisements

Read Full Post »

pertama sekali aku ingin mengucapkan tahniah pada adik-adik kita yang berjaya dalam SPM semalam, kalau result tu macam ‘hampeh’, jgn risau, hidup anda belum tentu hampeh…sejarah membuktikan betapa ramai manusia yang berjaya di muka bumi adalah disebabkan keinginan mereka untuk bangun dari kegagalan, bukannya di kalangan mereka yang meratapi kehancuran

bercakap pasal SPM, sekitar tahun 90-an dulu, masa tengah menunggu keputusan, perkara pertama yang aku buat ialah cari kerja

bukan apa, tak sabor rasanya nak cari duit poket sendiri setelah bertahun mentekedarah duit mak bapak hahahahaha

di saat kebanyakan member lain kerja sambilan di hotel atau jadi promoter di shopping complex, aku lak gatal nak ikut kawan aku ni kerja di sebuah syarikat ‘saham’

mulanya aku hairan juga kenapa masa interview mereka langsung taknak tengok sijil aku, rupa-rupanya kerja aku selak buku panduan telefon dan telefon semua nombor yang ada – suruh mereka beli saham!

memang kerja giler, daripada 10 panggilan yang dibuat, lapan panggilannya daripadanya AKU KENA MAKI

mana taknya, adakah patut, dengan tanpa diberi latihan, kami disuruh memujuk orang beli saham kononnya saham komoditi, kalau murah takpe jugak, ini paling kurang kena labur RM10,000 satu lot, gilo apo!

disebabkan tak tahan kena maki, aku ambil keputusan ikut kawan aku yang sorang ni bekerja di Metrojaya Bukit Bintang

aku dah pernah tulis pasal benda ni, takpelah aku refresh balik

segalanya bermula apabila aku pergi temuduga kerja sebagai sales asistant di situ, memandangkan itulah pertama kali aku pergi interview, maka perasaan gelabah tu tak dapat dipisahkan

di saat remaja lain hanya memakai t-shirt dan jeans, aku pula punyalah tertib apabila bantai pakai kemeja dan seluar slack sambil menggendung fail yang dipenuhi sijil ko-kurikulum.

“Adik, aku ingatkan tadi kau nak minta kerja jadi manager kat sini. Kalau setakat nak kerja sales asistant, tak payahlah susah-susah gosok baju kemeja dan bawa sijil,” kata salah seorang penemuduga di situ.

Muka aku punyalah tebal masa tu. Rasa macam nak balik rumah je naik bas mini (masa tu KL penuh dengan bas mini)

Namun dia ambil jugalah fail aku tu, lepas dia belek-belek, terus dia offer satu jawatan.

“Aku tengok banyak sijil kadet polis dalam fail ko ni, macam ni lah, memandangkan badan ko ni besar, kita orang ambil kau jadi pak guard kat Metrojaya ni, nak tak?,” kata mamat tu.

“Abang biar benar, kalau jadi pak guard saya taknaklah, buat malu je kat kengkawan, mesti mak bapak saya gelak kalau dapat tahu,” kata aku yang punyalah sakit hati dengan offer tu.

“Alah kau ni, bukan pak guard yang pakai cota tu, maksud aku kau jadi House Detective (HD). Kerja dia macam detektifla. Kau tak payah pakai uniform. Kami bagi kau satu walkie talkie, kerja kau ronda je, kalau kau nampak orang mencuri, kau tangkap dan serah kat kami. Gaji lagi mahal pada cashier!,” katanya

Alamak, macam best je. Lepas dua tiga hari fikir, aku pun terima offer tu. Yang bestnya, takde seorang pun member-member aku tahu aku kerja HD. Malulah beb! 

Rupa-rupanya kerja HD ni taklah seindah yang dibayangkan. Kalau kena shift pagi, dua jam sebelum shopping complex dibuka, kami dah kena buat spot check dari tingkat atas sampai tingkat bawah. Kami kena masuk toilet, masuk stor dan masuk tempat-tempat yang terselindung. Tujuannya untuk mengesan barang-barang yang mungkin disembunyikan oleh staf bertugas.

Lepas tu kami jugalah yang bertanggung jawab memasang semua lampu-lampu, membuka pintu-pintu kedai dan membuat pemeriksaan badan terhadap semua staf yang bertugas.

Selepas kedai dibuka, kami kena pula menyamar sebagai customer dan bertugas di zon atau floor yang ditentukan.

Inilah saat yang paling memenatkan. Kalau lapan jam bekerja, lapan jamlah kena ronda macam orang gila. Dapat duduk pun masa waktu makan je.

Yang lawaknya, kalau takde tangkapan pada hari tu, kami dianggap curi tulang atau mengular, ada akal ke?

Takkanlah kami saja-saja nak tangkap orang kalau diaorang tak buat salah, pergh!

Tapi memang betul, percaya atau tidak, dalam sehari tak kurang daripada 10 kes kecurian pasti berlaku. Inilah realitinya.

Korang mungkin terkejut kalau aku bagitahu, antara customer yang kami pernah tangkap kerana mencuri termasuklah manager bank, cikgu sekolah dan inspektor polis, hahahaha

selalunya kalau tertangkap, kami akan serahkan mereka ke balai…tapi terpulang pada budi bicara jugaklah. Kalau suspek tak melawan atau mengaku salah, selalunya kami akan minta mereka bayar balik barang yang mereka curi, tetapi kena bayar doublelah. Mana boleh kasi muka.

Kami juga ada bilik gelap macam bilik C.I.D kat balai-balai tu, tempat di mana suspek dibawa untuk di soal siasat. Jangan salah sangka, kami tak pernah belasah orang, kami yang kena belasah lagi ada.

Tapi yang kuat melawan tu, singgah jugalah penampar dua tiga das kat muka diaorang.

Namun pengalaman yang aku tak boleh lupa adalah bila satu hari tu aku ditugaskan untuk berkawal di bahagian t-shirt2 branded seperti Dunhill, Polo dan  Crocodile. Harganya tak kurang dari RM100 setiap helai.

Tempat tu memang sensitif kerana di situlah berlaku banyak kecurian. Hari itu aku punyalah berjaga-jaga sampai nak pergi kencing pun takut, takut barang hilang.

Alhamdulilah, sepanjang aku berkawal takde langsung promoter yang complaint barang dia orang kena curi

Tetapi alangkah terkejutnya aku, keesokkan harinya bos aku bagitahu lebih 20 pasang baju Crocodile bernilai hampir RM5 ribu lesap dicuri tanpa dapat dikesan, biar pun melalui CCTV

kejadian pula dipercayai berlaku masa aku berkawal, aduh, mati aku. Apalagi, aku kena maki gila-gila dengan bos aku.

“Beginilah, kerja kita memang begini, kalau baik takde sapa puji, kalau salah, berguni-guni dikeji,” kata salah seorang HD senior sebaik saja mengetahui aku ‘digasak’ dek insiden tersebut.

Itu hanya sekelumit kenangan, banyak lagi yang aku lalui sepanjang bergelar HD @ pak guard, sebab itu sehingga hari ini aku sangat respek dengan pak guard, tak kisahlah dia orang tempatan ke, bangla ke mahupun Nepal.

ini kerana aku sendiri telah melalui pengalaman seperti mana yang telah mereka lalui, walau nampak rilex dan macam orang bodoh je, tetapi hanya mereka saja yang tahu sengsaranya bekerja sebagai pak guard.

aku hanya bertugas selama tiga bulan sebelum berhenti kerana mendapat tawaran melanjutkan pelajaran

namun memori pahit manis tersebut akan aku kenang sampai bila-bila

tabik pada pak guard di seluruh dunia,  walau di mana juga, anda berada!

Read Full Post »

 

jika semalam aku menulis mengenai Prof. Datuk Dr. Ungku Omar, saintis Melayu pertama yang makin dilupakan sejarah dan sumbangannya, hari ini aku nak menulis mengenai seorang lagi tokoh anak Melayu yang hanya sering didengar namanya, tetapi tak ramai yang tahu siapakah beliau yang sebenarnya

untuk pengetahuan korang, beliaulah yang digelar Bapa Pendidikan Malaysia…Aminuddin Baki

aku sendiri walaupun pernah menuntut di Sekolah Aminuddin Baki Kuala Lumpur (sekolah yang dinamakan sempena nama beliau), tetapi tak tahu dan langsung tidak kenal tokoh yang dimaksudkan

 

dalam hal ini aku berterima kasih kepada arwah abah yang menghadiahkan sebuah buku biografi mengenai Allahyarham sewaktu hari jadiku yang ke 14 tahun

terus-terang, inilah hadiah hari jadi yang aku anggap paling bermakna yang pernah aku terima!

inilah buku yang aku maksudkan

untuk pengetahuan korang, Aminuddin lah yang memperkenalkan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), menggantikan peperiksaan LCE, MCE dan HSC

mengenai insan istimewa ini, beliau telah ditawarkan jawatan Pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim selepas tamat pengajian di London pada sekitar tahun 50-an

beliau juga yang memperkenalkan subjek Sejarah Islam kepada pelajar

pada bulan September 1955, Aminuddin terlibat dalam menyediakan Laporan Pendidikan Razak dan pada tahun 1960, beliau dipilih sebagai ahli jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Abdul Rahman Talib.

ketika berusia 36 tahun, Aminuddin dilantik menjadi Ketua Pegawai Pendidikan Selangor pada 1962, dan pada tahun yang sama menjadi Ketua Penasihat Pendidikan Malaysia (kini dikenali sebagai Ketua Pengarah Pendidikan)

bayangkan pada usia semuda itu, beliau telah dilantik ke jawatan tersebut

bahkan beliau juga diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai perancang pendidik yang bijaksana dan berpandangan jauh di Asia oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO)

sebenarnya apa yang aku cerita ini hanyalah sekelumit daripada kisah kejayaan dan jasa yang beliau taburkan kepada kita

kerana terlalu menyayangi bangsanya, arwah sering mengingatkan para pelajar Melayu agar belajar bersungguh-sungguh supaya tidak menjadi hamba di bumi sendiri

pepatah yang sering keluar dari mulutnya ialah – JANGAN JADI AYAM DIKEPUK MATI KELAPARAN, ITIK DI AIR MATI KEHAUSAN

namun, seperti mana Ungku Omar, beliau juga meninggal dalam usia muda iaitu 39 tahun kerana diserang penyakit jantung selepas menunaikan sembahyang

lebih menghibakan, ada yang mengatakan punca kematian Allahyarham adalah kerana terlalu memikirkan bagaimana untuk mencari kaedah bagi memajukan anak bangsanya

begitulah hebatnya anak Melayu yang bernama Aminuddin Baki ini

kini namanya hanya boleh dilihat di papan tanda sekolah, nama jalan dan nama sebuah institusi pendidikan di Genting Highlands

sayang, jasa dan pengorbanannya semakin dilupakan dan terus dilupakan….Al-Fatihah buat Allahyarham…

Read Full Post »

Allahyarham Prof. Datuk Dr. Ungku Omar Ungku Ahmad

dah lama rasanya aku tak menulis tentang sesuatu topik yang agak serius

yelah, bagi mereka yang perasan, blog aku ni memanjang dok cerita pengalaman aku jadi wartawan, kisah aku melancong, cerita tentang makan dan yang sewaktu dengannya

maklumlah, bila otak dah stress kerana memanjang dok hadap komputer di pejabat, jadi bila balik rumah aku lebih kepada nak menulis cerita santai-santai

tetapi entah kenapa, malam ini aku teringat tentang seorang tokoh anak Melayu yang namanya sering disebut, tetapi aku berani kerat jari tak ramai yang mengetahui siapakah empunya diri yang sebenarnya

pernah dengar nama Ungku Omar?

mungkin ramai yang terbayang Politeknik Ungku Omar, Ipoh atau kampus Ungku Omar yang kat UKM dan UPSI tu

itu kira OK lah, baru-baru ini aku ada tanya seorang student universiti pasal Ungku Omar…dia boleh tanya balik, siapa tu bang?

aku tak salahkan dia, kerana aku dapati yang kita angkat dan julang tinggi-tinggi selalunya tokoh politik atau anggota keselamatan

jarang benor kita nak angkat orang yang hebat dalam dunia pendidikan sedangkan tanpa orang-orang macam Ungku Omar ni, kita khususnya orang Melayu mungkin tidak sampai ke tahap yang kita ada sekarang

untuk pengetahuan korang, Ungku Omar atau nama penuhnya Datuk Dr. Ungku Omar Ahmad adalah antara anak Melayu pertama yang dianggap ‘genius’

mana tidaknya, jika zaman dulu mak bapak selalu idamkan anak-anak mereka jadi peguam, pegawai daerah (D.O) atau paling tidak cikgu, Ungku Omar sebaliknya memilih jurusan perubatan

beliau yang belajar di MCKK kemudiannya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya, Singapura dan mendapat ijazah kedoktoran pada tahun 1957

setelah berkhidmat selama beberapa tahun, beliau telah melanjutkan pelajarannya dan mendapat Diploma di bidang Pathologi di Royal College of Physician London dan di Royal College of Surgeon, England pada tahun 1962

dua tahun kemudian beliau telah dianugerahkan Fellowship of Royal Pathology dan juga telah berjaya mendapat ijazah kedoktoran di bidang Clinical Chemistry dari Universiti London

Ungku Omar juga adalah anak Melayu yang pertama menyandang jawatan Pengarah Pusat Penyelidikan Perubatan sejak tahun 1965

ketika keadaan kesihatan rakyat, terutama di luar bandar masih belum terbela beliau mengunjungi kampung-kampung untuk memberikan ceramah dan bimbingan kepada penduduk tentang kesihatan, terutama sakit malaria

banyak kali mewakili Malaysia dalam persidangan Perubatan antarabangsa dan memberi sumbangan dalam bentuk ceramah dan pidato umum di Australia, Indonesia, Amerika Syarikat, Filipina, China dan Singapura

ceramah dan pidatonya berkisar tentang peripentingnya hasil penyelidikan perubatan disebarluaskan untuk menjaga kesihatan rakyat

beliau telah menghasilkan lebih daripada 40 kertas kerja dan prosiding tentang perubatan dan ditanggapi dengan baik oleh pengamal-pengamal perubatan di Asia Tenggara khuusnya, dan dunia amnya

tesis Ph.Dnya bertajuk “Electrolytes in Isolated Human Leucocytes.” menjadi bahan rujukan utama buat mahasiswa jurusan perubatan

menurut maklumat yang aku baca dari Arkib Negara, selain dari bidang perubatan, Allahyarham juga terlibat dalam berbagai bidang

beliau pernah menjadi ahli Lembaga Pengarah Yayasan Tunku Abdul Rahman, Dewan Bahasa dan Pustaka, anggota Jawatankuasa Penggubal Perlembagaan Universiti Kebangsaan dan Pengerusi Majlis Kolej Islam, Petaling Jaya

disamping itu beliau juga menganggotai beberapa badan perubatan baik di dalam mahupun di luar negeri

namun sayang sekali, dalam usia baru mencecah 38 tahun, beliau telah meninggal dunia kerana serangan jantung di rumahnya pada tahun 1969

dan bagi aku, lebih sayang lagi, generasi baru ramai yang tidak mengenali insan istimewa bernama Ungku Omar ini

sayang, sayang, sayang…salah siapa?

Read Full Post »

sekarang ni macam dah jadi satu trend, ramai warga kota yang memilih menunggang basikal sebagai hobi dan salah satu kaedah untuk mengeluarkan peluh

kalau di sekitar ibu negara, boleh dikatakan setiap malam terutama malam minggu, jalan raya akan dipenuhi remaja berbasikal

bagi aku, ia satu perkembangan yang baik…baik untuk fizikal penunggang basikal itu sendiri dan juga alam sekitar (takde ekzos le katakan)

tapi aku juga cukup bimbang kerana kejadian kemalangan maut melibatkan penunggang basikal semakin banyak berlaku

maaf cakap, jalan raya kita ni nampaknya ‘belum cukup bersedia’ untuk menerima penunggang-penunggang basikal ini

dengan kapasiti kenderaan yang banyak, ditambah jalan yang tidak begitu lebar dan sikap pemandu yang ngalahkan driver F1, menunggang basikal nampaknya menyajikan risiko yang cukup besar

untuk sementara ini aku rasa lebih baiklah memenuhi hobi berbasikal itu dengan mengayuh di kawasan taman atau tempat-tempat yang kurang jumlah kenderaannya

memanglah kalau dah takdir nak accident, kita tak boleh elak tetapi sekurang-kurangnya kita boleh meminimakan risiko itu

sedangkan motorsikal yang berenjin pun tak dapat nak elak daripada kemalangan, apatah lagi basikal yang hanya digerakkan dengan kudrat sepasang kaki je tu

terbaru, kalau kita lihat sedutan berita di atas, seorang ahli Kelab Basikal LeTua, maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika sedang berbasikal di Jalan Lingkaran Tengah II, dekat susur Taman Melawati

mangsa, Rafizi Hamdan, 37, yang juga rakan penaja kelab basikal yang pernah menyertai Le Tour de Langkawi sebelum ini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala

ketika melalui lokasi kemalangan, sebuah kereta dipercayai jenis Proton Saga yang dipandu laju telah merempuh mangsa yang sedang mengayuh basikal

Rafizi yang telah berumah tangga dan mempunyai dua cahaya mata mengalami kecederaan teruk di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian

semoga kejadian sebegini tidak melemahkan hasrat kita untuk terus menunggang basikal, cuma diharap apa yang berlaku boleh dijadikan iktibar untuk kita semua

kepada keluarga Allahyarham, bersabarlah…marilah kita sedekahkan Al-Fatihah semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat

SAK: Pernah tergolek dalam longkang waktu kayuh basikal masa sekolah rendah dulu, ngeri sehhhhh….

Read Full Post »

dia adalah salah seorang anak saudara yang cukup rapat denganku

aku masih ingat bagaimana kakakku melahirkannya, bagaimana dia menangis teresak-esak sambil turun tangga kerana dipukul ibunya waktu sekolah rendah  masa kami tinggal di flat Pandan Jaya dulu, bahkan borang hendak jadi anggota polis pun aku yang tolong hantarkan

dari kiri kakakku (ibu Nini), arwah abah, emak, adik Nini, Nini dan aku

pejam celik, pejam celik, dah pun nak jadi bini orang

semalam dengan rasminya dia ‘disunting’ rakan setugasnya yang bertugas sebagai Inspektor di balai polis yang sama

majlis pertunangan anak buahku itu dibuat kecil-kecilan saja, kerana kami bercadang menjemput saudara mara dan sahabat handai masa majlis pernikahan nanti

tetapi disebabkan keluarga pihak lelaki pun besar jumlahnya, dicampur kehadiran rakan sekerja dan teman-temannya masa sekolah, majlis pertunangan anak saudaraku itu dah macam kenduri kahwin pulak, punyalah ramai yang datang

berpeluh-peluh kami berkejar ke sana ke sini menambah nasi dan lauk pauk yang hampir kehabisan

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar, yang penting tiada tetamu yang pulang dengan perut kosong

menu? memandangkan kami ni berdarah ‘anak mami Penang’ campur darah Negeri Sembilan, akhirnya kami decide buat kari mamak dan masak lomak cili api nenas, wallah!

kari mamak Penang hehehe

apapun terasa benar masa yang berlalu, terasa sungguh diri ini makin tua, rambut aku pun dah ala-ala George Clooney

lebih terasa lagi bila, bila anak buahku yang dulunya pernah ku dukung itu dah bakal menamatkan zaman bujangnya

buat Syawalini, paksu harap percintaan korang ini bukan saja masa bertunang, bahkan akan kekal ke jinjang pelamin hingga ke fasa seterusnya

ingat, masa bertunang nilah korang akan diuji dengan pelbagai cabaran dan dugaan

paksu hanya berdoa yang terbaik untuk korang berdua (sedih la pulak)

tahniah ye Nini@ Nur Syawalini Rodzian.

Read Full Post »

dari hati yang paling luhur dan ikhlas, aku ingin mengucapkan jutaan tahniah dan syabas kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana berjaya menyelesaikan dua kes pembunuhan kejam dalam tempoh yang agak singkat

pertama kes adik Nadirah, polis Johor percaya ada di antara suspek yang mereka cekup baru-baru ini terlibat secara langsung dalam pembunuhan itu, oh yea, polis Kelantan juga telah menangkap seorang bekas tentera tadi kerana dipercayai bertanggung jawab menghantar SMS menuntut wang tebusan daripada mak mangsa

berkenaan dengan bapa Nadirah, dia telah dilepaskan kerana polis yakin dia tidak terlibat

itu kes pertama

dan dalam kes kedua iaitu pembunuhan sepasang anak beranak Zara Eleena dan bapanya, Omar Peter Abdullah di Puchong hari tu, kes itu juga selesai dengan tertangkapnya enam suspek termasuk boyfriend si mati

rupa-rupanya si mati pernah buat laporan polis mengatakan yang boyfriendnya itu telah mengeluarkan sejumlah wang miliknya dari mesin ATM tanpa pengetahuannya

dengan tertangkapnya suspek-suspek, polis akhirnya menemui banyak barang bukti termasuk kereta, duit, barang kemas milik mangsa yang nilainya hampir RM100,000

bravo!

ternyata skil yang dimiliki pegawai penyiasat PDRM memang bertaraf dunia!

cuma aku harap pihak polis jangan berasa selesa dengan kejayaan-kejayaan ini

harus diingat, yang paling penting adalah sewaktu perbicaraan kat mahkamah nanti, maklumlah, peguambela akan menggunakan segala kemampuan mereka untuk membebaskan tertuduh

jadi bukti yang diperoleh mesti solid, siasatan yang dibuat mesti lengkap, keterangan yang ada mesti tepat

sejarah membuktikan banyak kejayaan polis dalam menyelesaikan kes akhirnya tidak membawa apa-apa makna apabila mahkamah terpaksa membebaskan suspek disebabkan kelemahan dalam perkara-perkara yang disebutkan tadi

apapun tahniah PDRM, tabik spring satuuuuuu!!!!!

Read Full Post »

« Newer Posts - Older Posts »

WordPress.com

WordPress.com is the best place for your personal blog or business site.

%d bloggers like this: