Feeds:
Posts
Comments

Archive for May, 2010

ramai orang ingat wartawan adalah satu karier yang glamour, bercampur dengan manusia yang dalam kategori ‘rich and famous’, sana sini dilayan seperti VIP, sering keluar negara dan macam-macam lagi

aku tak nafikan, tanggapan itu ada asasnya

tetapi tahukah korang, realitinya kehidupan sebagai wartawan bukanlah seindah yang disangka

selain terpaksa bergelut dengan faktor masa (kerana perlu menyiapkan tugasan dalam waktu yang pantas), wartawan juga terpaksa berhadapan dengan kerenah editor yang selalunya garang dan cerewet, berhadapan dengan 1,001 macam pe’el manusia yang hendak mereka temuramah, berhadapan dengan risiko saman yang berjuta dan sudah pasti, terpaksa berhadapan dengan pelbagai risiko yang adakalanya boleh mengancam nyawa mereka sendiri sewaktu menjalankan tugas

dari segi gaji pula, kalau nak diikutkan bukanlah besar sangat

malah masih ada syarikat akhbar yang membayar gaji wartawan mereka di bawah RM1,000 (sama dengan paras kemiskinan yang ditetapkan oleh kerajaan)

sebab itu aku perhatikan, ramai graduan muda yang mula-mula bukan main excited lagi nak jadi wartawan alih-alih kerja tak sampai enam bulan lepas tu berhenti

semuanya gara-gara ‘kecewa’ dengan karier ini yang rupanya bagi mereka tidak seindah seperti yang disangkakan

sebab tu jugalah aku selalu mengingatkan para wartawan muda agar berfikir banyak kali sebelum nak menyertai bidang ini kerana tanpa minat yang mendalam, agak sukar untuk seseorang itu bertahan dalam dunia kewartawan

sepak terajang dunia kewartawan ini actually sangat ‘luar biasa’

ia bukan sekadar karier yang masuk pagi dan pulang petang, ia bukan sekadar karier yang tiap hujung bulan ambil gaji kat mesin ATM tetapi ia lebih dari itu

memang aku akui, ada wartawan yang sebegitu, sekadar datang ofis, pergi assignment then balik rumah, namun golongan wartawan sebegini selalunya gagal pergi jauh dalam karier mereka

kalau 10 tahun dulu mereka di takuk itu, 10 tahun akan datang pun macam tu lah saja, takde peningkatan, sekadar dok ‘gebang’ sana-sini yang mereka itu wartawan, hakikatnya mereka hanyalah golongan ‘tempelan’ dalam industri ini

aku menulis mengenai perkara ini bila mengenangkan nasib dua wartawan kita dari Astro Awani, Ashwad ismail dan Shamsul Kamal yang kini sedang bergelut antara ‘hidup dan mati’ kerana kapal yang mereka naiki diserang sekumpulan komando Israel ketika menyertai misi kemanusiaan ke Gaza semalam

selain mereka berdua, ada 10 lagi sukarelawan Malaysia terlibat dalam misi ini

ini bukanlah kali pertama wartawan kita berhadapan dengan situasi berbahaya seperti itu

beberapa tahun dulu wartawan Utusan, Marzuki Yusuf nyaris maut akibat ditembak penembak curi sewaktu membuat liputan di Afghanistan, wartawan RTM dan The Sun juga nyaris terbunuh akibat diculik dan diserang penyerang yang tidak dikenali sewaktu membuat liputan di Iraq

actually ramai lagi yang terpaksa berhadapan dengan insiden-insiden mencemaskan seperti ini

aku sendiri pernah bergelut dan bertumbuk dengan ‘bapa ayam’ di Bukit Bintang dalam satu operasi mencegah pelacuran tidak lama dulu, kisahnya boleh korang ikuti di sini https://syahrilkadir.wordpress.com/2009/06/21/kenangan-bertumbuk-dengan-bapa-ayam/

namun tak ramai yang tahu tentang perkara-perkara sebegini kerana sebagai wartawan, ia dah jadi sebahagian daripada tanggung jawab yang perlu dipikul, baik sebagai wartawan media cetak ataupun elektronik

percayalah kalau wartawan mati disebabkan tugasan, tidak akan ada kalungan bunga atau penghormatan negara untuk mereka

sebab kami bukan polis dan kami juga bukan tentera

namun sama ada anda setuju atau pun tidak, kami juga adalah pejuang

mungkin bukan dengan senjata, tapi dengan cara kami sendiri

mungkin bukan dengan peluru, tetapi dengan pena yang terselit dicelah cari.

Wallahualam.

Read Full Post »

semalam ketika aku lepak-lepak bersama penyanyi terkenal Indonesia, Rossa dan anggota keluarganya di bilik persalinannya di Stadium Putra Bukit Jalil, aku seolah-olah terlupa dua jam sebelum itu dia telah memukau hampir 4,000 pengunjung yang hadir untuk menyaksikan Konsert Melodi Cinta Rossa yang menelan belanja hampir RM2 juta itu

selepas Konsert Double Trouble Wings dan Search baru-baru ini, Konsert Melodi Cinta Rossa ternyata sebuah konsert bertaraf antarabangsa yang membuatkan aku dan ribuan penonton yang hadir terpaku di tempat duduk setelah ‘dijamu’ dengan lontaran vokalnya yang memukau

apatah suara lunak dan gemersik Rossa itu diiringi lebih 30 pemuzik profesional yang diterbangkan khas dari Jakarta bagi mengiringi persembahannya dibawah bimbingan maestro muzik terkenal republik berkenaan, saudara Yovie Widianto

pengarah muzik, Yovie Widianto

selama dua jam dia di pentas, Rossa ternyata mempunyai energi yang luar biasa kerana walaupun dia ligat menari di atas pentas, namun dia masih mampu menyimpan tenaga dan menyanyikan lagu-lagunya yang kebanyakannya bernada tinggi itu dengan tenang dan bersahaja

bersama ibu Rossa yang peramah dan rendah diri

antara lagu yang disampaikan penyanyi itu adalah Hati Yang Terpilih, Terlalu Cinta, Aku Bukan Untukmu, Ayat-Ayat Cinta, Takdir Cinta, Tegar, Pudar, Hey Ladies, Hati Yang Kau Sakiti, Terlanjur Cinta dan Atas Nama Cinta

persembahan yang dianjurkan oleh Limaduabelas Musik dengan kerjasama Marctensia itu turut menyaksikan Rossa berduet dengan vokalis kumpulan Ungu, Pasha di samping kumpulan ST12

malah, komposer dan penyanyi muda tempatan yang semakin meningkat naik, Aizat juga tidak ketinggalan membuat kemunculan istimewa apabila berduet bersama Rossa

terima kasih pada pihak yang sponsor @ menaja aku untuk ke konsert ini, yang pasti walau tiket masuk ke konsert ini mencecah beratus ringgit, namun ia cukup berbaloi bagi mereka yang dahagakan persembahan lima bintang dari artis yang juga bertaraf lima bintang

 

aku terpesona!

Read Full Post »

Azizah, lagu pertama dicipta P Ramlee. Ia dinyanyi semula, dengan lirik oleh Jamil Sulong apabila dirakam bagi filem pertama arahannya, Penarek Becha (1955). Siapa Azizah sebenarnya masih misteri biarpun beberapa wanita mengaku merekalah Azizah yang dimaksudkan P Ramlee yang sebaliknya, tidak pernah mendedahkan siapa gadis itu

Chinta (1948) adalah filem pertama P Ramlee. Dia diberi peranan kecil, selain menjadi continuity clerk dan memegang clapstick. Juga, menjadi orang suruhan Roomai Noor, mengangkat kasutnya selain membawakan bedak Siput Sarawak, dua pelakon utamanya.

Laksamana Do Re Mi (1971) adalah filem terakhir P Ramlee, dibintangi bersama AR Tompel dan Ibrahim Din. Ia masih ditayang di panggung ketika P Ramlee diberitakan meninggal dunia kerana serangan jantung pada 29 Mei 1973.

Dalam masa hampir 25 tahun pembabitannya dalam seni, P Ramlee mengarah 54 filem, berlakon dalam 62 filem selain menghasilkan 359 lagu dengan lebih 200 daripadanya dinyanyikan sendiri

Dua tahun selepas memulai karier seninya di Malay Film Productions, P Ramlee memperbaharui kontrak dengan gaji $200 – $250 saja pada setiap habis filem. Dinaik sehingga $600 apabila makin masyhur dan diberi bonus $30,000 bagi sebuah filem di zaman kegemilangannya

Al-Fatihah

Read Full Post »

hari ini aku terbaca mengenai hasrat pengarah teater terkenal, Fauziah Nawi yang ingin mengarahkan sebuah filem mengenai bekas penyanyi terkenal era-80an, Zaiton Sameon

terus terang aku katakan, ketika zaman itu, tiada artis wanita yang terkenal dan sehebat Zaiton yang popular dengan lagu Menaruh Harapan itu

walaupun mukanya taklah secomel Siti Nurhaliza, tetapi kalau menyanyi dan menari, kira dia ni macam Donna Summer la

trademark Zaiton adalah pakaiannya…minah ni gila babi punya seksi dulu wehhhhhh, kalau tak pakai baju nampak lurah dada, kalau tak pakai skirt yang belah sampai peha, kalau tak pakai seluar getah yang ketat, maaf itu bukanlah Zaiton Sameon

at one time, dialah penyanyi wanita paling laku dan antara yang paling kaya di Malaysia, malah aku ingat lagi yang Zaiton pernah beli banglo tiga tingkat di lereng bukit Taman Melawati, dekat rumah Datuk Yusof Haslam

namun tragedi ngeri 21 Februari 1990 di Batang Kali, Selangor meragut segala-galanya dari hidup wanita yang hidupnya penuh dengan warna-warni itu

kemalangan ngeri sekembalinya dia dari membuat persembahan di Kuala Ketil, Kedah bukan saja meranapkan masa depan kerjaya seninya, bahkan peristiwa gelap itu turut menyebabkan Eton kehilangan anak tunggal kesayangannya, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun

rupa-rupanya arwah abah aku dan Zaiton ada kaitan saudara dan berasal dari daerah yang sama iaitu Rembau, Negeri Sembilan

arwah abah aku pernah beritahu yang dia dan Zaiton kalau ikut adat pepatih, tak boleh berkahwin kerana mereka berdua berasal dari suku yang sama

bahkan aku masih ingat bagaimana aku, mak dan arwah abah sempat menziarahi Zaiton di wad ICU, Hospital Kuala Lumpur masa dia kemalangan dulu

Mislina

berbalik pada filem Zaiton itu, yang membuatkan aku lagi tak sabar nak tengok hasilnya ialah kerana pemilihan Mislina Mustaffa sebagai pelakon utama yang memegang watak Zaiton

untuk pengetahuan korang, Mislina merupakan antara pelakon teater terbaik yang kita pernah ada, dia banyak berlakon dalam filem arwah Yasmin Ahmad

aku kenal Mislina kerana kami berdua pernah berlakon sama dalam teater arahan Khalid Salleh tak lama dulu

percayalah, kalau korang tengok dia berlakon, confirm boleh meremang bulu roma, kalaulah muka dia macam Erra atau Fasha, aku rasa dah lama Mislina meletup!

memandangkan muka dia pun ada iras-iras Zaiton, aku percaya, kalau kena skrip dan garapannya, filem ini confirm menarik

yang pasti, aku tetap tidak pernah jemu mendengar lagu Zaiton, Kabut Serangkai Mawar

bagi aku, lagu itu tetap lagu terbaik Zaiton dari dulu, kini dan selamanya….

serangkai mawar
yang kau kirimkan
dimimpi yang lalu
aku tak sanggup memandang padanya
kerana mu…
Hati yang luka
semakin berdarah
mungkin tak terubat
aku tak sanggup menahan pedihnya
memaksa ku terkaku duka…

Sampai hati kau
mempermainkan cinta suci ku
kau guris hati ku
lalu kau cuba membalutnya….

Tapi telah ku tahu akan maksud mu
hanya untuk melukakan semula
sebagaimana yang pernah kau lakukan
ku hanya satu diantara
kumpulan kupu kupu hiasan diri mu….

Read Full Post »

lepas pulang melihat suasana malam di Hartfield Square, aku terus pulang ke hotel dan tidur semahunya

time tengah dok syok tidur, tetiba aku terasa macam ada kelibat orang lain dalam bilik aku

buka mata je aku punyalah terkejut beruk bila ada seorang wanita sedang mengemaskan pakaian aku yang sedang berselerak dalam bilik hotel itu

” Kenapa awak masuk tak ketuk pintu atau bunyikan loceng dulu, nasib baik awak pakai uniform housekeeping, kalau tak confirm saya ingat awak pencuri!,” aku menjerit pada perempuan itu, sakit hatilak aku rasa

” Errr, maafkan saya Tuan, kat luar tergantung kad Please Make Up Room Now, saya cuba bunyikan loceng banyak kali tapi takde jawab, jadi saya masuk sajalah,” katanya sambil menggigil-gigil

laaaaaaaaaa, dalam hati aku kata siapalah yang buat pedajal ni, tapi aku rasa ia angkara bilik sebelah, sebab malam sebelum itu ada satu family sewa bilik berkenaan, anak-anaknya Ya Rabbi punya nakal, lompat sana sini, so aku syak mesti budak-budak tu gantung kat tersebut kat tombol pintu bilik aku, chis!

aku pun minta maaf sambil hulur sikit tips kat perempuan tu, sian pulak dia sebab percuma kena sound ngan aku pepagi buta hehehe

lepas sarapan pagi, tetiba aku dapat SMS yang pihak penganjur mahu aku berangkat ke Tanzania pada hari itu juga kerana terdapat perubahan jadual dalam eskpedisi berkenaan

aduh frustnya aku kerana kalau ikutkan aku nak berjalan-jalan dulu ke Cape Town tapi nampaknya takde rezeki

setelah berhubung dengan ejen South African Airways (SAA) untuk mendapatkan tiket flight ke Tanzania, aku terus ke pusat membeli-belah terbesar di Pretoria, Menlyn Park untuk membeli cenderamata untuk kengkawan di Malaysia

maklumlah kalau balik ngan tangan kosong, confirm kena sindir kow-kownya

Menlyn Park ni besar tapi bagi aku biasa-biasa je, rasanya One Utama lagi best

dipendekkan cerita, malam tu gak aku bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Johannesburg untuk terbang ke Tanzania

bila masuk dalam pesawat , aku diapit oleh dua orang lelaki Negro, aku tiada masalah tentang itu tetapi bau ketiak diaorang mak oooooooooiiiiiiiiiiii, punyalah ‘semerbak’

kalau aku tutup hidung atau muka aku nanti nampak sangat, kita kan orang Melayu, taknak nanti diorang malu atau terasa pulak

 so sepanjang perjalanan tu aku terpaksala melalui satu ‘pencemaran udara’ yang cukup menyeksakan, adoyyyyyy

ini ada satu lagi cerita kelakar, kalau di MAS atau kebanyakan syarikat penerbangan terkemuka, mereka cukup mementingkan personaliti para pramugara dan pramugarinya

personaliti dan penampilan mestilah menarik, kemas dan sebagainya  tetapi kaorang tau tak pramugara SAA ni, sebijik macam bouncer disko!

dahlah bertubuh sasa, botak pulak tu, kalau di MAS aku rasa, belum interview lagi awal-awal nama dah kena reject

cara dia tanya korang nak makan apa pun boleh membuatkan korang cuak juga, apa taknya, suara punyalah kuat dan garau sehhhhhh

nampaknya setakat inilah sajalah program Jalan-Jalan ke Afrika Selatan, lagipun seperti yang aku tulis awal-awal dulu, misi aku sebenarnya adalah di Tanzania dan Zambia, aku singgah Afrika Selatan pun kerana nak buat visa je

InsyaAllah kala aku senang aku tulis pengalaman aku di Tanzania dan Zambia, hah yang tu menarik sebab aku lama di sana sebenarnya

selamat Hari Wesak pada pengunjung aku yang beragama Budha dan selamat berhujung minggu semua, chow!

Read Full Post »

sebenarnya aku tidak rancang pun nak tinggal di Afrika Selatan ni lama-lama, ini kerana tugasan aku sebenar adalah di Tanzania dan Zambia

namun aku terpaksa bermalam di sini kerana untuk masuk ke Zambia melalui jalan darat, aku perlu memohon visa

mungkin korang akan tertanya-tanya, kenapa aku memilih jalan darat yang jaraknya dari Pretoria ke Lusaka (Zambia) memakan masa 24 jam sedangkan lebih mudah aku naik pesawat, cuma dua jam saja, cepat dan tak perlu mohon visa

jawapannya ialah, aku ke Afrika kerana membuat liputan ekspedisi berkereta, kalau pejabat tahu aku naik kapal terbang, confirm aku balik nanti kena tembak dengan senapang gajah!

yang kelakar tu, bila aku tanya orang kat Pretoria ni mana pejabat Kedutaan Zambia, diaorang kata ia terletak di Jalan Si Bogel, hah????? Aku sampai ulang tanya dua tiga kali, manalah tahu aku salah dengar, rupanya memang betul, memang ia terletak di Jalan Si Bogel cuma ejaannya saja lain

actually nama jalan tu adalah Ziervogel Street, tapi bila orang Afrika sebut, bunyinya macam Si Bogel Street, heheheheh

hari pertama aku pergi, kerani kedutaan tu kata datang petang sikit, bila aku datang petang, dia kata esok baru siap, bila aku datang esok, katanya lusa baru siap, argh sudah

rupa-rupanya aku difahamkan, kalau aku hulur ‘duit kopi’ kat kerani tu, 10 minit pun boleh siap, chis!!!

disebabkan proses mendapatkan visa itu agak lama, aku mengambil keputusan untuk menginap di Hotel Sentinel, yang terletak tidak jauh dari kedutaan kita

Hotel Sentinel

Hotel Sentinel ni sangat selesa kerana ia bagaikan apartment, siap ruang tamu dan dapur lagi

tapi seharian duduk di hotel jemu pula rasanya, nak keluar rasa cuak sebab kat Afrika Selatan ni kadar jenayahnya adalah antara yang paling tinggi di dunia

lalu kerja aku duduk di lobi, baca segala jenis akhbar di situ sambil hisap rokok Dunhill yang aku bawa dua karton dari Malaysia

” Kenapa encik tak keluar bersiar-siar, tak jemu ke hanya lepak di bilik dan lobi saja,” tanya seorang bell-boy sambil ‘pau’ sebatang Dunhill dari aku. Mungkin dia dah lama perhatikan aku yang macam kera sumbang kat hotel tu.

” Memanglah jemu, tapi saya risaulah, kawan saya kata kat sini sehari busuk-busuk pun ada 50 kes pembunuhan dilaporkan berlaku,” kata aku

” Tak perlu risau, encik boleh bersiar-siar dengan bebas, cuma jangan encik jadi mangsa bunuh ke 51 dah le,” katanya sambil ketawa. Aku hanya senyum je tapi dalam hati nak je aku sound, lawak sangat lah tu!

” Macam nilah, saya cadangkan encik pergi ke Hatfield Square, malam minggu macam ni memang meriah dengan disko dan pub, tak perlu risau, ramai student universiti kat situ, polis pun selalu jaga,” tambahnya.

Hah macam orang mengantuk disarungkan bantal lah, aku pula terus ambil teksi ke sana, takde citer banyak punya.Bukan sebab kemaruk nak pergi disko, tapi aku memang dah bosan sangat terperuk kat bilik hotel weh.

Yang kelakar tu bila sampai sana, aku dah mula ketar lutut. Mungkin sebab aku jalan sorang diri dan wajah aku pun nak kata India tak India, Afrika tak Afrika, Cina tak Cina, jadi bila aku berjalan, aku rasa macam asyik diperhatikan je

Hatfield Square

satu disko ke satu disko aku pergi, satu pub ke satu pub aku singgah, aku masuk, aku keluar, tak lepak pun, last-last aku ambil keputusan untuk ‘bersidai’  kat McDonald je

sambil pekena kopi secawan ngan french fries, aku perhati je gelagat muda-mudi di sini, fuh, memang sosial habis brooooo

ada yang bercium, ada yang berpeluk, ada yang meraba-raba, semua dibuat depan public, kira macam kejutan budaya gak lah sekejap

yang tak tahan tu, ramai awek-aweknya muka macam anak dara Melayu, kat sini orang macam tu dipanggil ‘colored’ , aku difahamkan kat Cape Town sebagai contoh, memang ada perkampungan Melayu pun

awek 'coloured' Afrika Selatan..macam Melayu pun ada, macam Hindustan pun ada

patutlah jutawan terkenal, Datuk Samsudin Abu Hassan dan pemain bola Singapore, Fandi Ahmad boleh terpikat dan kahwin ngan anak dara Afrika Selatan ni

aku?

setakat tengok bolehlah, bayar hotel ngan makan McDonalds tadi pun rasanya dah nak bangkrap!

(bersambung)

Read Full Post »

perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Joburg ke Pretoria memakan masa hampir sejam

walaupun masih penat akibat perjalanan udara hampir 13 jam, aku tak mahu melepaskan peluang melihat pemandangan di kiri dan kananku, aku tenyeh-tenyeh mata aku supaya tidak terlelap, rugi sehhhh kalau miss, bukan senang nak datang sini

terus terang aku macam jakun jadinya, lanskap bumi Afrika Selatan ini seakan-akan kuning jadinya, keadaan sekitar cukup menguning seolah-olah korang memakai kaca mata yang cerminnya kuning, aku pun tak tahu nak describe macam mana, ia seperti gambar di atas

lebih kurang sejam perjalanan, kenderaan yang aku naiki pun memasuki bandar Pretoria

untuk pengetahuan korang, walaupun Johannesburg lebih besar dan banyak bangunan tinggi, tetapi Pretoria lah ibu negara bagi Afrika Selatan

ia ibarat Putrajaya, maknanya semua bangunan kerajaan termasuk pejabat Presidennya terletak di sini

Pretoria merupakan ekonomi ketiga terbesar di Afrika Selatan selepas Cape Town dan Johannesburg

oleh sebab Pretoria merupakan ibu negara Afrika Selatan, sebahagian besar rakyat di sini bekerja dalam bidang pentadbiran dan perkhidmatan lain yang berkaitan dengan kerajaan, dalam erti kata lain, penuh ngan orang gomen je yeop

bandar raya ini juga terkenal sebagai pusat regim aparteid, oh ye, pada yang tak tahu apa itu aparteid, aparteid merujuk kepada pemisahan kaum kulit putih dari kaum bukan kulit putih

pegawai kedutaan tu explain kat aku, dalam dasar aparteid, kaum bukan kulit putih (terutamanya kaum kulit hitam) dianggap sebagai lebih rendah dan diberi layanan kelas kedua dari segi politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan, macam pariah senang citer

kata brader tu, dasar ini telah dilaksanakan dalam beberapa siri undang-undang perkauman di Afrika Selatan antara tahun 1948 hingga 1991

kemudian driver kami yang juga orang kulit hitam tetapi Muslim menyampuk, katanya, di bawah dasar ini, rasisme telah dibenarkan dan ia menyentuh segala aspek kehidupan termasuklah larangan perkahwinan antara kulit putih dengan bukan kulit putih, tempat larangan untuk bangsa bukan kulit putih dan pekerjaan yang dikhaskan untuk orang berkulit putih sahaja

kaum kulit hitam telah dipindahkan secara beramai-ramai ke beberapa buah “negara” yang dipanggil bantustan atau “homelands”, supaya mereka hilang hak mengundi dan hak kerakyatan yang lain

driver tu mendakwa, masa tu, semua penduduk kulit hitam juga diwajibkan membawa “pass book” sejenis kad pengenalan yang mengandungi cap jari, foto dan maklumat lain untuk memasuki kawasan kulit putih, dahsyatkan?

lepas pusing ambil-ambil gambor, kami pun meneruskan perjalanan ke rumah pegawai kedutaan kita tu

sebelum sampai, kami singgah sekejap di pejabat Pesuruhjaya Tinggi  Malaysia yang terletak di Schoeman Street, Arcadia

aku sebenarnya waktu tu dah menggigil-gigil dah tak tahan sejuk kerana hanya pakai -t-shirt nipis sampai seorang kerani kita kat kedutaan tu siap sound: ” Hah ni mesti ingat South Africa panas ye, kat sini sejuk dik, yang panas tu belah-belah utara Afrika macam kat Ethiopia tu “.  Aku senyum sumbing je la kan.

yang peliknya bila sampai saja kat rumah pegawai kita tu, tiba-tiba keadaan bertukar menjadi suam dan tidak sesejuk macam kat luar

” Wah, nasib baik rumah abang panas sikit, kalau tak confirm saya beku,” kata aku

 (inilah heaternya)

” Memanglah, dalam rumah kita pakai heater, so taklah sejuk,” kata pegawai tu. Adoooyyyyyyyyyy malunya aku, manalah aku tahu pasal heater ni, kat Malaysia kita tahu aircond je, benda alah heater manalah kita pernah tengok kan!

lepas dihidangkan dengan cucur udang, abang tu pun minta aku bersihkan diri untuk pergi solat Jumaat

rupa-rupanya memang aku bawa jaket pun, cuma aku yang tak perasan sebab mak aku yang lipat semua baju aku dalam beg, lahhhhhhhhhh

nak cari masjid kat Pretoria ni tak susah rupanya, ramai orang Islam kat sini

tapi ada satu insiden yang betul-betul mencuit hati aku masa solat kat sini

ceritanya begini, lepas selesai saja solat, tiba-tiba ada seorang remaja lelaki menegur aku dalam bahasa Melayu

” Abang, abang ni dari Malaysia ke? Saya orang Malaysia gak, sekarang saya sedang belajar agama kat sebuah madrasah di sini,” katanya sebelum bersalam dengan aku

” Oh ye ke? Tapi abang nak tanya adik la, macam mana adik tahu abang ni orang Malaysia, bukankah kat sini banyak orang yang mukanya macam Melayu tapi macam mana adik adik boleh cam?,” kata aku yang sedikit kehairanan

” Hehehe, saya nampak abang pakai jaket BELL, actually Mat Rempit kat Malaysia je pakai jaket ni, saya pun Mat Rempit gak dulu, sekarang je dah insaf sikit hehehehe,” katanya sambil tersengih

Laaaaaaaaaa, itu macam ka?

(bersambung)

Read Full Post »

kurang 100 hari lagi, Afrika Selatan akan menjadi hos kepada Pertandingan Bola Sepak Piala Dunia

actually aku rasa sangat bertuah kerana aku sempat ke negara kelahiran Nelson Mandela itu beberapa tahun lepas di bawah tajaan Petronas

so dalam sehari dua ni aku ingat aku nak share pengalaman aku di sana, maybe ia akan memberi gambaran kepada korang mengenai negara yang dulunya terkenal dengan sistem pemerintahan Apartheid ini

apabila dimaklumkan oleh Datuk Aziz Ishak, bos besar aku di Utusan Melayu mengenai penghantaran aku ke sana, aku agak blur sebenarnya

maklumlah, inilah pengalaman pertama aku di bumi Afrika, sebelum ini yang aku tengok cuma mamat Afrika yang dok berkeliaran di Chow Kit tu

dipendekkan cerita, awal-awal lagi aku pergi mendapatkan suntikan vaksin demam kuning atau Yellow Fever, walaupun bukanlah wajib, tapi aku tak mahu ambil risiko kerana ia masih merupakan sebab utama penyakit berdarah (hemorhage) di beberapa negara Afrika dan Amerika Selatan

demam kuning ini berlaku disebabkan gigitan nyamuk, sekali korang ambil vaksin ini ia akan bertahan selama 10 tahun dan korang akan diberikan sijil berbentuk buku kecil berwarna kuning yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) seperti gambar di atas, aku difahamkan beberapa buah negara Afrika mewajibkan pelancong mendapatkan suntikan ini sebelum masuk ke negara mereka

selepas itu mohon visa ke sana, actually aku saja apply visa kerana aku tak perlu risau kalau duduk lebih dari sebulan, kalau setakat tinggal sekejap tak payah visa sebenarnya

dari KLIA, aku naik pesawat MAS 747-400 terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Johannesburg atau ringkasnya Joburg, tanpa henti (non-stop), nasib baik kerusi masa tu banyak kosong, apalagi aku conquer tiga seat sekali beb, dah macam naik First Class gayanya hehehehe

kira-kira 13 jam kemudian, kapten pesawat pun memaklumkan yang pesawat kami dah menghampiri bandaraya Joburg, entah kenapa tiba-tiba darah aku berderau

tapi bandaraya Joburgh waktu malam memang hebat sih…korang boleh tengok pancaran lampu neon yang memukau dari udara lagi

bila pesawat mendarat, aku nampak ramai pekerja lapangan terbang memakai baju dan jaket yang tebal-tebal, aku pun senyum seorang diri

” Ngada-ngada betul mamat-mamat Negro ni, panas-panas pun nak berlagak macam duduk kat Amerika,” aku berkata dalam hati

tetapi sebaik saja aku melangkah keluar dari pintu pesawat, udara sejuk terus menangkap hingga rasa macam dah menangkap tulang-belulang aku, giler sejuuuuuuukkkkkkkkkkkkk!!!!!!!!!!!

nampak sangat aku tak wat research yang secukupnya, aku dok imagine Afrika ni negara panas, rupanya siang mungkin panas tapi sebelah malam suhu boleh mencecah hingga 12 darjah beb, aku pula masa tu just pakai t-shirt ngan jeans lusuh, takde sweater, takde jaket, adoyyyyyyyyyyyyyyyyyyy

airportnya pula tak lah secantik mana, 10 kali KLIA wa cakap lu, tapi tak tahulah sekarang macam mana, maybe lebih advance kot dari waktu aku pergi dulu

Alhamdulilah, Imigresennya tak banyak songeh, sebaik saja lepas kaunter Imigresen, ada seorang pegawai kedutaan kita telah pun menunggu aku, nasib baik sehari dua sebelum aku berlepas, aku awal-awal lagi dah contact pegawai kita tu

” Selamat Datang ke Afrika Selatan, encik nak tidur hotel di Joburg ke atau di Pretoria. Tapi kalau tanya saya, saya cadangkan encik menginap di Pretoria saja, lebih selamat.

” Untuk pengetahuan encik, Joburg adalah di antara bandar yang mempunyai kadar jenayah tertinggi di duina, sehari busuk-busuk pun ada 50 kes pembunuhan, berani ke?,” tanya pegawai itu

“HAH! 50 KES BUNUH SEHARI????? Errr, kalau macam tu confirm saya taknak stay kat sini, Pretoria pun Pretoria lahhhhhhh,” kata aku dengan muka cuak giler

Mendengarkan statement aku, pegawai tersebut hanya tersenyum.

” OK, mari kita ke Pretoria, sebelum check in hotel , jom singgah rumah saya, wife saya dah prepare cucur udang untuk kita,” katanya.

(bersambung…)

Read Full Post »

kekadang aku fikir balik, kalaulah aku tidak berkerja sebagai wartawan, mati hidup balik aku tidak mampu menginap di hotel-hotel mewah apatah lagi di kamar yang kadarnya mencecah ribuan ringgit semalaman

seorang kawan aku yang kini bertugas sebagai CEO di sebuah syarikat memberitahu, disebabkan dia bertugas dengan GLC, dia layak menginap di hotel yang kadarnya di antara RM400 ke RM500 satu malam

aku diam saja, kalau dia tahu aku pernah tinggal di hotel 6 star dengan kadar bayaran RM4,000 sehari, confirm dia tak kan percaya hehehehe

aku nak berkongsi dengan korang lima buah hotel yang aku consider paling ‘GEMPAK’ pernah aku tidur, jangan panggil SPRM pulak, bukan duit aku bro, semuanya tajaan….

1.  The Cangkringan Resort and Spa, Gunung Merapi, Yogyakarta

So far satu-satunya orang Malaysia yang pernah menginap di sini masa aku sampai dua tiga tahun lepas adalah bekas Menteri Pelancongan, Datuk Dr. Leo Micheal Toyad, itupun masa dia jadi menteri time tu

yang membuatkan ia eksklusif ialah kerana ia terletak di lereng gunung berapi, jadi ia nyaman dan kawasannya cukup indah serta cantik, tapi kalau meletup gunung tu, kami dululah yang arwah ahaks

dipendekkan cerita, selain aku, budak reporter lain dr RTM dan Bernama pun diberi peluang stay semalam kat sana. Apa lagi kami pun jadi macam monyet masuk zoo le jadinya, lompat sana, guling sini, terlentang, tertiarap dan etc.

Bayangkan kami diberi sorang satu villa, siap private swimming pool, private chaffeur dan macam-macam private lagi lah. Err…tu je tau! (aku tau otak korang ah pikir lain)

nak tahu ratenya? RM3,800 satu malam, fuh!

sebenarnya kami tak expect pun dapat tidur di sini, entah macam mana taukeh hotel tu boleh ajak kami ke sana untuk mempromosikan hotelnya, kebetulan masa tu kami di Yogyakarta kerana membuat liputan gempa bumi, so bak orang mengantuk disarungkan bantal lah kan hahahaha

2. Zambezi Sun Hotel, Livingstone, Zambia

Hotel ini terletak di tebing air terjun Victoria Falls yang terletak di sempadan Zambia/ Tanzania. Actually ketika itu aku ditugaskan membuat liputan mengenai Petronas Adventure Team- African Track…tapi sempatlah beberapa hari bermalam di situ, ditaja sepenuhnya oleh Petronas Ok

harga biliknya RM900 lebih semalam, pergh!  Hotel itu betul-betul terletak sebelah Victoria Falls, nak buka tingkap pun tak boleh sebab percikan air sungai tu

hiasan dalamannya membuatkan korang rasa macam duduk dalam safari, catnya semua warna terang-terang iaitu warna kegemaran orang Afrika

jangan terkejut, walaupun jauh di tengah Afrika, ketua chefnya budak Melayu OK, namanya Ku Hizairi, budak Langkawi lagi, aku bangga! aku bangga!

3. Zanzibar Beach Resort, Pulau Zanzibar, Tanzania

hotel ini terletak di tepi laut kat Pulau Zanzibar. Air laut punyalah jernih membuatkan korang rasa macam duduk dalam syurga wehhh

dalam setiap bilik disediakan kelambu, maklumlah, walaupun hotel five star, tapi nyamuk malaria bukannya faham pun, kalau dia nak gigit dia gigit je, tak kira kau sultan ke, tan sri ke atau penggali kubur ke

antara kelebihan hotel ini, mereka menyediakan kepada pengunjung mereka sorang sebiji motorsikal scrambler, so dengan bayaran yang minimal, korang boleh pusing satu pulau dengan motosikal ni, adventure siottttttttttt

so kalau nak kira rate dia, lepas convert duit Malaysia, adalah dekat RM1,200 satu malam, fuhhhhhhh

4. Royal Mulu Resort, Miri, Sarawak

Hotel ni yang best sebab ianya terletak tak jauh dari Taman Negara Mulu, maknanya betul-betul dalam hutan tebal, so sejuk dan nyamannya membuatkan korang boleh lupa segala masalah yang bersarang di minda

bila pagi, korang boleh tengok kabus di kawasan tersebut sehingga korang rasa bersyukur sangat dengan kurniaan Tuhan yang indah dan menawan ini

kadar sewa bilik tak salah aku di antara RM300 ke RM400 semalaman, kalau korang nak menjelajah sungai, gua dan Gunung Mulu, pihak hotel ada siapkan pakej, so bayar je then semuanya mereka akan uruskan termasuk pemandu arah

aku ke sana dengan tajaan Air Asia, terima kasih Datuk Tony Fernandez!

5. Star Cruise Virgo

Yang ni jangan cakaplah, the best hotel yang aku pernah tidur, bezanya ia hotel terapung. Aku naik dari Singapore – Penang – Phuket

kalau korang tengok video klip lagu Dealova, hah, itulah kapalnya

walaupun empat hari di lautan, korang takkan rasa langsung korang naik kapal, langsung tak pening atau sebagainya

dalam kapal ni tak payah risau, korang diberi makan enam kali sehari, pilihlah restoran apa yang korang suka

pada malam kedua, korang akan dijamu oleh kapten kapal sendiri, macam dalam Titanic! masa ni korang dikehendaki pakai formal, rasa macam jutawan bro hehehehe

masa aku naik dulu, pakej yang perlu dibayar sekitar RM2,000 ++, sekarang tak taulah berapa bayarannnya

so itu jelah aku nak share dalam entry kali ni, bukan nak bermegah, bukan duit aku pun, it just manalah tahu kalau korang berkemampuan, contactlah aku, mungkin kita boleh share the experience

entah bilalah lagi aku dapat pergi hotel class-class macam tu, takpelah, tuah ayam terletak di kaki, tuah manusia siapa tahu kan?

sekarang aku di sebuah hotel di selatan tanah air, ada kerja sikit, walau tak mewah, tapi oklah..

Read Full Post »


ketika aku mula-mula menjejakkan kaki untuk menghadiri temuduga sebagai wartawan di pejabat Utusan Malaysia kira-kira 10 tahun dulu, aku terkejut kerana bangunan ini tak segah namanya

tetapi pejabat korporatnya bukan main lagi, tersergam di Menara PGRM Cheras, tapi balai berita tempat wartawannya bekerja pula tersorok di Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin, sederet dengan bengkel besi dan worksyop kereta

bila masuk pula, aku kena menyusuri satu lorong kecil yang berbahang kerana haba yang dilepaskan dari kompresor aircond yang  bergantungan di sana sini

kantinnya pula takde pengaliran udara yang betul, kalau korang masuk dengan baju berwangikan POLO, masa keluar kantin confirm baju korang berbau Asam Pedas atau ikut lauk yang dimasak pada hari itu

di dalam pejabat pula, wayar komputer dan telefon bersimpang siur di atas lantai sampai beberapa kali aku terjatuh sebab tersandung

bila Kosmo! diilancarkan, baru nampak elok sikit, bangunan kosong bersebelahan yang dulunya adalah kilang cetak, diubah suai untuk menempatkan pejabat akhbar kompak tersebut, arkib dan juga pejabat Mingguan Malaysia

kemudian satu pentas dibina bagi membolehkan ia digunakan untuk sebarang majlis, mesyuarat dan juga aktiviti kenduri-kendara

seringkali bila tetamu VIP datang, kami akan ‘letakkan’ mereka di bilik mesyuarat Lembaga Pengarah, nampaklah macam ‘grand’ sikit

selalunya kalau ada lawatan dalam skala yang besar, contohnya rombongan sekolah, kami akan bawa mereka melawat kilang percetakan yang di Sri Utusan kat Bangi kerana ia merupakan kompleks yang besar dan canggih

tetapi di situ tiada wartawan yang bertugas sedangkan budak-budak ni nak jumpa dan tengok macam mana wartawan bekerja, bagi mereka itu lebih mengujakan

kadang-kadang kami para wartawan pun malu juga bila ada tetamu yang membuat kunjungan ke sini, maklumlah dah nama syarikat akhbar, selalulah pak menteri, artis, ahli korporat dan macam-macam orang datang buat lawatan

dek kerana usangnya pejabat ini, ada di antara kami mennggelarkan bangunan ini sebagai ‘tapak warisan dunia’ hehehehe, sebenarnya Utusan pernah mempunyai bangunannya sendiri di Wangsa Maju namun ia terpaksa dijual disebabkan kemelesetan ekonomi ketika itu

namun di sebalik semua itu, terus-terang inilah syarikat yang paling seronok pernah aku bekerja, tiada istilah engkau-aku, tiada istilah bos-kuli, semuanya bagai satu keluarga besar

walaupun karier sebagai wartawan mempunyai presure yang tersendiri, namun kami di Utusan tak pernah menjadikannya satu isu besar, bahkan tekanan itu akan bertukar menjadi gelak ketawa dan ia habis begitu saja

pendek kata, kekurangan yang ada tidak pernah menjadi kudis pun buat kami semua dalam usaha untuk mengejar berita buat para pembaca

walaupun aku sekarang bukan lagi berkhidmat dengan Utusan Malaysia, namun semalam aku cukup bangga bila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah turun padang dan melakukan majlis pecah tanah pembinaan bangunan baru untuk syarikat

bangunan setinggi tujuh tingkat yang menelan kos lebih RM90 juta itu mempunyai dua blok bangunan iaitu blok pejabat dan blok ruang letak kereta bertingkat yang akan disambung dengan sebuah lobi awam.

blok pejabat seluas 69,517.26 meter persegi itu akan menempatkan ruang pejabat untuk 900 petugas, sebuah auditorium yang memuatkan 400 tempat duduk, sebuah kafeteria, surau dan sebuah gimnasium.

di blok tempat letak kereta pula terdapat 380 ruang meletak kereta beserta beberapa ruang lot perniagaan untuk disewakan.

selain daripada itu, bangunan itu juga akan dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur dan kelengkapan teknologi maklumat (IT) terkini untuk kemudahan para petugas.

nampaknya tak merasalah aku duduk di bangunan baru tu, tapi takpe, semoga kawan-kawan aku yang masih setia bersama UTUSAN akan lebih bersemangat untuk bertugas bila siapnya pejabat baru mereka itu nanti, lagipun sejarah membuktikan walau apa pun terjadi, baik ketika bertugas di bangunan buruk atau pun bangunan canggih, ia tidak mengubah cara kami bekerja, ia tidak mengubah cara kami menitip nota!

Read Full Post »

Older Posts »

WordPress.com

WordPress.com is the best place for your personal blog or business site.