Hari ini aku tak mahu cerita pasal dunia jenayah, aku tak mahu cerita pasal kerja sebagai wartawan, aku tak mahu cerita pasal Micheal Jackson
hari ini aku nak tulis pandangan aku mengenai keputusan kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2013
aku tahu, baik kerajaan mahupun Tun Dr. Mahathir (yang mengasaskan PPSMI), kedua-duanya mempunyai niat yang ikhlas dan murni, iaitu mahu murid-murid kita boleh menguasai Bahasa Inggeris dengan cemerlang, bukan sekadar hanya tahu Yes dan No, bukan saja sekadar hanya tahu past tense, present tense dan future tense
namun aku juga tahu yang kerajaan dan Tun Dr. Mahathir pada masa yang sama tidak berniat langsung untuk meminggirkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita
pun begitu PPSMI nampaknya mempunyai kelemahannya yang tersendiri, yang mungkin membuatkan matlamat untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam BI gagal dicapai seperti mana yang diharapkan.
paling ketara sekali nampaknya asas atau tapak ke arah itu, yang nampaknya masih belum benar-benar kukuh.
Contoh terbaik adalah kemampuan guru itu sendiri.
kajian Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) dengan kerjasama lapan institusi pengajian tinggi tempatan pada Februari 2009, yang berasaskan sampel dari 553 orang guru dan 15,089 pelajar dari kawasan bandar dan luar bandar, termasuk Sekolah Kebangsaan Orang Asli mendapati terdapat ramai lagi guru-guru yang belum layak mengajar subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.
dalam kajian itu, 39.3 peratus guru (74 orang) Sekolah Rendah dan 25.3 peratus guru (93 orang) Sekolah Menengah gagal dalam Penilaian Tahap Profisiensi Bahasa Inggeris.
maknanya di sini, kalau guru sendiri belum cukup ‘berkemampuan’ untuk mengajar dalam Bahasa Inggeris, maka ‘tangguhlah dulu’…kalau tapak sendiri belum cukup baik, maka letaklah tiang konkrit sekukuh manapun, pasti ia akan runtuh dan hancur berderai
yang paling penting dalam isu pemansuhan PPSMI, jangan kita cepat melenting atau emosi, tidak ada siapa yang menang atau kalah dalam hal ini
pendapat kerajaan ada betulnya, pendapat Tun Dr. Mahathir pun ada kebenarannya
tak perlu berpolemik lagi tentang perkara tersebut, keputusan telah dibuat dan sudah tentu keputusan itu dicapai setelah mengambil kira ratusan hujah, puluhan kajian, seminar, kertas kerja dan sebagainya
dalam hal ini aku tertarik dengan keputusan kerajaan untuk memperkenalkan 12 langkah baru bagi memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah, iaitu bagi menggantikan PPSMI yang dilaksanakan sebelum ini
Antaranya,
– Menambah seramai 13,933 guru Bahasa Inggeris (BI) termasuk 1,000 dari luar negara, 600 guru bersara dan 12,333 guru tambahan dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).
– Menyediakan guru penolong BI gred DG41 bagi kelas besar melebihi 35 murid dalam tahun satu dan dua untuk meningkatkan masa perhubungan guru dan murid.
– Menambah waktu BI bagi sekolah kebangsaan (SK) tahap satu sebanyak 90 minit kepada 330 minit seminggu manakala tahap dua daripada 210 minit kepada 300 minit seminggu.
– Waktu BI bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) tahap satu pula ditambah daripada 60 minit kepada 120 minit seminggu manakala tahap dua ditambah daripada 90 minit kepada 120 minit seminggu.
– Menambah waktu BI bagi tingkatan satu hingga lima daripada 200 minit kepada 280 minit seminggu.
– Peruntukan waktu BI bagi Malaysian University English Test (MUET) tingkatan enam ditambah daripada 320 minit kepada 400 minit seminggu.
– Waktu BI bagi matrikulasi ditambah 100 peratus iaitu daripada tiga jam kepada enam jam seminggu.
– Program Sastera Kontemporari bahasa Inggeris Kanak-Kanak diperkenalkan kepada semua murid sekolah rendah tahap dua untuk mengukuhkan minat membaca dan memperkenalkan unsur-unsur sastera.
– Mewujudkan makmal bahasa Inggeris di sekolah-sekolah untuk memudahkan murid mempelajari bahasa itu dengan berkesan.
– Teknologi maklumat dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran BI melalui penggunaan perisian komputer yang sesuai.
– Pelajaran tatabahasa Inggeris diberi penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran BI.
– Menyerapkan elemen sains dan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran BI untuk mendedahkan murid dengan istilah berkaitan dalam bahasa Inggeris.
Moga ikhtiar kita pada hari ini akan membenihkan hasilnya pada generasi anak dan cucu kita di masa hadapan, InsyaAllah.
SAK: Suka go straight and no belok-belok.
kesian lar pada murid2 and guru2 termasuk aku… kena ubah lagi…. bukan tak mau berubah atau takut pada perubahan tapi…..
ayat nih “SULAH TUKAR KAAAA CIKGU? addition/tukar penambahan….. ?????????
Back to basic: Practice makes PERFECT! Masalahnya, kebanyakan dari kita ni, malas nak praktis…
Cara paling cepat menguasai bahasa ialah dengan mempraktikkannya… So, lu fikirla sendiri…