PADA 2 Mac 2013, enam pegawai dan anggota polis telah dibunuh kejam kerana mempertahankan Sabah daripada pengganas Sulu.
Sarjan Baharin Hamid dicacatkan dengan otak dan mata kanan hilang daripada tengkorak dan terdapat kelaran pada mukanya.
Leher Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran pula telah dipenggal dan terdapat luka pada badan, kulit dan dagingnya. Mukanya telah dikoyakkan dan hanya kelihatan tulang muka.
Leher Lans Koperal Salam Togiran hampir putus dengan kepalanya hanya melekat pada tubuhnya oleh beberapa inci kulit pada lehernya.
Kesan kelaran terdapat pada kepala dan badan Sarjan Abdul Aziz Sakiran dan Superintenden Ibrahim Lebar, manakala ASP Michael Padel mengalami kecederaan pada bahu dan dada.
Pada 19 Februari 1980, PW Kanang anak Langkau terlibat dengan pertempuran dengan gerila komunis di Tanah Hitam, Perak. Dalam pertempuran itu, dia telah ditembak sebanyak tiga kali. Peluru musuh mengenai jantung merosakkan satu buah pinggangnya, terburai usus perut dan terlantar di hospital selama 14 bulan!
Mereka adalah sebahagian daripada catatan sejarah negara. Walaupun dari Borneo, mereka berjuang mati-matian untuk mempertahankan semenanjung. Walau dari semenanjung, mereka sanggup diseksa dan dibunuh demi mempertahankan orang-orang Borneo.
Kerana apa? Kerana kita orang Malaysia. Mereka tidak bercakap pasal Sabah atau Perlis. Mereka berjuang atas satu nama iaitu MALAYSIA.
Selamat Hari Malaysia untuk kita semua, walau di mana kita berada.
nota: tidakkah kita merasa malu mahu melaga-lagakan dan bermain sentimen sesama kita sedangkan mereka telah sanggup mempertaruhkan nyawa demi kebebasan dan keamanan yang kita nikmati ketika ini?