Feeds:
Posts
Comments

Archive for March, 2014

cv

AKU tak tahulah sampai bila diaorang bertiga ni boleh bertahan.

Hari-hari berhadapan dengan media luar negara yang sesuka hati mak bapak diaorang nak tanya soalan, dimaki hamun keluarga penumpang di KL dan Beijing, dibidas dan diperkecilkan masyarakat antarabangsa.

Pada masa yang sama tertekan dengan MH370 yang tak jumpa-jumpa, dibebani dengan pelbagai teori dan gambar satelit yang belum terbukti, merayu sana-sini pakar seluruh dunia untuk operasi SAR dan pelbagai lagi.

Namun aku percaya, majoriti daripada kita tetap berdoa dan yakin bukan saja dengan tiga orang ini, tetapi kesemua mereka yang terlibat secara langsung dalam operasi SAR yg dijalankan.

Semoga Allah beri kekuatan kepada mereka semua.

Betullah kata Hishammuddin – sejarah akan menghakimi mereka.

Read Full Post »

impian menjadi nyata…

tn-1

ALHAMDULILLAH…selesai perbincangan dengan wakil sebuah syarikat penerbitan buku terkenal.

Rasa terharu kerana beliau sanggup datang jumpa aku yang hanya berjeans lusuh dan ber t-shirt kusam ini.

Lebih terharu dengan kesungguhan beliau dan syarikat tersebut yang mahu menerbitkan buku tulisan aku, seorang wartawan cap ayam yang bukan siapa-siapa.

Bro, bahasa saya ni sempoi-sempoi saja, takut hanya layak dibakulsampahkan je nanti, kataku pada beliau.

Dia jawab, tak mengapa, yang ‘sempoi’ itulah yang kita cari, adoyyyy.

Terus terang, sepanjang hidup aku, aku tak pernah terfikir untuk menulis sebuah buku, apatah lagi untuk menulis pengalaman aku selama menjadi wartawan jenayah.

Tak mengapa, aku terima cabaran ini.

Yang penting buku itu kelak bukanlah untuk ‘mengangkat’ diri sendiri, tetapi sebagai satu testimonial dan penghargaan aku pada korang semua yang sanggup menjadi sahabat, rakan dan teman aku selama ini.

Doakanlah aku agar projek buku ‘Kisah Seorang Wartawan Jenayah’ ini bakal direalisasikan.

Sesungguhnya kita merancang, Allah juga merancang, dan perancangan Allah juga yang sebaik-baiknya. (Surah Al-Imran 3:54)

Read Full Post »

10147136_10152270957863050_875210863_o

Semua tahu betapa sejak hari pertama MH370 hilang, disebalik kesibukan tugas harian, saya mencuri masa saya untuk berkongsi maklumat pencarian pesawat itu dgn rakan-rakan semua khususnya dalam Facebook.

Tak pernah miss kekadang membawa ke Subuh.

Ini kerana inilah saja yg mampu saya lakukan sbg tanda kesedihan dan keprihatin pd insiden ini.

Kelmarin saya ‘mencuri’ sekejap masa saya utk berehat di Pulau Bali, Indonesia setelah berminggu bertugas.

Namun malam ini airmata saya menitis bila menonton breaking news dari CNN dr kamar hotel saya.

Saya akan kembali segera ke tanah air.

Tiada makna lagi saya di sini. Al Fatihah dan takziah dr saya.

Tak mampu lg nk berkata apa-apa..

Read Full Post »

mh370_angry_relative_11032014-840x560

KUALA LUMPUR – Berikut kenyataan Menteri Pertahanan dan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada taklimat media mengenai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas, di Sepang, Selangor, Jumaat:

“Malaysia terus berusaha menangani cabaran diplomatik, teknikal dan logistik melibatkan operasi mencari MH370.

“Kami masih menunggu maklumat daripada operasi mencari dan menyelamat Australia mengenai sama ada objek dipaparkan dalam imejan satelit dikeluarkan Australia semalam (20 Mac) benar-benar berkaitan dengan MH370.

“Pada masa yang sama, kami meneruskan operasi mencari dan menyelamat di kawasan koridor selatan dan koridor utara yang masih belum diliputi. Kini, saya akan berikan taklimat perkembangan terkini operasi.

Perkembangan operasi

“Usaha mencari di barat daya Perth diteruskan, dan pihak berkuasa Australia mempergiatkan usaha mereka di kawasan itu. HMAS Success dijangka sampai ke kawasan objek itu esok (22 Mac).”

“China menghantar lima kapal dan tiga helikopter yang sedang menuju ke koridor selatan. Tiga pesawat China (dua Ilyushin IL-76s dan satu Shaanxi Y-8) tiba di Malaysia pada 11 pagi ini (21 Mac). Ia juga akan melakukan pencarian di koridor selatan.

“Jepun menghantar asetnya ke Perth, termasuk dua pesawat P-3 Orion, untuk membantu Australia dalam usaha mencari.

“Pagi ini (21 Mac) saya bercakap dengan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom yang mengesahkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah bercakap dengan Perdana Menteri UK (David Cameron), dan HMS Echo sudah dalam perjalanan menuju ke selatan Lautan Hindi untuk membantu usaha mencari. Beliau turut mengesahkan bahawa UK akan memberikan kita senarai aset yang mungkin boleh dikerahkan jika perlu.

“Beliau turut mengesahkan bahawa, sebagai tambahan kepada bantuan teknikal diberikan setakat ini, ia juga bersedia memberikan bantuan pakar pencarian dan penyiasatan sebaik sahaja lebih banyak maklumat mengenai nasib MH370 diketahui.

“Saya juga berhubung dengan delegasi Perancis, diketuai Duta Besar Perancis di Malaysia, dan termasuk individu yang mengetuai penyiasatan nahas Air France 447 terhempas. Mereka telah bersetuju untuk membantu kita berdasarkan pengalaman dan kepakaran mereka.”

“Saya juga akan menghubungi Setiausaha Pertahanan AS pada 21:15 malam ini (21 Mac), untuk memohon aset khusus lain untuk membantu usaha mencari dan menyelamat, termasuk kenderaan beroperasi menggunakan alat kawalan jauh bagi pencarian di laut dalam.

“Pihak Kazakhstan telah memberi jaminan kepada kami bahawa mereka tidak menemui sebarang kesan MH370, dan kami sedang menunggu kebenaran bagi Kazakhstan digunakan sebagai pusat bagi operasi mencari.

“Mengenai penyiasatan polis, polis Ukraine telah mengesahkan pemeriksaan latar belakang terhadap penumpang warga Ukraine mendapati mereka ‘bersih’.

Pemerosesan data satelit

“Saya mahu bincangkan secara ringkas pemerosesan data Inmarsat.

“Pasukan penyiasat menerima data kasar satelit Inmarsat yang lengkap termasuk enam ‘handshake’ pada kira-kira 15:00 Rabu, 12 Mac.

“Data jenis ini biasanya tidak digunakan dalam penyiasatan seperti ini. Oleh kerana kita hanya mempunyai begitu sedikit maklumat lain untuk digunakan dalam situasi sukar dan tidak pernah berlaku sebelum ini, menyebabkan data ini digunakan.

“Sebaik menerima data kasar, pihak berkuasa Malaysia serta merta berbincang dengan pasukan AS mengenai bagaimana data ini boleh digunakan. Pasukan AS dan pasukan penyiasat kemudian menghantar data ini ke AS, kerana ia memerlukan pemerosesan lebih lanjut sebelum boleh digunakan.

“Keputusan awal diterima pada Khamis 13 Mac pada kira-kira 13:30, tetapi telah dipersetujui oleh pasukan AS dan pasukan penyiasat bahawa ia perlu diperhalusi lagi, jadi data itu sekali lagi dihantar ke AS.

“Keputusan diterima pada kira-kira 14:30 Jumaat 14 Mac, dan dibentangkan kepada pasukan penyiasat pada mesyuarat peringkat tinggi pada 21:00 Jumaat. UK AAIB, yang turut memproses data ini secara bebas, membentangkan keputusan mereka – yang selaras dengan keputusan kami dan pasukan AS – pada mesyuarat itu.

“Perdana Menteri diberikan taklimat mengenai maklumat satelit ini pada 08:00 Sabtu, 15h Mac, dan mengumumkannya pada sidang akhbar pada waktu makan tengah hari Sabtu. Operasi mencari dan menyelamat dialih ke koridor utara dan koridor selatan.

Penjagaan keluarga

“Malam tadi di Kuala Lumpur kami mengadakan taklimat untuk anggota keluarga penumpang dan anak kapal MH370. Seperti saya nyatakan dalam kenyataan semalam, taklimat itu untuk memaklumkan perkembangan terkini kepada anggota keluarga, dan untuk menjawab soalan dan menjelaskan sebarang kekeliruan.

“Mesyuarat itu telah dihadiri anggota keluarga dari negara berlainan, termasuk Malaysia, dan wakil Kedutaan China di Kuala Lumpur.

“Delegasi peringkat tinggi Malaysia, termasuk wakil Malaysia Airlines, Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Luar dan Majlis Keselamatan Negara turut menghadiri mesyuarat.

“Perbincangan berlangsung secara konstruktif dan berterus terang. Walaupun kami menjawaB hampir semua soalan dikemukakan, kami tidak dapat menjawab semuanya. Taklimat ini akan diteruskan – mengikut kesesuaian keluarga – selagi keluarga mahukannya.

“Taklimat menjadikan anggota keluarga dan pihak berkuasa Malaysia lebih rapat, bukan sahaja dari segi berkongsi maklumat, tetapi juga dari segi
mendengar suara hati anggota keluarga.

“Duta Khas Perdana Menteri ke China akan menyelaraskan taklimat di Kuala Lumpur mulai sekarang.

“Pasukan peringkat tinggi saya umumkan semalam tiba di Beijing malam tadi. Hari ini mereka bertemu dengan anggota keluarga selama tiga jam setengah.
        
Kenyataan penutup

“Usaha mencari akan diteruskan melibatkan pelbagai negara dari seluruh dunia dan diselaraskan Malaysia. Kami terus menerima tawaran bantuan, termasuk aset khusus yang dapat membantu operasi mencari dan menyelamat. Kami mengalu-alukan semua bantuan tatkala kami meneliti semua petunjuk berwibawa. ” – BERNAMA

Read Full Post »

hishamm

Berikut adalah kenyataan Menteri Pertahanan dan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada taklimat media di Sepang, Selangor hari ini mengenai gerakan mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang:

Imej Satelit Australia

“Pada pukul 10 pagi ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)
menerima panggilan daripada Perdana Menteri Australia (Tony Abbot), yang memaklumkan kepada beliau bahawa ‘dua objek yang mungkin mempunyai kaitan dengan gerakan mencari’ MH370 telah dikenal pasti di selatan Lautan Hindi.

“Pihak berkuasa Australia di Kuala Lumpur juga telah memberi taklimat kepada saya tentang perkara itu, manakala Menteri Luar Australia pula telah berhubung dengan Menteri Luar Malaysia.

“Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) terus menyelaras usaha mencari pesawat Malaysia Airlines yang hilang di kawasan mencari dan menyelamat negara itu, dengan bantuan Angkatan Pertahanan Australia, Tentera Udara New Zealand dan Tentera Laut Amerika.

“Pusat Penyelarasan Menyelamat (RCC) Australia AMSA menerima imej satelit yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan gerakan mencari MH370.

“RCC Australia mendapatkan penilaian pakar tentang imej satelit komersial itu hari ini. Imej berkenaan dirakam oleh satelit. Ia mungkin tidak mempunyai kaitan dengan pesawat terbabit.

“Penilaian tentang imej ini dibuat oleh Pertubuhan Risikan Geopastial Australia yang mendapati ia mungkin merupakan petunjuk mengenai serpihan yang terdapat di barat daya Perth.

“Berikutan maklumat ini, empat pesawat dikerah semula ke satu kawasan 2,500 kilometer di barat daya Perth.

“Sebuah pesawat P-3 Orion Tentera Udara Diraja Australia tiba di kawasan itu pada kira-kira pukul 10.50 pagi. Tiga lagi pesawat dikerah oleh RCC Australia ke kawasan berkenaan, termasuk Orion kedua RAAF, sebuah Orion tentera Udara Diraja New Zealand dan sebuah P-8 Poseidon Tentera Laut Amerika.

“Pesawat Poseidon itu dijangka sampai awal tengah hari ini. Orion kedua RAAF Orion dijangka berlepas dari Pangkalan RAAF Pearce, Perth, pada lewat tengah hari. Orion Zealand pula dijadualkan berlepas tengah hari ini.

Aset yang digunakan

“Pencarian MH370 merupakan usaha yang melibatkan pelbagai negara. Berikut saya berikan kepada anda maklumat terkini tentang aset yang digunakan.

“Dalam tempoh operasi ini dijalankan, Panglima Angkatan Tentera telah menghubungi rakan sejawatan beliau dari pelbagai negara, termasuk:
Australia, China, India, Indonesia, Jepun, Maldives, Nepal, New Zealand, Singapura, Thailand, Vietnam, UK dan Amerika.

“Kesemua mereka memberi sokongan penuh dan menawarkan bantuan. Oleh kerana fokus pencarian ini telah beralih daripada Laut China Selatan dan Selat Melaka ke koridor utara dan selatan, maka rakan antarabangsa kami terus menghulurkan segala bentuk sokongan yang termampu oleh mereka.

“Sejumlah aset telah digunakan dalam fasa tertentu dalam operasi mencari dan menyelamat ini.

“Kini, 18 kapal, 29 pesawat dan enam helikopter daripada kapal digunakan di sepanjang koridor utara dan selatan, seperti berikut:

Pesawat

Di koridor utara, terdapat empat pesawat:
dua dari Malaysia, satu dari Jepun dan satu dari Amerika

Di koridor selatan, terdapat 25 pesawat:
dua dari Malaysia, lima dari Australia, tiga dari China, empat dari Indonesia, dua dari India, empat dari Jepun, satu dari New Zealand
dua dari Korea Selatan, satu dari UAE dan satu dari Amerika

Kapal

Kesemua 18 kapal digunakan di koridor selatan:

enam dari Malaysia, satu dari Australia, lima dari China dan enam dari Indonesia

Operasi ini juga melibatkan enam helikopter:
tiga dari Malaysia dan tiga dari China.

“Selagi kami tidak pasti bahawa kami sudah menemui MH370, operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan di kedua-dua koridor berkenaan.

“Saya ingin mengesahkan bahawa Malaysia menghantar dua pesawat ke Kazakhstan, manakala UK pula merancang menghantar sebuah kapal ke koridor selatan.

“Di samping aset yang saya senaraikan tadi, beberapa negara di koridor utara juga menjalankan operasi mencari dan menyelamat di wilayah masing-masing:

China menggunakan semua cara yang ada, termasuk 21 satelit, untuk membuat carian di wilayahnya dan bersedia menghantar lebih banyak kapal serta pesawat apabila diperlukan.

Di Kemboja, empat helikopter menjalankan operasi mencari di wilayahnya.

Tentera Udara Laos menjalankan operasi mencari di wilayah Laos.

Singapura menggunakan Pusat Gabungan Maklumat Antarabangsanya, yang Malaysia juga mempunyai wakilnya, untuk memaklumkan kepada pelaut dan membantu dalam kerja mencari.

Tentera Thailand menjalankan operasi mencari di bahagian utara Thailand dengan menggunakan semua pesawat yang ada.

Dan Vietnam menjalankan operasi mencari di wilayahnya dengan menggunakan sejumlah pesawat yang tidak dinyatakan.

Secara keseluruhannya, ini merupakan suatu kerahan pasukan antarabangsa secara besar-besaran. Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan kami yang memberi kerjasama dalam fokus kami untuk terus mencari MH370.

Penjagaan keluarga

“Pasukan peringkat tinggi yang saya umumkan semalam berlepas ke Beijing petang ini.

“Saya juga ingin mengesahkan bahawa para wakil kerajaan Malaysia telah bercakap dengan keluarga yang hadir di sini semalam.

“Di samping itu, Duta Khas Perdana Menteri ke China, dan Duta Besar China di Malaysia, akan mengetuai satu taklimat hari ini untuk keluarga dari China yang kini berada di Kuala Lumpur.

“Ia akan turut dihadiri Jabatan Penerbangan Awam, Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Luar Negeri dan MAS. Taklimat serupa juga akan diadakan untuk keluarga lain.

Kata penutup

“Kepada keluarga dari seluruh dunia, satu-satunya maklumat yang amat mereka mahukan adalah maklumat yang belum kami ada ketika ini: lokasi MH370.

“Perkara yang menjadi fokus utama kami pada setiap masa ialah untuk mencari pesawat berkenaan. Dan pada setiap hari yang berlalu, kami telah melipatgandakan usaha kami.

“Semalam, saya berkata kami ingin mengurangkan kawasan mencari. Sekarang, kami sudah mendapat petunjuk yang boleh dipercayai. Banyak lagi usaha yang perlu dilakukan dari segi kerahan aset. Usaha ini akan diteruskan dalam tempoh semalaman.”

Read Full Post »

1979606_10151927243120952_674569357_n

YANG menteri dengan panglimanya, yang udara dengan juruterbangnya, yang laut dengan laksamananya…

semua nak selesaikan insiden ini secepat dan sehabis baik, semua nak tengok penumpang dan krew selamat, tidak ada siapa yang mahu memalukan negaranya sendiri, tidak ada siapa nak jadi hero dan tidak ada siapa nak jadi jaguh

satu dunia pening dan kalut dengan misteri kehilangan MH370 – kalau segala presiden, jeneral dan pakar perang negara kuasa besar pun buntu, apatah lagi kita yang bukan siapa-siapa

ayuh, ini bukan masa menyalahkan sama sendiri, ini masa untuk kita bersama-sama, kalau bukan kudrat, dengan doa! ‪#‎prayforMH370‬

604064_10152134612834355_1750900362_n

image

541925_10152134567249355_465913912_n

Read Full Post »

1974369_10151945076955952_674948760_oKenyataan pengenalan.

Pencarian MH370 diteruskan. Seperti yang saya nyatakan dalam sidang akhbar semalam (Selasa), usaha kini membabitkan masyarakat antarabangsa. Fokus utama kami kekal operasi mencari dan menyelamat. Kami kini berusaha mengecilkan koridor carian melalui:

– pengumpulan maklumat satelit

– menganalisis data radar

– menambah aset udara, laut serta darat, dan

– menambah bilangan pakar teknikal.

Kami turut mengambil langkah untuk menangani keperluan keluarga pada masa yang sukar ini.

Perkembangan terkini operasi.

Saya akan mulakan dengan memberi taklimat berhubung perkembangan terkini operasi. Seperti yang kami nyatakan sebelum ini, pencarian MH370 membabitkan cabaran dari segi diplomatik, teknikal dan logistik. Sehubungan itu, pasukan teknikal utama yang mengendali operasi mencari dan menyelamat dipecah kepada tiga kumpulan:

– satu pasukan diplomatik diketuai Kementerian Luar

– satu pasukan penempatan aset dan logistik diketuai Angkatan Tentera Malaysia

– satu kumpulan teknikal yang mengekalkan kawalan keseluruhan operasi diketuai Jabatan Penerbangan Awam.

Di barisan depan diplomatik, kesemua 26 negara yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat telahpun secara lisan bersetuju membantu operasi ini dan Malaysia secara rasmi sudah memohon kerjasama dari semua negara yang berkaitan.

Sejumlah aset kini hanya menunggu kebenaran diplomatik bagi memulakan operasi. Sebaik menerima kebenaran rasmi, kami boleh mempercepat penempatan aset di sepanjang koridor carian. Seperti yang saya nyatakan semalam, meskipun pencarian masih diselaras oleh Malaysia, rakan kita kini mengambil alih operasi di wilayah mereka dan di sektor yang dipersetujui. Kami mengalu-alukan langkah ini dan sekali lagi, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan kita atas bantuan serta sokongan mereka yang berterusan.

Saya boleh mengesahkan bahawa kami menerima beberapa data radar namun tidak boleh mendedahkan maklumat yang diperoleh dari negara lain. Saya merayu kepada semua rakan kita untuk terus secara sukarela memberi sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan dan pencarian MH370.

Mengenai laporan bahawa pesawat itu dilihat di Maldives, saya boleh mengesahkan bahawa panglima angkatan tentera telahpun menghubungi rakan sejawatan beliau di Maldives, yang kemudian mengesahkan bahawa laporan itu adalah tidak benar.

Titik Laluan.

Saya sedar tentang spekulasi yang menyatakan bahawa titik laluan ditambah kepada laluan penerbangan pesawat itu. Saya boleh mengesahkan bahawa pesawat itu terbang di laluan normal sehingga ke titik laluan IGARI.

Tiada titik laluan tambahan didokumen di pelan penerbangan MH370 dan ini menggambarkan laluan normal sepanjang perjalanan pesawat itu ke Beijing.

Siasatan Polis.

Berhubung siasatan polis, sepertimana yang disahkan oleh ketua polis negara, kes ini diklasifikasi di bawah Seksyen 130C Kanun Keseksaan. Semua penumpang, anak kapal dan kakitangan yang mengendali pesawat sedang disiasat.

Kami berkongsi semua maklumat berkaitan kes ini dengan semua agensi penyiasatan antarabangsa yang memerlukannya. Kami telahpun menerima laporan berkaitan latar belakang penumpang dari semua negara kecuali Ukraine dan Rusia, yang kedua-dua rakyatnya turut berada dalam pesawat itu. Setakat ini, tiada maklumat yang didapati signifikan berkaitan mana-mana penumpang.

Kepakaran tempatan dan antarabangsa diambil untuk meneliti simulator penerbangan juruterbang terbabit. Beberapa data didapati telahpun dipadam daripada simulator itu dan kerja-kerja forensik untuk mendapatkannya kembali sedang dilakukan.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan bahawa penumpang, juruterbang dan anak kapal adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Demi keluarga mereka, saya minta agar kita jangan membuat sebarang spekulasi yang boleh menyulitkan lagi keadaan.

Pasukan Peringkat Tinggi.

Saya ingin mengumumkan bahawa sebagai tambahan kepada pasukan sedia ada di lapangan, Malaysia kini menghimpun satu pasukan peringkat tinggi yang akan berlepas ke Beijing secepat mungkin. Pasukan ini akan memberi taklimat dan perkembangan kepada waris berkaitan situasi terkini dan pelan operasi mencari serta menyelamat.

Pasukan itu termasuk wakil dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar, Tentera Udara Diraja Malaysia, Jabatan Penerbangan Awam dan Malaysia Airlines. Pasukan itu akan diketuai Leftenan Jeneral Dato’ Sri Ackbal Abdul Samad (Komander Operasi Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia), dibantu oleh Ahmad Nizar Zolfakar (Pengarah, Perkhidmatan Trafik Udara, Jabatan Penerbangan Awam) serta membabitkan seorang juruterbang kanan pesawat 777.

Kenyataan Penutup.

Kami akan berusaha bersungguh-sungguh. Fokus utama kami ialah operasi mencari dan menyelamat. Kami kini melakukan segalanya bagi mengecilkan kedua-dua

koridor carian.

Read Full Post »

malaysia-search-re_2851974b

Kenyataan Pengenalan

Semalam, saya nyatakan bahawa operasi mencari MH370 telah memasuki fasa baharu, yang turut membawa cabaran-cabaran baharu dari segi diplomatik, teknikal dan logistik.

Hari ini, saya akan memberikan anda perkembangan terkini mengenai aspek logistik dan diplomatik dalam operasi mencari itu.

Operasi mencari dan menyelamat telah memasuki dimensi baharu peringkat antarabangsa.

Pencarian masih diselaraskan oleh Malaysia, tetapi rakan-rakan kami telah memainkan peranan penting dalam menguruskan dan menjalankan operasi, dalam kawasan mereka sendiri dan juga di sektor yang telah dipersetujui bagi operasi mencari.

Rakan sejawat saya, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman akan memberikan kenyataan lebih terperinci mengenai usaha diplomatik kami pada masa ini.

Dari segi logistik, dalam tempoh 24 jam lepas kami telah bekerja keras dengan negara-negara lain untuk menjuruskan pencarian di koridor-koridor. Kami
memfokuskan kepada empat tugas: mengumpul maklumat daripada pengawasan satelit, analisis data daripada pengawasan radar, menambah aset udara dan permukaan, dan menambah jumlah pakar teknikal dan perkara berkaitan.

Mengenai pengawasan satelit, saya tidak boleh dedahkan siapa memiliki keupayaan satelit, tetapi saya dapat sahkan bahawa kami telah menghubungi setiap negara relevan yang mempunyai akses kepada data satelit.

Mengenai analisis data radar, di koridor selatan, Australia dan Indonesia telah bersetuju untuk mengetuai di bahagian masing-masing dalam pencarian di koridor.

Di koridor utara, China dan Kazakhstan telah bersetuju untuk mengetuai pencarian di kawasan paling hampir dengan negara mereka.

Mengenai aset udara dan permukaan, saya telah berhubung dengan hampir kesemua pemimpin Asean bagi meminta bantuan selanjutnya, termasuk aset dilengkapi keupayaan pengesanan dan pengawasan di laut dalam.

Kami juga meminta rakan antarabangsa yang telah membantu kami untuk meneliti semua data pada radar primer mereka.

1. Perkembangan terkini operasi

Di koridor utara, kami telah membahagikan kawasan pencarian kepada tujuh kuadran. Setiap daripada tujuh kuadran itu adalah 400 batu nautika darab 400 batu nautikal – atau 160,000 batu nautika persegi secara keseluruhannya.

Kami juga membahagikan koridor selatan kepada tujuh kuadran. Sama seperti di utara, setiap kuadran meliputi kawasan 160,000 batu nautika persegi.

Keseluruhan kawasan pencarian kini adalah 2.24 juta batu nautika persegi.

Ini adalah kawasan pencarian yang amat luas. Dan ia sesuatu yang Malaysia tidak mampu lakukan secara bersendirian.

Saya dengan ini amat berbesar hati bahawa terdapat begitu banyak negara yang tampil menawarkan bantuan dan sokongan terhadap operasi mencari dan menyelamat ini.

Dari segi penghantaran aset-aset spesifik:

Hari ini, Tentera Laut Diraja Malaysia menghantar dua lagi kapal ke koridor selatan. Penghantaran ini termasuk sebuah helikopter Super Lynx, yang boleh beroperasi daripada mana-mana dua kapal itu. Ini menjadikan jumlah kapal Malaysia dihantar ke koridor selatan kepada empat buah, dengan dua helikopter Super Lynx.

Hari ini Malaysia turut menghantar dua pesawat C-130 ke sektor Indonesia dalam pencarian di koridor selatan.

Negara-negara lain turut menyumbang dengan aset-aset berikut:

Amerika Syarikat menghantar sebuah P-8 Poseidon, dan akan menghantar sebuah pesawat P-3 Orion.

Australia, sepertimana saya sebut semalam, telah menghantar tiga P-3 Orion dan sebuah C-130 Hercules.

New Zealand menghantar sebuah P-3 Orion untuk membantu usaha pencarian oleh Australia.

Republik Korea menjanjikan sebuah P-3 Orion dan sebuah C-130 Hercules.

Jepun, menjanjikan dua P-3 Orion, dua C-130 dan sebuah jet Gulfstream.

UAE menjanjikan sebuah pesawat C-17 dan sebuah pesawat Bombardier Dash-8.

Aset dari Korea, Jepun, dan UAE kini berada di Malaysia dan sedang menunggu arahan daripada kerajaan masing-masing.

Selain menghantar aset-asetnya ke koridor utara, China juga membuat perjanjian dengan Australia untuk menghantar sebuah pesawat ke koridor selatan.

2. ACARS (Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat)

Saya ingin menjelaskan mengenai apa telah diperkatakan mengenai ACARS dan turutan kejadian sebelum pesawat berpatah balik.

Pada Sabtu, kami menyatakan bahawa – dan saya petik: “Berdasarkan maklumat baharu daripada satelit, kami boleh katakan dengan kepastian tahap tinggi bahawa Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS) dimatikan sejurus sebelum pesawat itu sampai ke pantai timur Semenanjung Malaysia.

“Tidak lama selepas itu, dekat sempadan antara kawalan trafik udara Malaysia dan Vietnam, transponder pesawat itu dimatikan.”

Dapatan ini dirumuskan secara bersama dengan wakil-wakil pasukan penyiasat utama antarabangsa, berdasarkan maklumat diperoleh pada waktu itu.

Semalam, Malaysia Airlines menjelaskan bahawa kami tidak dapat tentukan secara tepat bila ACARS dimatikan, hanya bahawa ia berlaku dalam tempoh waktu spesifik:

dari 01:07 – anggaran ketika pesawat itu sampai ke pantai timur Semenanjung Malaysia, dan transmisi terakhir ACARS berlaku – hingga 01:37, iaitu masa pelaporan seterusnya dijadualkan. Ini sebenarnya yang berlaku.

Ini tidak mengubah kepercayaan kami, seperti dinyatakan, bahawa sehingga ke titik ia keluar daripada liputan radar primer tentera, pergerakan pesawat itu adalah konsisten dengan tindakan sengaja oleh seseorang dalam pesawat itu. Ini menjadi tumpuan pasukan penyiasat.

Adalah juga penting untuk ditegaskan bahawa masa tepat ACARS dimatikan tidak memberikan tekanan kepada operasi mencari dan menyelamat.

Kami tahu bahawa kedudukan terakhir pesawat seperti disahkan oleh pasukan penyiasat antarabangsa adalah sama ada di koridor utara atau selatan, yang menjadi fokus usaha mencari dan menyelamat. Keutamaan kami ialah mencari pesawat itu.

3. Siasatan Polis

Saya sedar ramai mengikuti dengan dekat dan mahu mengetahui perkembangan siasatan Polis Diraja Malaysia terhadap penumpang dan anak kapal MH370. Saya harap anda faham bahawa saya tidak boleh mengulas mengenai butiran siasatan itu, yang masih berjalan.

Saya juga ingin menyatakan bahawa usaha mencari MH370 adalah lebih penting daripada politik. Saya menggesa semua rakyat Malaysia untuk mengetepikan perbezaan kita dan bersatu dalam waktu sukar ini tatkala kami menumpukan usaha untuk mencari pesawat itu dan 239 orang di dalamnya.

4. Kenyataan penutup

Operasi mencari MH370 terus menjadi keutamaan kami. Kami akan terus memberikan anda perkembangan terkini operasi ini, termasuk maklumat mengenai aset-aset digunakan, sebaik sahaja maklumat itu diperoleh.

Beberapa hari lepas kami telah menghubungi rakan-rakan kami di kawasan yang menjadi tumpuan operasi mencari.

Kerjasama yang kami terima dalam fasa pertama diteruskan dalam fasa baharu ini.

Malah, lebih banyak komitmen diberikan kepada kami dalam operasi rumit dan besar ini, melibatkan pelbagai negara.

Pada masa sama, doa kami terus bersama-sama anggota keluarga dan rakan penumpang dan anak kapal pesawat.

.

DATUK SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN

 

Read Full Post »

1959395_10152052470779998_1474450677_n

1. Usaha diplomatik

Dalam tempoh 24 jam lepas, Perdana Menteri telah berhubung dengan Perdana Menteri Australia dan Perdana Menteri China. Kementerian Luar Malaysia telah menghantar nota diplomatik kepada semua negara yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat.

Ini termasuk dua kumpulan: yang pertama ialah negara-negara di koridor pencarian: dan yang kedua negara-negara yang kita memohon bantuan dan kepakaran.

Bagi negara-negara dalam koridor pencarian, kita memohon maklumat radar dan satelit, serta aset-aset tertentu bagi operasi mencari dan menyelamat. Kita meminta mereka berkongsi maklumat pelan tindakan operasi mencari dan menyelamat dari darat, laut dan udara dengan Pusat Koordinasi Kebangsaan di Malaysia,
supaya kita dapat menyelaraskan operasi mencari. Kita telah meminta maklumat
terkini dari semasa ke semasa termasuk laporan setiap hari berhubung usaha
mencari, dan butiran tentang apa-apa maklumat yang dikehendaki daripada
Malaysia.

Kita tidak boleh sesuka hati mendedahkan maklumat dari negara-negara tertentu.
Sebagai pihak berkuasa koordinasi, kami mengumpulkan semua maklumat sebagai
sebahagian daripada operasi mencari dan menyelamat yang dilancarkan
sekarang.

2. Operasi mencari dan menyelamat

Dalam tempoh 48 jam lepas, Malaysia telah menggerakkan keperluan diplomatik,
teknikal dan logistik dalam usaha mencari pesawat MH370. Jumlah negara yang
terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat telah meningkat kepada 26.

Malaysia terus mengetuai koordinasi keseluruhan dalam operasi mencari. Koridor
selatan dibahagikan kepada dua seksyen, menurut garis pemisah Pertubuhan
Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Garis pemisah ini telah dipersetujui oleh ICAO – yang Malaysia ialah anggota
majlis — sebelum pesawat MH370 hilang. Australia dan Indonesia bersetuju untuk
mengetuai operasi mencari dan menyelamat di rantau masing-masing mengikut garis
pemisah yang ditetapkan ICAO.

Hari ini, saya dengan ini mengesahkan bahawa operasi mencari dan menyelamat di
koridor utara dan selatan telahpun bermula.

Negara-negara termasuk Malaysia, Australia, China, Indonesia dan Kazakhstan
telahpun menggerakkan usaha mencari dan menyelamat.

Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia telahpun
menempatkan aset-aset ke koridor selatan. Dua buah kapal Malaysia telah
dikerahkan: kapal peronda pesisir pantai KD Kelantan dan KD Selangor. Kerahan
ini juga termasuk helikopter Super Lynx yang boleh beroperasi dari mana-mana
kapal.

Australia telahpun menghantar pesawat P-3 Orion ke perairan Kepulauan Cocos dan
Pulau Christmas. Perdana Menteri Australia hari ini mengesahkan bahawa Australia
akan menghantar dua lagi pesawat P-3 Orion dan C-130 Hercules. Pesawat P-8
Poseidon dari Amerika Syarikat akan terbang ke Perth hari ini untuk membantu
dalam gerakan mencari.

3. Penglibatan Pakar-pakar

Malaysia telah bekerjasama dengan para penyiasat antarabangsa dan pihak berkuasa
penerbangan sejak hari pertama pesawat berkenaan dilaporkan hilang.

Semalam, pakar-pakar daripada Pentadbiran Penerbangan Awam China menyertai
pasukan penyiasat.

Hari ini, para pegawai dari Pejabat Penyiasatan dan Analisis bagi Keselamatan
Penerbangan Awam Perancis juga menyertai pasukan itu. Pihak berkuasa ini
bekerjasama dengan Malaysia Airlines dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk
menganalisis data yang dapat membantu usaha mencari dan menyelamat.

4. Siasatan polis

Pada 8 Mac (Sabtu), Polis Diraja Malaysia memulakan siasatan terhadap semua anak
kapal dalam pesawat MH370, termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang serta
petugas di daratan yang mengendalikan pesawat.

Pada 9 Mac (Ahad), pegawai polis mengunjungi rumah juruterbang dan pembantu
juruterbang. Pegawai pegawai polis juga menemui anggota keluarga juruterbang dan
pembantu juruterbang.

Polis sekali lagi mengunjungi rumah juruterbang dan pembantu juruterbang pada 15
Mac (Sabtu). Polis mengambil simulator penerbangan milik juruterbang dari
rumahnya dengan bantuan anggota keluarganya. Simulator itu dipasang semula di
ibu pejabat polis Bukit Aman.

Pada peringkat ini, saya ingin menegaskan bahawa Malaysia bekerjasama dengan
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Interpol dan pihak berkuasa undang-undang
antarabangsa yang berkaitan sejak hari pertama.

5. Respons Malaysia

Saya ingin menjelaskan tentang spekulasi kononnya Malaysia menyembunyikan
maklumat mengenai pergerakan MH370.

Bagi anggota keluarga, saya faham bahawa setiap hari yang menjelang memanjangkan
lagi penderitaan. Saya faham kerana keluarga dari Malaysia juga merasai
kehilangan anak lelaki dan anak perempuan mereka. Ada 50 rakyat Malaysia dalam
pesawat berkenaan.

Kami sentiasa memberi keutamaan bagi mencari pesawat itu. Kami tidak
menyembunyikan apa-apa maklumat yang boleh membantu misi mencari. Tetapi kami
juga mempunyai tanggungnjawab untuk tidak menyiarkan maklumat sehinggalah ia
disahkan oleh pasukan penyiasat antarabangsa.

Tanggungjawab ini bukan sahaja kepada anggota keluarga dan siasatan tetapi juga
meliputi gerakan mencari dan menyelamat. Ini kerana adalah tidak
bertanggungjawab untuk menempatkan sebahagian besar aset semata-mata berdasarkan
maklumat yang tidak sahih dan tidak betul.

Sebaik sahaja timbul kemunginan bahawa pesawat itu mungkin berpatah balik ke
Selat Melaka, kami memperluaskan gerakan mencari ke kawasan itu. Saya ingin
mengulangi kenyataan pasukan penyiasat Amerika Syarikat mengenai keputusan itu:
berdasarkan maklumat dan data yang diberikan oleh pihak berkuasa Malaysia,
pasukan Amerika Syarikat berpendapat bahawa bahawa ada alasan yang wajar bagi
pihak berkuasa Malaysia untuk menggunakan aset-aset bagi menggerakkan
operasi mencari di bahagian barat semenanjung Malaysia.

Sebaik sahaja kami mengesahkan kesahihan maklumat baharu dari satelit tentang
kemungkinan lokasi terakhir pesawat itu berada, kami menggerakkan usaha mencari
ke koridor utara dan selatan seperti diumumkan Perdana Menteri. Selepas membuat
kenyataan ini, kami akan menyiarkan peta yang lebih terperinci mengenai koridor
utara dan selatan.

6. Malaysia Airlines (MAS)

Malaysia Airlines telah menubuhkan pusat operasi di Kuala Lumpur dan Beijing,
untuk memberi bantuan kepada keluarga anak kapal dan penumpang pesawat itu.

MAS menyediakan seorang penjaga kebajikan bagi setiap keluarga. Penjaga
kebajikan itu akan bertugas secara 24 jam. MAS telah menghantar lebih 100
petugas dan penjaga kebajikan ke Bijing.

Syarikat penerbangan itu memberi taklimat kepada keluarga berkenaan setiap
hari. Mereka menyediakan sesi kaunseling dan mereka menghubungi keluarga yang
membuat keputusan untuk tidak datang ke Malaysia, dua hingga tiga kali sehari.

7. Kenyataan Kesimpulan

Sejak dua hari lepas, kami telah menggiatkan usaha pencarian MH370. Ia terus
menjadi cabaran diplomatik, teknikal dan logistik. Malaysia berpuas hati dengan
kemajuan yang dicapai dalam tempoh yang singkat itu. Kami berterima kasih
kepada ketua-ketua kerajaan yang dalam respons dalam perbualan dengan kami telah
melahirkan komitmen untuk membantu.

Hasil sokongan daripada banyak rakan antarabangsa kami, fasa baharu misi
pencarian bermula. Aset-aset dikerah, dan operasi mencari dan menyelamat telah
bermula. Saya ingin mengucapkan terima kasih rakan-rakan dari seluruh dunia atas
bantuan mereka yang berterusan.

DATUK SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSIEN

Read Full Post »

10006588_10152253840138050_1259166406_n

SEKARANG ni ramai yang nak jadi wartawan kan…bagus gak tu…bertambah meriah dunia kami.

Namun sebelum itu, apa kata cuba uji kemampuan diri dulu.

Ambil pen dan kertas, tunggu depan tv setiap pukul 5.30 petang mengenai insiden MH370.

Kitacuba benda paling ASAS/ BASIC. 

1) Sila catatkan biji butir apa yang pak menteri tu cakap. Lepas tu olah semula menjadi berita/artikel. 
2) Naikkan ‘intro’ yang paling menarik dan paling ‘mencengkam’. Jangan lupa letak ‘quote’ yang tepat dan padat. Setiap perenggan/ paragraph jangan ‘gemuk’. 
3) Jangan tertinggal ‘background’. 
4) Tengok balik semua point adakah story tu boleh berdiri sendiri atau kena pecah lagi jadi beberapa sub-story. 
5) Caption semak betul-betul. Dateline, nama, pangkat ejaan double check. 
6) Pastikan ikut ‘in house style’ majikan masing-masing. 
7) Kena taip dengan sepantas mungkin, editor dok tunggu nak periksa/edit. 
8) Utamakan catatan tangan di buku nota, perakam/ rekorder hanya untuk rujukan,
kalau asyik nak dengar rekorder baru nak salin bilalah nak siap dik.
9) Pastikan tepat, sama dan tak lari fakta. Kena bijak bezakan yang tersirat dan tersurat. 
10) Bersedia ‘berperang’ dengan editor jika kena cross check. Kalau banyak silap, alamat ke bakul sampahlah yea.

Faham ke tak ni, kalau tak, elok masuk sekolah dululah yea.

Abang ni pun tak reti gak dulu, lama-lama tu bolehlah sikit-sikit.
Oh yea, itu baru cerita bab asas penulisan berita, belum masuk ‘kaedah’ nak tulis rencana, analisis, advertorial bla bla bla…..

Tapi yang lebih penting, jadi wartawan tak kaya dik. Kerja pagi sampai malam. Tahan malu, tahan maki, tahan telinga.

Belum masuk bab nak layan karenah editor yg pelbagai pe’el tu.

Anyway, yang di atas tu cerita wartawan akhbar, wartawan tv lain pulak dik, wartawan radio berbeza, wartawan majalah pun tak sama….aduhhhhhh bukan mudah dik…..sebab tu orang Barat anggap wartawan ni ibarat ‘Literature In Hurry’ atau sastera yang perlu disiapkan dengan cepat

So kalau pun tak suka wartawan, janganlah mereka dihina…kerja ni bukan senang dik…percayalah tanpa mereka, ‘sunyilah’ hari-hari kita!

nota: maaf bahasa’ campur-campur’…dah nak dateline dik…

Read Full Post »

Older Posts »

WordPress.com

WordPress.com is the best place for your personal blog or business site.

%d bloggers like this: