PULAU NIAS, Sumatera, Indonesia – Adik Mahathir Mohamad yang kematian ibu bapa sejak kecil akan ke Malaysia dan tinggal di Asrama Anak-Anak Yatim Yayasan Al Bukhari di Alor Star. Dia akan bersekolah di sana atas biaya yayasan tersebut sehingga berusia 18 tahun seperti dihasratkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri buat pertama kali bersama anak-anak yatim di tempat baru dan dalam suasana yang berbeza dengan tempat lahirnya di Nias.
Mahathir diiringi oleh pengasuh panti asuhan Al-Wasliyah dan Mohd. Norlizan Ali, pegawai tadbir Impian Mulia Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Yayasan Bukhary yang terlibat dalam menguruskan kebajikan termasuk anak-anak yatim dan warga emas.
Mengikut jadual, Mahathir akan berlepas ke Kuala Lumpur atau Pulau Pinang dari Medan esok (Isnin) selepas segala urusan membuat visa dan dokumen perjalanannya selesai.
Selain terharu kerana terpaksa meninggalkan kawannya di Panti Asuhan Al-Wasliyah, Mahathir juga berasa sedih kerana mendapat khabar idolanya Dr. Mahathir sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.
Menurut Pimpinan Panti Asuhan Al-Wasliyah, Yuharmon Harefa, Mahathir dan bersama 36 rakannya mendoakan agar bekas Perdana Menteri cepat sembuh.
” Tun Mahathir telah banyak membantu kami untuk membangunkan panti asuhan selain memberikan perhatian khusus kepada Mahathir.
” Kami juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang masih menghulurkan sumbangan bukan sahaja kepada panti asuhan tetapi juga kepada mangsa gempa bumi di Nias,” katanya.
” Semalam kami masih menerima sumbangan sebanyak RM10,000 daripada Utusan Malaysia yang disampaikan oleh Datuk Ahmad Talib selaku Pengerusi Media Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia,” kata Yuharmon.
Bekas Perdana Menteri mempunyai hubungan istimewa dengan anak-anak yatim dari Nias setelah dipertemukan di Kuala Lumpur selepas bencana gempa bumi berkekuatan 8.7 skala Richter yang mengorbankan lebih 800 jiwa penduduk serta memusnah puluhan buah rumah.
Mei lalu, Dr. Mahathir dan isteri melawat anak-anak yatim di Panti Asuhan Al-Wasliyah Mahathir bersama isterinya Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali serta menyampaikan bantuan.
Demikian dekatnya bekas Perdana Menteri dengan Mahathir, anak-anak yatim panti asuhan dan penduduk Nias.
Anak yatim itu diberi nama Mahathir oleh ketua kampung selepas ibu bapanya meninggal dan diletakkan di bawah penjagaan panti asuhan itu sejak kecil.
Kisahnya bermula apabila bekas wartawan Utusan Malaysia, Syahril Abdul Kadir bersama jurugambar secara kebetulan bertemu anak yatim yang memiliki nama dan bin yang sama dengan bekas Perdana Menteri di sebuah panti asuhan ketika membuat liputan gempa bumi di Nias.
Kanak-kanak itu diberi nama Mahathir Mohamad oleh bapa angkatnya kerana kagum dengan Dr. Mahathir.
Dari situ bermulanya ‘hubungan simbolik’ yang menjalinkan Mahathir dan Dr. Mahathir, antara Nias dan Kuala Lumpur dan antara rakyat Malaysia dengan penduduk Nias.
Musibah yang melanda penduduk Nias menarik simpati rakyat Malaysia, UMNO dan berbagai pertubuhan sukarela untuk menghulurkan bantuan wang ringgit, keperluan makanan, pakaian selain misi bantuan kemanusiaan di kepulauan yang tidak begitu dikenali sebelum gempa itu berlaku.
Namun bagi anak yatim bernama Mahathir itu kini merasakan dirinya tidak lagi seperti anak yatim kerana mendapat perhatian istimewa daripada bekas Perdana Menteri, rakyat Malaysia dan Utusan Malaysia.
* artikel ini ditulis oleh wartawan Utusan Malaysia, Sopha Sulaiman pada 7 Oktober 2007
————————————————————————————————————————
itu kisah kira-kira enam tahun lalu
persahabatan aku dengan Pak Harefa bukan sekadar seorang rakan, malah lebih jauh dari itu

sebab itu setiap kali bila aku ke Indonesia, aku pasti akan menghubungi dia dan sekiranya aku berada di Sumatera, walau sejauh mana sekali pun, walau terpaksa menaiki bot yang berbelas jam lamanya dari Pulau Nias, dia tetap akan mencariku
bila kami berjumpa, dia akan memelukku dengan erat
walau lebih tiga tahun tidak bertemu, dia tidak akan lupa menelefon bertanya khabar walaupun dia pernah berkata;
” Sekali saya menelefon Pak Syahril dari Indonesia, sehari duit gaji habis,” katanya sambil ketawa
dan hari ini aku menelefon Pak Harefa setelah aku lihat ada lebih 10 missed call dari telefon bimbitnya
” Pak Syahril…maaf, ini isteri Pak Harefa, dia meninggal dunia kelmarin,” katanya perlahan….

Like this:
Like Loading...
Read Full Post »