
Oleh SYAHRIL A. KADIR
“Cuba bayangkan bagaimana saya dan rakan saya, Jamil Ahmad terpaksa menghabiskan lebih separuh daripada usia kami di dalam tembok besi, malah ada wadar dan pegawai penjara yang dah berhenti dan ada juga yang dah pencen tetapi kami berdua masih lagi kat ‘dalam’.
“Hanya kerana salah membuat keputusan dan pertimbangan, kami terpaksa menerima hukuman yang dahsyat ini, namun inilah yang dikatakan takdir dan kami menerimanya dengan pasrah dan reda,’’ kata Mohd. Salleh Talib atau Pak Leh dalam nada tersekat-sekat.
Pak Leh dan Jamil yang mencipta sejarah sebagai tahanan paling lama menjalani hukuman penjara di negara ini, iaitu selama 31 tahun, dibebaskan dengan pengampunan pada 3 Oktober lalu.
Tiada perkataan lain yang dapat diucapkan oleh Pak Leh dan Jamil selain memanjatkan rasa syukur tidak terhingga kepada Allah s.w.t kerana kini mereka dapat menghirup udara bebas selepas lebih separuh usia dihabiskan di dalam penjara.
Kedua-duanya yang bersahabat itu dijatuhkan hukuman sepanjang hayat pada 1976 selepas terbabit dalam cubaan merompak bersenjata api dalam satu kejadian di Alor Star.
Ketika itu, Pak Leh berusia 27 tahun dan Jamil pula 26 tahun. Hari ini semasa dibebaskan, Pak Leh berusia 57 tahun dan Jamil 56 tahun.
Setelah menjalani hukuman penjara selama 30 tahun, 11 bulan dan 9 hari, mereka diberi pengampunan oleh Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.
Pak Leh dipenjarakan di Penjara Taiping, Perak manakala Jamil dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, Selangor
Penulis dan jurugambar, Mohd. Nazudeen Mahmud yang dapat ‘menghidu’ pembebasan mereka terus berkejar ke Penjara Taiping untuk mengikuti peristiwa bersejarah tersebut.
Sebaik saja tiba di penjara itu tepat pukul 3 petang, kami terus dibawa menemui Pengarah Penjara Taiping, Narander Singh di pejabatnya.
Beliau yang teruja melihat kehadiran kami memaklumkan yang beliau sendiri akan membawa Pak Leh untuk diwawancara secara eksklusif oleh Mingguan Malaysia di bilik mesyuarat penjara berkenaan.
Kelibat Pak Leh kelihatan tidak sampai 10 minit selepas itu. Selesai saja kami menemu bual Pak Leh, Narander dengan ditemani wakil Suhakam, Datuk Siva Subramaniam terus mempelawa kami melihat sendiri proses terakhir yang perlu dilalui tahanan tersebut sebelum dibebaskan.
Tepat pukul 3.50 petang, Narander mengarahkan Salleh menggantikan pakaian penjaranya.
Kira-kira 10 minit kemudian, Pak Leh keluar dari bilik persalinan dengan wajah tersenyum sambil diberi tepukan oleh beberapa wadar penjara yang berada di bilik tersebut.
Dengan berkemeja biru, berseluar panjang hitam, berkopiah dan berselendang ala Herman Tino, Pak Leh terus dibawa berjumpa Narander di bilik dokumentasi.
Di situ, Narander menurunkan tandatangan tidak kurang daripada 10 dokumen sebelum membacakan perintah pembebasan kepada Pak Leh.
Beliau juga sempat memberikan nasihat dan perangsang kepada Pak Leh. Di saat itu kami melihat mata Pak Leh bergenang.
Kemudian Narander meminta seorang pegawainya menyerahkan wang gaji sebanyak RM800 yang dikumpul Pak Leh dan pada masa sama meminta dia mengiranya secara teliti.
Pak Leh yang agak terketar-ketar mengira dengan penuh khusyuk setiap helai wang diterimanya.
Selepas itu terpancar senyuman pada mulut Pak Leh sebelum dia bersalaman dengan setiap pegawai dan wadar yang berada di situ.
Sejurus sebelum dibawa keluar, Pak Leh juga diberikan dua batang tongkat yang diukirnya sendiri.
“Tongkat itu untuk ayah saya yang tercinta,’’ katanya ringkas.
Pak Leh kemudian terus dibawa keluar dari ‘kediaman’ yang lebih 30 tahun dihuninya itu.
Dia sempat mengangkat tangan berdoa sebelum terus meluru ke arah ayahnya yang tercinta.
Sebaik sahaja dibebaskan, kami terus mengikutnya sehingga ke rumah keluarganya yang terletak di Kampung Dusun Madinah, Changkat Jering iaitu kira-kira setengah jam perjalanan daripada penjara berkenaan.
Rumah tersebut hanya didiami adiknya, Abdul Wahab dan bapanya, Talib Arabulah yang kini hanya mampu terbaring akibat lumpuh.
Keadaan rumah tersebut agak daif dan terletak di dalam kawasan semak di pinggir kampung berkenaan.
Lebih malang lagi, Abdul Wahab tidak dapat bekerja tetap kerana terpaksa menjaga ayah mereka yang uzur itu.
“Sebenarnya saya tahu yang saya akan menghadapi lebih banyak cabaran bila bebas nanti, bayangkanlah dulu semua tersedia, makan ada, minum ada, kini semuanya perlu dibeli sehinggakan nak masuk tandas pun kena bayar.
“Itu belum lagi hal penerimaan masyarakat, saya tak mampu memaksa atau menyuruh mereka menerima saya, saya juga takkan hendak menjerit memberitahu orang kampung yang saya dah bertaubat.
“ Namun biarpun cabaran yang akan saya hadapi ini lebih berat dugaannya, saya tak kisah, kerana yang penting saya sudah dapat menghirup udara kebebasan dalam erti kata yang sebenarnya, percayalah, kita hanya dapat menghargai kebebasan setelah kita kehilangannya,’’ kata Pak Leh.
Ketika diminta menceritakan tentang sejarah hitamnya sehingga membuatkan dia ‘disumbat’ ke dalam penjara, Salleh dengan tenang membuka bicara.
Semuanya bermula bila saja mereka berdua mengambil keputusan untuk berhijrah dari kampung mereka di Baling, Kedah ke pekan Kuala Nerang pada tahun 1976.
Keadaan kemiskinan yang teruk di Baling ketika itu memaksa mereka berpindah kerana ingin mendapatkan pekerjaan.
Namun harapan untuk mencari ‘sesuap nasi’ di pekan kecil ini ternyata punah sama sekali, bahkan penghijrahan mereka dari Baling ke Kuala Nerang boleh diibaratkan keluar dari kandang harimau tetapi masuk ke kandang singa.
Ternyata daerah ini tidak jauh bezanya dari kampung asal mereka.
Bahkan keputusan yang diambil untuk mencari pekerjaan di tempat baru ini boleh dikatakan keputusan paling bodoh yang pernah mereka lakukan.
Pak Leh dan Jamil putus asa. Mulut harus disuap tetapi tangan masih `terikat’. Sesuatu harus dilakukan!
Betullah kata pepatah, kemiskinan adalah jalan mudah untuk membuat kemungkaran.
Di saat ini bisikan syaitan mula berkumandang di telinga mereka.
Ketika ini tiada kuasa lain yang mampu menghalang mereka kecuali kuasa jahat yang muncul secara tiba-tiba.
Memandangkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand ketika itu agak longgar, Pak Leh dan Jamil mengambil kesempatan tersebut untuk menyeberang ke negara jiran berkenaan.
Peluang untuk mendapatkan senjata secara mudah di negara itu telah digunakan sebaik-baiknya oleh mereka.
Dengan selaras ‘pump gun’ dan sepucuk pistol, mereka nekad untuk merompak dan sasaran yang paling mudah adalah merompak duit gaji pekerja Felda.
Strategi mereka berjaya, namun belum pun sempat untuk membelanjakan wang rompakan, kedua-duanya ditangkap ketika sedang berehat di dalam sebuah rumah.
Ternyata kelibat dan pergerakan mereka berjaya dihidu terlebih dahulu oleh sekumpulan detektif daripada Jabatan Siasatan Jenayah Kedah.
“Dunia ini gelap rasanya apabila mahkamah mengambil keputusan menjatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat ke atas kami.
“Kami sangat terkejut kerana tidak menyangka mahkamah boleh menjatuhkan hukuman yang berat itu sedangkan ia merupakan kesalahan pertama kami dan ia terpaksa dilakukan kerana keadaan kemiskinan yang terlalu menghimpit namun ia ditolak mentah-mentah oleh mahkamah.
“Saya turut disebat enam kali, dalam tempoh tiga tahun pertama dalam penjara, saya dikenakan sebatan buat kali pertama sehinggalah beberapa tahun kemudian saya menjalani kesemua hukuman sebat tersebut,’’ kata Pak Leh yang terpaksa menderita penyakit buasir selepas itu.
Namun Pak Leh tidak pernah putus asa. Rayuan demi rayuan dibuatnya bagi membolehkan hukuman tersebut diringankan namun ia semua ternyata sia-sia.
Pernah satu ketika dunia Pak Leh hampir ‘gelap’ apabila dia dimaklumkan yang dokumen rayuannya telah hilang dan mungkin menyebabkan impiannya untuk bebas lenyap begitu saja.
Begitu pun Pak Leh bersemangat semula apabila Narander dilantik sebagai Pengarah Penjara Taiping beberapa tahun lalu.
Pegawai penjara yang bersimpati dengan nasib Pak Leh ini kemudian menyusun pelbagai usaha dan strategi bagi membebaskan Pak Leh.
Beliau mendapatkan sokongan pihak majikannya, istana, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) termasuk media dalam usaha merealisasikan impian Pak Leh sehinggalah ia menjadi kenyataan pada 3 Oktober lalu.
“Usaha Narander cukup luar biasa, saya terhutang budi dengannya,’’ kata Pak Leh.
Perbualan dengan Pak Leh kemudiannya tiba-tiba terhenti apabila kami menanyakan tentang perihal keluarganya.
Pak Leh kemudian menanggalkan kaca matanya sebelum mengesat air mata yang meluncur laju di pipinya.
Menurutnya, perkara tersebutlah yang sering mengganggu tidurnya pada setiap malam selama 30 tahun dia berada di dalam penjara.
Katanya, siang dan malam dia berendam air mata terutama bila teringatkan hilai tawa adik-adik dan wajah ayah dan ibunya yang tercinta.
Namun ada satu peristiwa yang tidak mungkin dapat dilupakannya sampai bila-bila.
“Tahun lalu saya dipertemukan dengan ibu setelah sekian lama tidak bersua, kami berdua sangat terharu dengan pertemuan tersebut tetapi empat hari selepas itu saya dimaklumkan ibu telah pergi buat selama-lamanya.
“Bayangkan di saat ahli keluarga lain mengiringi jenazahnya ke pusara, saya hanya mampu ‘meraung’ dan meratap di dalam penjara,’’ katanya dalam nada tersekat-sekat.
Kami membiarkan Pak Leh melayan perasaannya.
Sambil memandang ke luar jendela, Pak Leh turut memberitahu betapa di sebalik ‘kekejaman’ penjara, tempat itu jugalah yang mengajarnya menjadi manusia.
Daripada tidak tahu membaca al-Quran, Pak Leh akhirnya dapat menghafal surah-surah yang panjang dan mengajar pula para penghuni penjara membaca kitab suci itu.
Dia juga dilantik menjadi imam di dalam surau penjara dan sering mengetuai solat tarawih semasa bulan Ramadan.
Di sana juga Pak Leh belajar membuat kasut sehingga mampu menghasilkan ribuan jenis kasut yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan rupa.
“Dengan duit buat kasut itu jugalah saya sempat mengirim kepada keluarga di kampung.
“Kerana jasa dan budi para wadar dan pegawai penjaralah saya menjadi manusia,’’ kata Pak Leh.
Sebelum beredar, Pak Leh sempat meminjam telefon bimbit kami untuk menelefon keluarganya bagi memaklumkan pembebasannya.
Dia ternyata kekok! Dipegang, dibeleknya telefon bimbit itu, kesian Pak Leh.
Kami juga difahamkan dia takut turun dari kereta seorang diri kerana berasa janggal dan kekok, malah Pak Leh pernah terlepas bersahur gara-gara gagal mencari suis lampu di rumahnya itu.
Sebelum kami meninggalkan rumahnya, dia sempat bersalam dan berharap agar kami dapat singgah ke situ bila ada kelapangan.
Pak Leh mungkin 30 tahun terpenjara, tetapi ia cuma tubuh tetapi bukan mindanya. Dia juga tidak pernah meminta dilayan seperti wira tetapi cukuplah dilayan seperti manusia. (UTUSAN MALAYSIA 8 Oktober 2006)

SEBENARNYA aku tak sangka hubungan aku dengan Pak Leh bukan sekadar seorang wartawan yang menemubual subjeknya semata-mata
sejak aku menulis mengenai beliau dalam akhbar (seperti yang tersiar di atas), Pak Leh seolah-olah menganggap aku sebagai anaknya sendiri
acapkali kami bertemu, berbual malah berbalas SMS (sebenarnya aku pun tak tau macam mana Pak Leh boleh tahu cara dan taip SMS, mungkin dia minta tolong anak buahnya barangkali)
bahkan setiap kali aku pulang berhari raya di Pulau Pinang, aku mesti singgah di rumahnya di Changkat Jering
namun ada satu peristiwa yang membuatkan hubungan kami tiba2 jadi renggang
segalanya bermula apabila aku yang ketika itu sudah berhenti dari Utusan, menyertai sebuah syarikat pembekal dokumentari untuk Astro
dalam salah satu program yang aku kendalikan, aku mengambil Pak Leh untuk sebuah program yang berjudul Citra Manusia
bila ia ditayangkan, ramai yang mencadangkan agar Pak Leh dipilih untuk menyertai program Jemputan Umrah yang disiarkan di Astro Oasis
untuk itu kami pun berusaha sungguh2 agar ia dapat direalisasikan
pada satu hari, tiba2 nama Pak Leh ‘naik’, apalagi aku terus memberitahu beliau kat kampung….punyalah gembira Pak Leh bila dengar khabar tersebut
tetapi entah di mana silapnya, berita itu berlalu begitu saja tanpa ada perkembangan seperti mana yang diharapkan, mungkin ada masalah teknikal di mana-mana, yang di luar pengetahuan kami
aku sangat malu dengan Pak Leh, apatah lagi bila beliau selalu menelefon aku bertanyakan hal berkenaan…akhirnya aku terpaksa berterus-terang perkara sebenar
aku tahu dia sangat kecewa dan sedih, tapi dia bagitahu yang dia faham…maklumlah yang nak minta masuk ke program Jemputan Umrah tu ramai
sejak pada itu hubungan kami agak renggang, bukan sebab dia marah, tapi aku sendiri yang ‘segan’ dengan beliau
dan hubungan tersebut terus putus apabila nombor telefonnya sudah tiada dalam perkhidmatan
dan hari ini aku membaca berita yang sangat menyedihkan, seperti mana yang tersiar dalam akhbar Kosmo!;
TAIPING – Bekas banduan paling lama di negara ini, Mohd. Salleh Talib yang mesra dipanggil Pak Leh sudah meninggal dunia kira-kira empat bulan lalu pada usia 63 tahun akibat sakit tua selepas enam tahun menikmati kebebasan daripada tirai besi.
Adik bongsunya, Abdul Wahab, 42, berkata, Pak Leh yang menjalani hukuman penjara selama 31 tahun menghembuskan nafas terakhir kerana sakit tua di rumah adik perempuannya, Fatimah, 45, di Kampung Sungai Lilin, Pokok Assam di sini pada 3 Mac lalu.
“Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Pokok Assam di sini. Sebelum itu, tahap kesihatan arwah abang merosot setelah menjalani pembedahan katarak mata di Hospital Taiping akhir tahun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dusun Madinah, Changkat Jering dekat sini semalam.
Perjalanan hidup hari-hari terakhir Pak Leh agak menyedihkan dengan tahap penglihatannya merosot teruk setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada awal tahun 2009.
Biarpun begitu, dia tetap menggagahkan diri berniaga membaiki kasut dengan menumpang kaki lima sebuah restoran di pekan Changkat Jering demi sesuap nasi.
Nasib malang Pak Leh bermula selepas bapanya, Talib Arabulah meninggal dunia kerana sakit tua beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha pada 2007.
apalagi yang nak aku katakan…andai dapat aku undurkan masa, nak saja aku meminta maaf sekali lagi kerana tidak dapat menyempurnakan hajatnya untuk menunaikan umrah

gambar terakhir aku dengan Pak Leh…ini sajalah satu-satunya kenangan aku dengan arwah
tapi itulah yang dikatakan takdir…kita hanya merancang, Allah juga yang menentukan segalanya
maafkan saya Pak Leh….
Like this:
Like Loading...
Read Full Post »