Feeds:
Posts
Comments

Archive for September, 2012

masa bulan puasa hari tu, aku suka tengok satu drama ni dalam Astro…tajuk dia Masihkah Ada Ramadan

sedih cerita dia…kisah pengorbanan seorang anak bongsu yang tinggal bersama-sama kedua-dua orang tuanya, adik bongsu kepada abang-abang dan kakaknya

Zali, satu-satunya anak yang tinggal bersama ibu bapanya kerana adik-beradik yang lain tinggal jauh di bandar kerana komitmen kerjaya masing-masing

ibunya sentiasa sedih apabila tibanya Ramadan dek mengenangkan anak-anak yang jauh di perantauan jarang-jarang pulang menjenguk

Zali si bongsu tidak ditanya kemahuannya, sekiranya abang-abang dan kakaknya pulang, si ibu pasti bertanyakan apa yang mahu mereka makan

tapi, Zali yang sentiasa bersama-sama dengannya setiap hari tidak pernah ditawarkan untuk dimasakkan makanan kegemarannya

Zali makan apa sahaja yang maknya masak dan tidak pernah komplen sedikit pun

rintihan hiba emaknya tentang abang-abang dan kakaknya yang jarang pulang menjenguk meruntun hati seorang anak

Zali mengambil keputusan ke Kuala Lumpur menyusuli abang-abang dan kaknya

namun kehidupan abang sulungnya dan keluarga rupa-rupanya sudah jauh dari landasanNya yang sebenar

solat entah ke mana, puasa entah ke mana

yang dikejar hanyalah kemewahan hidup yang fana’.

Zali berusaha menasihati dan meneladani anak-anak saudaranya.

dalam usaha mengubati hati ibu tercinta, rupa-rupanya Zali dalam diam mempunyai kanser di tahap empat yang merupakan tahap terakhir dan akhirnya meninggal dunia

bertambah aku suka drama ni sebab guna loghat Terengganu, teringat masa aku membesar dan sekolah di Terengganu dulu

namun berita malam tadi yang aku terima sungguh mengejutkan

pemegang watak Zali iaitu seorang pelakon baru, Muhammad Amirul Mazlan, 19, penuntut Jurusan Diploma Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) berasal dari Kampung Baru Kerteh, Kemaman, Terengganu maut dalam kemalangan di Federal Highway dekat Universiti Malaya

Motosikal ditunggang Muhammad Amirul dipercayai hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan sebelum terseret sejauh kira-kira 10 meter

kali ini ‘Zali’ benar-benar pergi, bukan sekadar dalam lakonannya dalam Masihkah Ada Ramadan itu

Al-Fatihah….

Read Full Post »

inilah Raudhah yang terletak di Masjid Nabawi, Madinah

ketika aku menjejakkan kaki ke tanah suci tempoh hari, aku dengan muka tak malu, banyak meminta dan berdoa kepada Allah

rasanya semua yang pergi ke sana juga akan buat perkara yang sama

mengapa aku kata – aku dengan muka yang tak malu?

mudah saja…senang cerita aku petik saja kisah ini;

Ketika Ibrahim bin Idham (seorang sufi) berada di tengah-tengah pasar Basrah, beliau telah dikerumuni oleh orang ramai. Di antara mereka ada yang bertanya: ” Kenapakah doa kami tidak dimakbulkan Allah, sedangkan kami bermohon kepada-Nya?”. Jawab Ibrahim : “Kerana hati mereka buta disebabkan sepuluh perkara:

Kamu mengenal Allah, tetapi kamu tidak menunaikan suruhan-Nya.
Kamu menyangka kamu cinta kepada Rasul Allah, tetapi kamu meninggalkan sunahnya.
Kamu telah membaca Al-Quran, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
Kamu telah makan nikmat Allah, tetapi kamu tidak tunaikan syukur-Nya.
Kamu telah berkata syaitan itu musuh kamu, tetapi kamu tidak menentangnya.
Kamu telah berkata syurga itu benar, tetapi kamu tidak beramal untuknya.
Kamu berkata neraka itu benar, tetapi kamu tidak lari daripadanya.
Kamu berkata mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia untuknya.
Kamu bangun daripada tidur lalu kamu ceritakan segala keaiban manusia, tetapi kamu lupa keaiban diri sendiri.
Kamu kebumikan mayat-mayat kamu (sahabat-sahabatmu) tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripada mereka.

tak perlulah kot aku ceritakan yang aku ni jenis manusia yang macam mana, tetapi aku akui ada ciri-ciri di atas yang ‘terkena’ pada batang hidung aku sendiri

sampai satu peringkat, aku menangis di dalam kawasan Raudhah (tempat mustajab untuk berdoa) di dalam Masjid Nabawi, boleh klik di sini -> https://syahrilkadir.wordpress.com/2012/06/28/umrah-orang-berdosa-bhg-9-tempat-yang-sungguh-istimewa-bernama-raudhah/

menangis kerana pertama aku malu pada Allah sebab ‘hanya tahu meminta, tetapi malas untuk memberi’

kedua kerana aku tak yakin yang doa aku akan dimakbulkan

aku kadangkala hampir putus asa

tapi yang pasti aku sangat yakin Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk hambanya, apa yang terbaik untuk diri aku, korang dan kita semua

dan hari ini Dia makbulkan salah satu doa yang aku pohon sejak sekian lama

tiada perkataan lain kecuali perasaan syukur padanya yang maha Esa

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang dan penuh pengharapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat baik.” (Surah al-A’raaf, ayat 55-56)

ingatlah, pada saat manusia tidak dapat lagi berbuat apa-apa, selepas habis daya usaha dan tiada sesiapa lagi yang mampu memberi bantuan diperlukan, ketika itu manusia akan sedar – sesungguhnya kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan daripada Allah SWT

ketika menjelaskan perkara sama, Salman al-Farisi meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa, dan tidak ada yang dapat memanjangkan umur melainkan memperbanyakkan amal kebajikan.” (Hadis riwayat Tirmizi)

berdasarkan peringatan Rasulullah SAW ini, pengaruh doa itu amat hebat sehingga mampu mengubah takdir Allah

marilah kita berusaha, bertawakal dan berdoa…InsyaAllah, kejayaan pasti dalam genggaman!

Read Full Post »

sepanjang aku jadi wartawan jenayah dulu, aku dah sampai nak muak berkumpul depan pintu pagar Bukit Aman

bila ada je penjenayah mati, siaplah akan ada YB-YB dan Ahli Parlimen tertentu yang akan terpekik terlolong kat situ

tak cukup dengan itu, nak serah memorandum pulak…lagi diaorang tengok ada wartawan terutama wartawan Mat Salleh, lagi ‘berkepak’ dan bersungguh-sungguh para YB ni

tak cukup dengan memo dan sidang media, diusung sekali keluarga si mati dan penyokong parti diaorang…sampai naik sesak depan pagar tu

tapi takpelah, hak diaoranglah nak buat apa pun, mungkin mereka rasa berlaku KETIDAKADILAN dalam kes-kes berkenaan

apa yang aku cerita ni kes petang tadi

kisahnya begini

tindakan dua anggota polis peronda mengejar sebuah kereta dinaiki empat lelaki berakhir dengan kedua-dua mereka cedera parah akibat ditembak penjenayah terbabit di Jalan Kuchai Lama

kedua-dua anggota polis berpangkat koperal itu yang berusia 41 dan 52 tahun terkena tembakan masing-masing di leher dan perut

difahamkan, pemandu kereta peronda jenis Proton Waja itu terkena tembakan di leher manakala rakannya cedera di perut setelah terkena tembakan dipercayai pistol

kejadian berlaku pukul 6.45 petang ketika dua anggota polis itu yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menahan sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki empat lelaki berhampiran persimpangan lampu isyarat menghala ke Bukit Jalil

baik, aku ingin bertanya kepada para YB yang suka sangat ‘bertenggek’ depan Bukit Aman, berdemo dan menjerit-jerit bila ada kes penjenayah ditembak mati

soalannya mudah saja, di saat korang para YB ni nak BELA sangat para penjenayah yang korang dakwa mati disebabkan ‘kekejaman’ polis itu, pernah tak korang terfikir nak BELA nasib anggota-anggota polis kita yang bekerja siang malam, bertarung nyawa macam dua anggota polis tadi dalam usaha mereka menjaga keselamatan kita, termasuk rumah banglo korang dan harta benda korang itu???

maaf, aku sangat emosional dalam hal ini

ini kerana mereka, para YB yang kuat berdemo depan Bukit Aman ni , aku lihat hanya bersifat selektif, hanya memilih isu yang mereka lihat dapat memberikan ‘mileage’ dalam karier politik mereka semata-mata, bukan nak perjuang hak asasi sangat pun!

kalau betul mereka perjuang hak asasi, aku harap mereka jangan perjuang hak asasi penjenayah semata-mata, tolonglah, pleaselah

dua anggota polis yang ditembak tu pun ada hak asasi mereka juga…kecualilah para YB ni anggap mereka  aliens yang datang dari planet Marikh

aku personally benci polis yang zalim,  yang korup, yang pemalas, yang lembik dan semua yang sewaktu dengannya

tapi pada masa yang sama, aku juga benci YB-YB yang double standard cenggini

tak kira lambang apa, parti mana, sokong siapa…SELAMAT MENJADI BARUA KEPADA PENJENAYAH!

pissed off.

Read Full Post »

kenangan zaman kaset

baru-baru ni Perdana Menteri ada melancarkan wajah baru Puduraya

banyak kenangan sungguh aku dengan Puduraya, aku pernah cerita dalam entry-entry aku sebelum ni

actually ada satu perkara bila aku ingat pasal Puduraya ni di mana aku akan gelak sendiri

Puduraya dulu

dulu Puduraya ada banyak kedai yang jual kaset (zaman kaset la ceritanya ni)

memang laku sungguh bisnes kaset kat Puduraya, lepas orang turun atau sebelum naik bas ekspress, mesti singgah

selalunya mesti penuh sampai nak masuk pun susah, kena pulak zaman rock kapak era 80an dan 90an…masa tu kalau Lefthanded, Search, Wings, Ramlah Ram atau Jamal Abdillah lancar album baru, maknanya taukeh kedai kaset leh senyum lebor le kan, confirm laku punya!

aku time tu masih budak sekolah lagi, manalah ada duit nak beli kaset

apa yang aku buat adalah beli kaset kosong yang harganya dua tiga ringgit, pastu tercangak depan radio

masa tu dengar radio RTM jela, mana ada ERA ke, HotFM ke macam sekarang

pantang ada lagu best je, aku pun record kat mini compo (hehehe zaman 80-an kita panggil player tu ‘mini compo’ je)

tak cukup dengan itu, siap pergi cari Utusan Malaysia sebab paper dulu akan siarkan tajuk-tajuk lagu-lagu yang diminta pendengar dalam ruangan Pilihan Bersama Radio Satu

yang tak bestnya kualiti lagu kalau kita record dalam radio ni kureng sikit, pendek kata tak dengar sangat masa Man Kidal gorengggg

so berbalik pada citer Puduraya ni, masa tu kedai-kedai kaset ni ada wat side income…buat kaset dubbing

maknanya korang tulis je lagu apa korang nak, so taukeh kedai kaset ni akan tolong rakamkan semula dalam satu kaset kosong

kalau tape tu durasinya 60 minit, dapatlah 12 lagu…side A enam lagu, side B enam lagu

kualiti memang power la beb sebab depa guna player yang dahsyat-dahsyat, maklumlah kedai kaset, bukan yang macam kat rumah kita tu

cuma yang masalahnya ada lagu yang durasinya cuma 3 hingga empat minit, so selalunya akan ada ‘lompong’, maknanya instead of 12 lagu, silap-silap boleh isi 13 atau 14 lagu dalam satu kaset

iskh aku nak explain pun tak reti tapi kalau korang pernah melalui zaman tu tentu korang boleh faham

dipendekkan cerita, pada satu hari tu aku dah order satu kaset dubbing, siap bagi list 12 buah lagu yang aku minat tu

kedai kaset kat Puduraya yang aku pergi tu milik orang India

bila siap aku pun bawa balik dan tak pasang-pasang sebab mini compo aku buat hal

nak jadi cerita, satu hari tu ada rombongan sekolah melawat sekitar tempat menarik kat area KL, aku pun join sekali

aku suruh pakcik bas sekolah yang aku naik pasang kaset dubbing yang aku buat tu, kebetulan dia pun kepala rock juga

actually niat sebenarnya nak impress awek-awek yang naik bas yang sama

dari lagu pertama hingga lagu ke 14 memang best…sampai ada awek tu kata, pandai awak pilih lagu yea

fuh kembang beb aku masa tu

tapi bila sampai lagu ke 15 dan ke 16 tiba-tiba masuk lagu Tamil beb! adoyyyyyy punahhhhh!!!!

aku rasa macam nak terjun bas masa tuh, volume pulak tengah kuat

” Lain kali kalau nak buat kaset dubbing, pergilah cari kedai Melayu…buat spoil sungguh,” kata pakcik driver tu

awek-awek dalam bas tu punya gelakkan aku tak hengat dunia

ada sorang awek tu lagi kejam wa cakap lu, dia siap sound;

” Mesti awak fahamkan lirik dia, explain sikit kat kami hahahahaha…”

entah mana pergi taukeh kedai kaset tu sekarang, entah-entah dah beli rumah banglo kat Bombay gamaknya kot

kenangan sungguh!

Read Full Post »

pengalaman naik PRIVATE JET

la kecoh cerita pasal jet peribadi atau PRIVATE JET

malas nak ulas lebih-lebih, pi baca sendiri dalam paper

bukan nak cakap besar, walaupun aku bukanlah terdiri dari kelompok atau golongan ‘rich n famous’, tapi aku dah rasa naik private jet ini, buat pertama kalinya, waktu umur  aku baru mencecah 15 tahun

memang masa tu perasaan bangga ni takleh nak cakapla…apatah lagi bila berbulan jugalah kengkawan sekolah dok bercakap kisah aku naik private jet ni   antara sesama diaorang

benarlah kata orang, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu

tapi biarlah aku simpan semuanya dalam lipatan kenangan…kang cakap lebih-lebih SPRM serbu rumah aku pulak

aku sendiri tak tau macam mana nak explain mengenai bagaimana aku boleh dapat dan merasa naik private jet ini

yang pasti, ia memang menjanjikan pengalaman yang cukup berbeza dan lain daripada yang lain

tak hairanlah kenapa private jet selalu dikaitkan dengan kekayaan dan status seseorang individu itu

kalau pun ada kenangan sewaktu merasai pengalaman tersebut, ia adalah sekeping gambar yang masih aku simpan dari dulu hingga ke hari ini

.

.

.

.

.

Yamaha Sports…inilah PRIVATE JET aku, walaupun dah jadi besi buruk, namun jasanya tak mungkin dapat ku lupa sampai bila-bila. Ya, sampai bila-bila!

Read Full Post »

malam tadi sampai pukul 4 pagi aku dan kengkawan berbincang mengenai surau kami

memandangkan aku keluar siang dan balik malam, jarang sangat dapat berkumpul sesama begini

topik perbualan senang saja…sambutan Hari Raya Aidil Adha yang akan disambut tak lama lagi

” Aku risaulah, hanya ada Ustaz R***** yang tinggal untuk jadi imam, ustaz lain balik kampung diaorang, kalau Ustaz R****** demam macam mana?,” tanya si A

” Tu satu hal, saper pulak nak jadi khatib untuk baca khutbah?,” tanya si B

” Eh, sebelum tu, mana nak cari lembu untuk korban ni, respond macam slow je, kalau tak dapat lembu macam mana?,” tanya si C

aku terdiam

jauh di sudut hati aku sedih sangat kerana kalau kat kampung dulu, benda-benda ‘basic’ ni tak pernah jadi masalah

tak sangka rupanya benda asas macam tu boleh terjadi kat kawasan perumahan aku

dan aku rasa perkara yang sama juga dah banyak dihadapi oleh kawasan perumahan lain di kota besar macam Kuala Lumpur ini

aku tak salahkan siapa-siapa dalam hal berkenaan, termasuk geng-geng surau aku tu

yelah, mereka pun sibuk, mereka pun nak bagi anak bini diaorang makan, mana mungkin mereka boleh tumpu perhatian 100 peratus kat surau tu

semua ni kerja sukarela, takde elaun pun

diaorang sanggup jadi AJK surau pun dah cukup baik bagi aku, at least ada juga yang boleh diharap

nampak sangat dalam usaha kita hendak mengejar rezeki di kota yang mencabar ini, kita selalu terlupa akan kepentingan dan tanggung jawab kita terhadap agama suci Allah

kita marah bila orang kafir hina Nabi kita dalam filem Innocence Of Islam tu hingga sanggup BERSATU untuk menunjukkan kemarahan dan kekesalan tanpa mengira fahaman politik, kononnya, tapi kita sendiri tak pernah turun BERSATU serta bersama-sama berjemaah kat surau/ masjid kita

kita berikrar untuk mempertahankan Islam dan Rasulnya tetapi nak cari seekor lembu nak buat korban pun susah

kita ajak, arah dan SMS semua orang turun untuk berdemonstrasi tapi kita langsung tak pernah SMS untuk ajak kengkawan kita hadir dalam program yang dibuat di surau/masjid

kita bakar bendera dan patung kerana terlalu marah kat Amerika tapi kita langsung tak mahu MEMBAKAR semangat kariah kita untuk mengimarahkan surau/ masjid di kawasan tempat tinggal kita itu

jadi tak hairanlah kalau ada yang tanya mana nak cari imam, mana nak cari lembu, mana nak cari khatib

kalau beginilah keadaannya, aku tak terkejut kalau akan datang ada sorang lagi  yang akan bertanya soalan…mana nak cari tukang mandi mayat ye?

disaster!

Read Full Post »

hahaha zaman rock kapak!

Azhari atau Ayie ni adalah member lama aku, dulu Mat Rock abis dia ni, siap pernah jadi gitaris kumpulan Data

la ni jangan tanyalah kan…dah berhijrah istilahnya, ‘ala-ala’ Sham Kamikaze gitu,  hehehe

sekarang lagi hebat, untuk pengetahuan korang, dia adalah penerbit rancangan di stesen TV Al Hijrah

hah tak lama lagi dia akan terbitkan program agama dengan Ustaz Don, mereka berdua ke Mekah dan Madinah baru-baru ni sebab pergi ‘shooting’ program tersebut

dah berhijrah dah…

‘masalah’ dengan Ayie ni, dia suka buat album,  bukan untuk dijual, tapi sebab nak bagi free kat orang, adoyyyyy, orang macam ni pun ada kan

bukan sikit dia habis duit, berpuluh ribu!

” Sebenarnya begini Syahril, ni kira sedikit sumbangan akulah pada masyarakat….buat lagu-lagu Ketuhanan, kisah manusia…orang lain dakwah cara lain, aku berdakwah cara ni, nak bagi duit aku takde, tapi kalau nak dengar lagu aku, bagitahulah, aku bagi free of charge je CD-CD yang aku buat ni,” kata Ayie

untuk pengetahuan korang, Ayie ni abang kepada penyanyi Hazami

cuma aku sedih sikitlah sebab Ayie bagitahu ada stesen radio tolak mentah-mentah bila dia bagi lagu-lagu dia itu

” Aku tak minta bayaran pun, album ni pun bukannya main tangkap muat, dihasilkan dengan teknologi terkini, ada pemuzik, ada studio., ada mastering….tapi yelah, mungkin lirik dia bukan pasal putus cinta, pasal suka kat perempuan, pasal frust menonggeng, jadi payahlah sikit,” kata Ayie sambil tersenyum

actually aku sendiri pernah tulis lirik untuk sebuah lagu dalam album pertamanya dulu

Ayie dan ‘penulis lirik’ waktu ditemubual di RTM dulu hehehe

tajuk lagu tu Citra Manusia, pernah masuk Muzik-Muzik lagi

tapi album kedua ni dia tak panggil pun huk huk huk

apapun kalau korang nak dengar lagu-lagu Ayie, lately ni ada satu dua lagu dia selalu masuk radio IKIM

kalau nak dengar lagu terbaru Ayie, klik kat sini  http://www.facebook.com/photo.php?v=3714142423724

atau kalau korang nak CD terbaru dia ni, hubungi Ayie kat Facebook di http://www.facebook.com/azhary.ayi.3

lepas klik tu jangan lupa masukkan username ngan password FB korang, then baru leh tengok

jangan risau, dia akan bagi free je kat korang, kalau dia charge bagitahu, meh aku piat telinga dia hehehehe

apapun tahniah my friend!

Read Full Post »

aku menerima panggilan dari seorang rakan Tionghua malam tadi bertanyakan mengenai seorang artis Melayu bertudung

katanya geng-geng dia ‘kecoh’ bila gadis ini tiba-tiba menjadi bualan hangat, bukan di sini, tapi di China!

dalam hati aku, argh sudah, apa kebenda la pulak halnya ni, dia kena tangkap ke?

aku pun bagitaulah kawan Tionghua aku tu yang seingat aku, adalah seorang penyanyi Melayu kat Shanghai sekarang ni, dia bertanding satu pertandingan nyanyian kat sana

” Haiyyyyaaa, memang betutla Syalil…dia champion owh…semua saya punya kawan ada celita pasat ini amoy sikalang,” kata Johny Cheah Guat Lye@ Ah Cheah, member aku yang kerja kat used car di Damansara ni

then aku pun carilah pakcik gugel dan selongkar FB kengkawan yang kerja reporter hiburan ni

oh memang sungguh, awek bertudung ni menjuarai pertandingan Asian Wave 2012 malam tadi

bila tengok kat Youtube, aku tetiba rasa bangga pulak dengan minah ni

yea, dialah Shila Amzah…tahniah, tahniah , tahniah…senyum leborle bapa dia, N.D Lala

betullah kata orang, mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi

yang pasti tengah hari ni aku nak makan nasi beryani, dalca mau lebih!

Read Full Post »

aku sebenarnya bosan bila ada pihak yang cepat benar melabelkan satu-satu bentuk hiburan itu sebagai maksiat, melalaikan dan sebagainya

seolah-olah agama Islam kita ini cukup tertutup kepada benda-benda begini, seolah-olah agama kita hanya di dalam lingkungan sembahyang, pergi haji dan puasa

lain pada itu bukan Islam, hiburan itu kafir, hiburan itu berdosa…tetapi bila dengar Jeffrydin atau P.Ramlee, dia dulu ‘pasang telinga’, hipokrit sungguh

bila sampai kat anak, bila sampai kat cucu, bukan main lagi dia bagi nasihat, bukan main lagi dia larang tetapi dia lupa dia dulu lagi teruk dari Pak Maun dalam Malam Pesta Muda Mudi!

dan sekarang ini bila orang Barat memperlekehkan Rasulullah SAW dalam filem ‘ Innocence of Muslims ‘, tahu pulak dia hangin satu badan

maksudnya di sini sangat mudah, jangan mudah kata benda ini sesat, benda itu maksiat

kita kena ingat, Islam tidaklah mengharamkan hiburan secara keseluruhannya, cuma hiburan tersebut mestilah mengikut nilai-nilai murni yang diajarkan oleh agama Islam dan tidak melalaikan

ini kerana hiburan juga merupakan suatu perkara yang fitrah yang rata-rata manusia menjadikan muzik dan seni suara adalah merupakan hasil kreativiti yang mencerminkan manifestasi pemikiran, emosi, dan inovasi manusia

ianya adalah sebahagian daripada aktiviti rekreasi manusia yang terkandung di dalamnya seni, budaya, hiburan, kehalusan bahasa dan juga pemikiran yang sentiasa diperbincangkan dalam mana-mana sejarah, kebudayaan dan tamadun

konsep berhibur dengan tujuan untuk kesejahteraan, menenangkan fikiran dan kerehatan tubuh badan adalah dibolehkan oleh syarak

dalil keharusan ini dapat dilihat dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. kepada Abdullah bin Amr bin Al-As , yang bermaksud:

“Wahai Abdullah bin Amar, “Sesungguhnya ke atas kamu hak untuk Allah s.w.t., dan ke atas kamu hak untuk tubuh kamu, dan ke atas kamu hak untuk keluarga kamu. Maka berilah kepada yang miliki hak tersebut.”

dalam konteks filem, siapa tak kenal dengan pengarah filem terkenal dari Iran, Majid Majidi

Majid Majidi, anak kelahiran Teheran merupakan antara sebilangan pengarah filem Iran yang berjaya mencipta nama, sekali gus mengetengahkan tema, genre dan gaya arahannya yang dikagumi serta diiktiraf hingga ke dunia perfileman Hollywood

filem-filem arahan beliau seperti The Color of Paradise, Children of Heaven dan Baduk bukan sahaja diiktiraf di negaranya, tetapi turut memenangi pelbagai anugerah di festival-festival filem antarabangsa di merata-rata tempat

tak lama dulu dia pernah dijemput ke FINAS di Kuala Lumpur untuk memberi ceramah dan berkongsi ideanya tentang hiburan dalam Islam, medium filem khususnya

menurut Majid, filem-filem bertemakan kemanusiaan yang disulami falsafah, puisi-puisi lama berunsurkan keislaman, bersandarkan hadis dan al-Quran patut diberi penekanan oleh para pembikin dari negara-negara Islam

” Filem berunsur kemanusiaan berteraskan Islam merupakan salah satu cara yang berkesan untuk menyebarkan kefahaman tentang agama yang suci ini,” katanya

nampak tak?

dalam hal itu, Majid menyeru supaya lebih ramai pembikin filem Islam menerbitkan filem-filem yang berunsurkan keislaman bukan sahaja untuk pasaran di negara masing-masing, tetapi juga disebarluaskan di luar negara

selain memartabatkan kesucian agama Islam, jelas beliau, filem-filem sedemikian juga mampu untuk mengekang dakyah Barat yang ‘menyerang’ dunia Islam menerusi medium perfileman sejak kebelakangan ini

dan kebimbangan Majid nampaknya benar-benar terbukti dengan lahirnya filem gampang bertajuk ‘Innocence of Islam’ itu

kesimpulan apa yang aku nak cakap ini, jangan perlekeh benda berbentuk hiburan kerana pengaruhnya cukup luar biasa

sayang di saat bangsa lain, agama lain menggunakan ‘kow-kow’ pengaruh hiburan untuk mengagungkan budaya, agama dan ideologi mereka, masih ada umat Islam yang hanya melihatnya dari sudut maksiat semata-mata

.

SAK: Teringat lirik lagu M.Nasir yang berjudul Tanya Sama Itu Hud-Hud…lihat dunia dari mata burung, engkau lihat dari dalam tempurung!

Read Full Post »

tidak lama lagi ada beberapa orang saudara dan sahabat handai aku akan bertolak ke tanah suci bagi menunaikan ibadah haji

bersyukurlah kepada Allah kerana telah diberikan ruang dan peluang tersebut

ini kerana dengan tanpa izin-Nya, wang yang banyak dan kesihatan yang baik belum tentu membolehkan kita menjejakkan kaki ke tempat berkenaan

bagi yang pertama kali menjejakkan kaki ke Mekah dan Madinah, aku ingin mengucapkan selamat datang ke bumi ‘yang lain, daripada yang lain’

walaupun hanya sekadar berada di sana dalam tempoh lebih kurang dua minggu baru-baru ini kerana mengerjakan umrah, namun ia sudah cukup untuk meyakinkan diriku yang inilah bumi terindah dan teragung yang diciptakan Allah di muka bumi ini

benar, secara fizikalnya Mekah dan Madinah hanyalah tanah yang tandus dan gersang, tidak seindah Switzerland, tidak secantik Kashmir, tidak sehebat New York atau kota Paris

tidak sedingin London, tidak ‘sesegar’ Las Vegas, tidak seceria Monte Carlo….namun ia menjanjikan ‘kesyahduan’ dan ‘kenikmatan’ tersendiri yang tak mampu dapat dizahirkan dengan kata-kata

inilah tempat yang paling tenang yang pernah aku kunjungi, inilah tanah paling bahagia yang pernah aku singgah, inilah lokasi paling mengujakan yang pernah aku rasai

walaupun cuacanya panas bagai matahari di atas kepala, namun ia jugalah yang MENYEJUKKAN hati dan perasaanku, walaupun ia sesak dengan pelbagai gelagat manusia, namun ia jugalah yang MENDAMAIKAN segala resahku, walaupun ia satu ritual yang agak memenatkan, namun ia jugalah yang MENGAJARKU erti kesabaran dan nikmatnya menyembah Allah…Tuhan yang satu!

ruangan ini terlalu kerdil untuk mengungkapkan apa yang aku rasa, apa yang aku lihat dan apa yang aku fikirkan

Insya Allah setelah berada di Mekah dan Madinah nanti, korang pasti akan dapat jawabannya

 

Read Full Post »

Older Posts »

WordPress.com

WordPress.com is the best place for your personal blog or business site.

%d bloggers like this: